12 Apr 2010

JK Antara Agama, Zahid Dan Ibrahim Ali Tak Sehaluan

Kebanyakan masalah antara agama yang wujud di negara ini ditimbulkan ahli politik yang sempit pengetahuan agamanya, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Bernama dipetik.

Justeru kata beliau, penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama diharap dapat menjadi jambatan bagi menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh mereka dengan tujuan menjadikannya isu polemik.

“Masalah antara agama ini tidak diwujudkan oleh pengemudi dan pemuka agama tetapi diwujudkan oleh ahli-ahli politik yang agak sempit dalam agamanya yang menyebabkan timbulnya permasalahan ini,” kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak di sini.

Beliau berkata kewujudan jawatankuasa itu juga dijangka dapat membantu menterjemahkan keharmonian masyarakat 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid juga menyifatkan pelantikan Datuk Ilani Isahak sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa itu bertepatan kerana beliau merupakan bekas peguam yang mempunyai latar belakang agama yang luas.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengenalpasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan.

Ianya dianggotai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Allied Coordinating Comitte for Islamic NGOs (ACCIN), ahli akademik serta wakil dari Sabah dan Sarawak

Dalam pada itu, Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar, mengambil pendirian rasmi menolak jawatankuasa antara agama tetapi meletakkan syarat jika mahukan pengiktirafan pihaknya, dmikian lapor Malaysian Insider.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun pihaknya menentang keputusan membentuk jawatankuasa itu yang bertujuan menggalakkan persefahaman dan keharmonian tetapi hanya akan mengiktiraf jika diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah kata beliau, Perkasa juga akan bertolak ansur pembentukan jawatankuasa itu jika diletakkan di bawah portfolio Datuk Jamil Khir Baharom, bukannya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Kedua-dua mereka adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Jamil bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam manakala Koh pula aspek perpaduan.

“Kami sangsi dengan jawatankuasa ini, jadi kami menolak jawatankuasa ini kerana kita bercakap mengenai agama (Islam),” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini selepas mempengerusikan mesyuarat Perkasa di sini hari ini.

“Oleh kerana ia berkaitan dengan agama, ia seharusnya berada di bawah bidang kuasa Jakim atau dipandu oleh Jamil dan bukannya Koh Tsu Koon,” kata beliau.

Ibrahim memberitahu walaupun jawatankuasa itu tidak tertakluk kepada rangka kerja perundangan, tetapi ia cukup kuat untuk mempengaruhi Kabinet.

Beliau mendakwa jawatankuasa itu tanpa pentauliahan agama Islam yang kuat dan input-input daripada agama-agama lain mungkin mengancam kesucian Islam.

Justeru kata beliau, pelantikan bekas Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Ilani Isahak sebagai ketua jawatankuasa bukan pilihan yang baik untuk mengepalainya.

“Anda boleh bayangkan apa akan berlaku terhadap akidah, ia akan menghakiskan aspek akidah.

“Ini sesuatu yang anda tidak boleh main-main, ini soal sensitif kepada umat Islam,” katanya.

Ibrahim berkata Perkasa akan melobi agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula jawatankuasa itu dan mengesyorkan supaya ia diubah menjadi jawatankuasa antara kaum dan menggugurkan skop agama.

Perkasa juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu dalam waktu terdekat.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ala pak brahim ni..masa makamah nak membicarakan kes khalimah
allah dulu satu bunyi pun tarak kan ke hakimnya tu bukan islam..skrg ni bila su koon banyak bunyi le pulak..

Tanpa Nama berkata...

berapa ramai yg mengaku pandai dlm bidang agama tapi menyeleweng dari ketetapan Allah. mana yg suka ambik, rasa tak sesuai, tolak...
yg ni org agama dlm umno.. ikut arahan bos... bukan arahan ALLAH... dan AJARAN RASULULLAH S.A.W.

Tanpa Nama berkata...

Pada PERKASA, lebih baik le anda semua buat program tentang meningkatkan jati diri dan moral orang melayu. kini orang melayu mendahului beberapa perkara yang tidak baik seperti dadah, buang bayi, penyeksaan kanak-kanak dan macam-macam lagi. tak usah le melalak kesana kemari tak tentu hala.