Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan

20 Mac 2009

GEMPAR: Ramai Makan Bangkai Ayam

Satu kes penyembelihan ayam tidak mengikut syarak dikesani berlaku di sebuah rumah penyembelihan tidak berlesen yang disenggara oleh warga tempatan. Ia dipercayai untuk diedar ke beberapa pasar dan restoran sekitar Selangor.

Apa yang menyedihkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor lansung tidak diendahkan.

Pendedahan di TV3 mengenai satu serbuan di Kg Ara Damansara menunjukkan semua ayam yang ditemui tidak disembelih malah diproses tidak mengikut hukum syarak. Ayam terbabit dikhuatiri dilemaskan terlebih dahulu sebelum disembelih bagi mempercepatkan proses penghantaran. Ia turut dicampur dengan ayam yang diproses untuk golongan bukan Islam.

Apa yang mengejutkan terdapatnya tin-tin arak ditemui di tempat memproses ayam. Rumah penyembelihan ini turut menggaji pekerja asing.

Timbalan mufti negeri Selangor, Dtuk Abdul Majid Omar mengesahkan semua ayam yang diproses ini tidak halal dimakan.

"Kerana dia menyembelih tu terlalu ke pangkal leher jadi lidah dia tersekat. Jadi ayam ini dikira bangkai.. tak boleh dimakan. Yang kedua kita dapati bercampur, ada ayam yang dicucuk di sini juga. Ini boleh meragukan," katanya.

Difahamkan lelaki yang menyeggara pusat penyembelihan ini pernah mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Agama Islam Selangor mengenai cara penyembelihan yang betul tetapi ianya tidak diambil kisah.

Persoalan kini: Rumah penyembelihan itu tidak berlesen. Bagaimana ia boleh dibenarkan beroperasi sehingga kini, malah sewaktu serbuan itu dilakukan kenapakah tidak ada penguatkuasa undang-undang turut serta bagi mengambil tindakan kepada pemilik rumah penyembelihan berkenaan?


6 Mac 2009

Teori RAHMAN: N Untuk Nizar (?)

Satu ketika orang heboh perkatakan teori R.A.H.M.A.N yang menjadi semakin benar jika melihat arah-aliran nama-nama Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj.

Kini selepas Abdullah Ahmad Badawi, muncul huruf N.

N pula membawa dua nama di tengah gelanggang berdasarkan senario politik negara yang begitu signifikan sekarang ini.

Yang pertama ialah Najib. Dan sememangnya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Abdullah akan melaksanakan pelan peralihan kuasanya secara rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri sekalipun terpaksa menelan hati kerana hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri selama dua penggal tidak kesampaian.

Namun kini di dalam senario politik tanahair muncul N yang kedua. Nizar namanya. Nama NIZAR tiba-tiba meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia ekoran tindakan durjana Najib yang merampas kuasa kerajaan Nizar di Perak.

Sepertimana rakyat Malaysia tidak menduga bahawa selepas Mahathir ialah Abdullah kerana waktu itu nama yang menjadi sebutan pada peringkat awal bukanlah Abdullah. "A" yang dimaksudkan pada masa itu ialah ANWAR yang merupakan Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Anwar hanya tertinggal setapak sahaja lagi waktu itu untuk naik sebagai Perdana Menteri yang apabila tiba-tiba musibah menimpanya menyebabkan nama Perdana Menteri yang naik ialah "ABDULLAH".

Najib yang kini terbelenggu dengan pelbagai masalah, malah sudah ada banyak tanda-tanda di waktu kakinya mula melangkah menaiki takhta Perdana Menteri hujung bulan ini, sudah begitu ramai mempersoalkan kelayakannya untuk menjadi PM sekalipun beliau telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding di dalam pemilihan UMNO tahun ini.

Rakyat Perak rata-rata menolaknya. Malah satu ketika beliau sendiri telah dinasihatkan oleh Polis jangan menjejakkan kakinya ke Perak kerana pihak Polis tidak berupaya untuk mempastikan keselamatannya di negeri itu.

Beliau dianggapkan oleh seorang tokoh politik sebagai seorang yang tidak bersifat negarawan apabila melakukan rampasan kuasa di Perak. Beliau dilaporkan juga bakal "ditelanjangkan" jika berani mengheret seorang pemimpin PKR yang telah mendedahkan isu rasuah Najib yang cuba menaburkan jutaan ringgit bagi mendapatkan perkhidmatannya memjuk ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat untuk melompat parti.

Ada orang yang begitu phobia jika disebutkan nama Najib. Ada yang dah pijak-pijak gambar Najib. Ada yang dah sembut cat kat wajahnya di lebuhraya. Ada juga yang dah bercita-cita yang menunggu ketibaannya dengan hadiah lemparan sepatu buruk.

Begitu dasyat kebencian rakyat kepada Najib. Belum pernah berlaku terhadap mana-mana bakal Perdana Menteri.


Kini muncul semula kes Altantuya yang mati dibunuh secara kejam yang rata-rata masyarakat terpandang wajah Najib semula sebagai orang yang turut serta terlibat di dalam konspirasi itu apabila namanya disebut di dalam sebuah majalah antarabangsa semalam.


Dalam masa yang sama nama Nizar tiba-tiba muncul di persada politik nasional. Nizar yang telah berjaya memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak begitu dicemburui oleh musuh politiknya iaitu UMNO-BN sehingga wujud komplot keji menjatuhkan kerajaannya dengan taktik dan teknik paling kotor di dalam sejarah politik negara semenjak merdeka selepas tragedi yang sama berlaku di Kelantan pada 1978. Belum sempat satu tahun dia menjadi MB, musuhnya dah tak tahan untuk terus berusaha menjatuhkannya.

Perak ialah sebuah negeri yang multi-racial, heterogeneous. Ia adalah sebuah mini-Malaysia yang sifatnya juga multi-racial dan heterogeneous. Tidak mudah untuk mengepalai sebuah kerajaan yang rakyatnya sebegitu rencam. Jika tidak dengan titah perletakan jawatan oleh Sultan Perak terhadap Nizar, tidak begitu ramai pula yang mengetahui kehebatan seorang "menteri besar" yang low-profail ini.

Berdasarkan keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu, undi popular di Semenanjung (tak masuk Sabah dan Sarawak) Pakatan Rakyat memperolehi 51% berbanding Barisan Nasional yang hanya memperolehi 49%.

Dan jika Malaysia ini sebuah negara republik seperti Amerika, jika dua N ini dipertemukan di dalam pemilihan Presiden mewakili dua parti yang berbeza, berdasarkan undi popular PRU12 dan berdasarkan senario politik mutakhir, yang bakal menerajui negara ialah NIZAR.

Dipandang apa sudut sekalipun, dari aspek positifnya, Nizar akan menerima markah yang lebih banyak dari Najib jika kedua-dua N ini di nilai sebelah menyebelah.

Mungkin teori bersahaja ini tidak diterima kerana persis seolah-olah sukar untuk menjadi kenyataan. Namun saya melihat apa yang menimpa Nizar sekarang ini ialah sebagai satu ujian untuk beliau naik semula ke tempat yang lebih tinggi di masa muka. Itu perjalanan perjuangan pemimpin-pemimpin yang hebat di sepanjang zaman.

Satu hari, cepat atau lambat, dengan ketrampilan yang ada pada Nizar, saya meyakini beliau akan menerajui negara kita Malaysia. Ketrampilannya apa? Bacanya kat sini.


5 Mac 2009

Berita Penuh Kisah Altantuya Dari Perancis

Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan. Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.

“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.

Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan. Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.

Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.

“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya. Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”

Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Razak Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.

Jika Altantuya muda dan cantik, Razak Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.

Pada bulan Mac 2005, Altantuya dan Baginda berangkat ke Eropah, mengelilingi Perancis, Jerman, Itali dan Portugal dengan Ferrari merah Baginda, menginap di hotel-hotel mewah dan menjamu selera di restoran-restoran terbaik di benua itu. Bagaimanapun, lawatan itu bukan sekadar lawatan biasa: kontrak untuk menjual dua kapal selam itu telah ditandatangani pada tahun 2002, tetapi beberapa hal-hal penting yang berkaitan masih belum diselesaikan.

“Kami mengetahui bahawa Baginda digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pengantara dalam urusan sistem persenjataan, terutama sekali di peringkat tertinggi,” kata seorang pakar urusan keselamatan serantau.

Pada hujung bulan Mac Altantuya dan Baginda berada di Paris, di mana mereka bertemu dengan Najib Razak. Sekeping gambar yang diambil pada akhir Mac 2005, menunjukkan bahawa ketiga mereka berada di sebuah kelab persendirian di Paris.

“Tuya menunjukkan gambar itu. Katanya salah seorang lelaki itu, Abdul Razak Baginda adalah teman lelakinya, dan seorang lagi, Najib Razak, adalah “big boss”. Saya bertanya kepadanya adakah mereka bersaudara kerana nama mereka, tetapi katanya tidak, dan Najib Razak adalah “perdana menteri”, cerita Amy, teman rapat Altantuya (Najib Razak telah bersumpah dengan Quran mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya). Menurut seorang detektif persendirian, sekarang bersembunyi di India (Balasubramaniam? - Kelab GB), si Tuya yang cantik itu juga adalah perempuan simpanan Timbalan Perdana Menteri, yang dikenalkan oleh Baginda kepadanya pada akhir tahun 2004.

Cerita ini menjadi dramatik apabila pada Oktober 2006, Altantuya dimaklumkan bahawa komisyen yang dibayar oleh syarikat Perancis-Sepanyol Armaris telah masuk ke dalam akaun bank di Kuala Lumpur. Komisyen itu telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Baginda. Altantuya segera berangkat ke Kuala Lumpur dengan tujuan menuntut bahagiannya dari komisyen itu dari Baginda; dia berkata dia berhak untuk mendapat 500, 000 dolar. Baginda dan Altantuya putus hubungan tidak berapa lama sebelum itu lagi. Rosmah Mansor, seorang ahli perniagaan yang digeruni dan isteri Najib Razak, cemburu lalu menghalang sebarang pembayaran kepada Altantuya. Altantuya tiba di Kuala Lumpur dengan dua orang wanita Mongolia, salah seorang darinya adalah pawang yang akan menjampi Baginda jika dia tidak membayar. Selama beberapa hari, Altantuya mengganggu bekas kekasihnya. Pada 18 Oktober, Baginda tidak dapat lagi tahan dengan Altantuya yang setiap hari berada di hadapan rumahnya. Dia menghubungi Pengarah Cawangan Khas, Musa Safrie, yang juga merupakan pegawai keselamatan Najib Razak.

Pada 19 Oktober 2006, jam mendekati 9 malam, dua orang pegawai polis Cawangan Khas, Azilah Hadri dan dan Sirul Omar, dihantar ke hadapan rumah Baginda di mana Altantuya menjerit dan berteriak. Mereka mendapat arahan “meneutralkan perempuan Cina itu.” Mereka menculiknya dan membawanya sejauh sepuluh kilometer dan menembaknya beberapa kali. Kemudian, mereka memusnahkan tubuhnya dengan bahan letupan C4, jenis yang hanya boleh diperolehi dari Kementerian Pertahanan. Kemasukannya ke Malaysia telah dipadam dari rekod imigresen. Ini seolah menunjukkan bahawa Altantuya tidak pernah ke Malaysia kerana tidak ada rekod yang menunjukkan sebegitu.

Tidak ada jenayah yang sempurna. Pemandu teksi yang disewa oleh Altantuya pada hari tersebut tidak dapat menerima kenyataan bagaimana penumpangnya yang masih belum membayar tambang diculik di depan matanya. Dia mencatit nombor pendaftaran kereta penculik itu dan membuat repot di sebuah balai polis. Dalam beberapa hari, polis mendapat tahu indentiti kereta itu dan mendapati ia adalah kereta kerajaan. Beberapa peristiwa berlaku sehingga Najib Razak sendiri tidak dapat menghalangnya. Dia cuba untuk menutup kes ini. Beberapa jam sebelum penahanan Baginda, dia menghantar satu SMS: “Saya Akan bertemu dengan Ketua Polis Negara pada jam 11 pagi hari ini…masalah tersebut akan selesai. Sabarlah”. Beberapa jam kemudian, Baginda ditahan, begitu juga dengan dua orang pegawai dari Cawangan Khas, Azilah dan Sirul.

Selepas perbicaraan yang dianggap meragukan oleh ramai pemerhati, Baginda dilepaskan dari tuduhan telah memerintahkan pembunuhan itu dilakukan dan dibebaskan pada bulan November 2008. Azilah dan Sirul yang dituduh melakukan jenayah tersebut, tampil di hadapan Mahkamah bulan lepas. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mati. Mahkamah akan memutuskan pada 9 haribulan April.

Beribu batu dari Kuala Lumpur, di ibu Negara Mongolia, Ulaan Baataar, Shaaribuu Setev, bapa Altantuya berusaha mengawal perasaan marahnya. Untuk dia dan keluarganya, pembebasan Baginda adalah simbol kepada ketidakadilan di dalam proses perundangan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia langsung tidak membalas surat-surat yang dihantar oleh Kementeria Luar Mongolia,” katanya. Ketika Shaaribu datang ke parlimen Malaysia untuk bertemu dengan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa keluar mengikut pintu belakang untuk mengelakkan pertembungan yang memalukan. Kes Altantuya telah menjadi elemen penting di dalam permainan politik Malaysia di antara Najib Razak (yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini) dan Anwar Ibrahim. Sehingga kini, Najib Razak berjaya menghadapi rintangan ini, tetapi pembunuhan perempuan Mongolia itu akan menjadi pedang yang tergantung di atas kepalanya.

Salah satu aspek yang kabur di dalam kes Altantuya ini adalah peranan syarikat Armaris. Pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin, mengakui di hadapan Parlimen bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar. Dia menegaskan bahawa bayaran itu bulan rasuah tetapi adalah untuk “perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan koordinasi.” Adakah terdapat korupsi di dalam kes kapal Taiwan di mana DCNS French dikaitkan juga? DCNS, adalah syarikat swasta dengan dana awam, telah menolak permintaan kami untuk mengadakan pertemuan. ‘Tiada siapa yang boleh memberi komen terhadap kes itu,” jawab pegawai perhubungan awam DCNS di Paris. Sebuah dokumen, yang boleh menghubungkan antara Altantuya dan syarikat Perancis itu adalah surat jaminan yang ditulis oleh Abdul Razak Baginda supaya perempuan simpanannya itu dapat memohon visa untuk memasuki zon Schengen (Perancis adalah Negara ahli). Kedutaan Perancis tidak boleh menolak permintaan seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan Legion d’Honneaur itu. Tetapi peranan Altantuya di dalam perundingan kapal selam itu masih lagi belum jelas. Agensi-agensi perisikan mendapati latar belakangnya menarik dan FSB Rusia (ex-KGB) memantau secara dekat kes ini.

Di Ulaan Baatar, Mungunshagai, anak lelaki sulung Altantuya, yang berumur 12 tahun, mengalami trauma dengan kematian emaknya. Altanshagai, anak bongsu, yang berumur 5 tahun dan terencat akal, tidak dapat memahami bahawa dia tidak akan bertemu ibunya lagi. “Dia selalu bertanya tentang ibunya dan dia sepanjang hari meniarap di atas kerusinya.

Setiap malam, saya akan memberinya gula-gula dan mengatakan bahawa ibunya memberikan kepada saya untuk diberikan kepadanya”, ujar Shaaribuu Setev, datuk kepada dua dua orang budak lelaki itu. Tentang Baginda pula, dia sekarang menetap di United Kingdom dengan keluarganya. Dia tidak sekalipun pernah melafaz sepatah kata penyesalan terhadap kematian seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya selama dua tahun.

kerajaanrakyat
susunan illustrasi: GB

1 Mac 2009

Peguam: Sidang Tergempar DUN Perak Sah!

Peguam kepada V.Sivakumar, Chan Kok Keong menyatakan bahawa Sidang tergempar DUN Perak yang dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar, adalah SAH.

Menurut Chan, Speaker DUN Perak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memanggil sidang tergempar dewan undangan negeri. Chan menyatakan bahawa sidang dewan undangan negeri Perak hanya ditangguhkan pada November tahun lalu dan oleh kerana itu Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan tergempar 3 Mac ini.

Persidangan tersebut memenuhi segala peruntukan Perintah Tetap Dewan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan serta perjalanan parlimen yang biasa terpakai di dalam negara-negara komanwel.

"Speaker mempunyai kuasa yang cukup untuk memanggil persidangan yang ke 4 dari seksyen pertama dewan undangan negeri Perak"

Chan juga menyatakan beliau telah merujuk kepada pakar perlembagaan Tommy Thomas (gambar) yang bersetuju bahawa Speaker V.Sivakumar mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

Beliau menambah Sivakumar akan memanggil beberapa orang peguam lagi untuk menerangkan hal-hal perundangan kepada ahli-hli dewan semasa sidang tergempar itu nanti.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, YB Khalil Idham Lim (gambar) mempertikaikan kesahihan kenyataan akhbar itu samada ia benar-benar datang dari Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dan percaya bahawa kenyataan akhbar tersebut bertujuan untuk mengkambing hitamkan Setiausaha Dewan.

Beliau menyatakan bahawa Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri adalah seorang yang memegang dua jawatan yang berbeza tugas dan peranannya dan mendakwa bahawa ada usaha untuk mengagalkan sidang ini oleh Penasihat Undang-undang kerajaan negeri.

Mengikut Khalil, kenyataan tersebut jelas atas arahan pihak tertentu. Beliau tahu sangat bahawa Abdullah tidak akan melakukan sesuatu tindakan melainkan berpandukan kepada undang-undang dan perlembagaan.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan petang ini yang dikatakan datang dari Abdullah Antong Sabri menampakkan pelbagai percanggahan dan amat mengelirukan.

Menurut kenyataan itu Speaker gagal untuk mematuhi Peraturan Tetap 8(1) yang menyatakan notis 14 hari diperlukan sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan mesyuarat dewan.

Tetapi kenyataan akhbar itu tidak menjelaskan sehingga akhir Peraturan Tetap 8(1) tersebut iaitu:

"Sekurang-kurang empat belas hari sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan semula mesyuarat Dewan, Setiausaha Dewan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli suatu notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyuran memanggil dewan dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan dan dalam keadaan demikian notis itu hendaklah dikeluarkan dengan seberapa segera yang boleh."

Gaji: Siapa Yang Berhak, Nizar atau Zambry?

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan melakukan siasatan untuk menentukan samada dan elaun-elaun berkaitan sepatutnya dibayar kepada menteri besar dan exco dari Barisan nasional atau dari Pakatan Rakyat.

Selain Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir.

"PAC yang mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Kewangan negeri, di sini semalam memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat Menteri Besar baru dan Ketua Penerangan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Canning itu berkata, PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias AlHafiz sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Perak.

Beliau berkata, pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undangundang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata, jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

Wong berkata PAC akan mengemukakan cadangan kepada jabatan kewangan negeri dan dwan undangan negeri.

“Mereka mempunyai tanggungjawab melaksanakan cadangan yang kami berikan nanti,” tambahnya.

PAC dianggotai oleh tujuh orang ahli, lima orang dari Pakatan Rakyat dan dua dari Barisan Nasional.


27 Feb 2009

Mujahid: Nizar Masih Menteri Besar Perak

Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin masih seorang Menteri Besar Perak.

Di dalam penjelasannya di Dewan Rakyat semalam beliau menyatakan hanya ada 3 cara untuk melucutkan seseorang menteri besar iaitu

1) Bubar dewan undangan negeri
2) Undi tidak percaya
3) Menteri Besar itu meletak jawatan

Ketiga-tiga hal diatas tidak berlaku, justeru itu perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar tidak boleh diterima kerana Menteri Besar masih ada dan tidak berlaku pun perlucutan jawatan Menteri Besar yang ada berdasarkan Artikel 16 yang perlu dibaca dengan kurungan 6.

Di dalam satu kenyataannya lain beliau menyelar tindakan rasuah RM20 juta untuk dua orang ADUN Perak untuk isytiharkan bebas atau melompat masuk UMNO sebagai satu tindakan yang terdesak, terkutuk, keji dan jelek.

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Yang bagusnya kedua-dua ADUN ini berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan dan kalau boleh kita minta mereka dedahkan siapakah orang tengah yang menjadi agen-agen (perasuah) dan kita pasti di dalam krisis di Perak ini, sudah tentu UMNO - BN dalam hal ini mempunyai kepentingan di dalam jual-beli ADUN Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau menganggap bahawa krisis di Perak amat merugikan rakyat Perak.

Najib Bakal Menerima Padahnya

Apabila membaca berita mengenai gesaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan mulai 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang rakyat tertanya-tanya, apakah PM sendiri tidak tahu mengenai hal tersebut sehingga terpaksa meminta ianya dikaji semula oleh Kabinet?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan kabinet esok yang dipengerusikan oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Bernama dari Pattaya, Thailand.

Bertambah pelik apabila PM berkata:

"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah."

Jika pada masa pengumuman kenaikan harga minyak dan petrol sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter pada bulan Jun tahun lalu diumumkan oleh PM sendiri, tetapi kini pengumuman kadar tol diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sendiri.

Waktu pengumuman itu dibuat, ahli-ahli Parlimen (yang sepatutnya Menteri berkenaan hadir sama) sedang bersidang di Dewan Rakyat.

Yang nyata, keputusan kenaikan harga tol TIDAK diketahui oleh PM. Dan kenaikan itu sepastinya telah mendapat restu dari "superior" yang lain dari PM.

Dan apabila PM menyatakan mesyuarat kabinet hari ini akan dipengerusikan oleh Najib, nyatalah peralihan kuasa telah pun berlaku dan kemungkinannya untuk membiasakan Najib dengan tugas-tugas PM yang bakal disandang secara rasmi lewat bulan Mac depan atau setidak-tidaknya Najib kini memangku jawatan PM sekarang ini(?)

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini Dato’ Seri Abdullah diminta mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas perhimpunan agung Umno Mac depan bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Ini kerana PAS melihat Dato’ Seri Najib Razak sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

“Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengingatkan "Belum (Najib) dapat kuasa sudah tunjuk jahat, hancur negara nanti kalau jadi PM."

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata, negara dan rakyat tidak mahu mempunyai sorang Perdana Menteri yang menjadi bahan bualan dan ketawa masyarakat antarabangsa terhadap tuduhan yang belum lagi dibersihkan oleh beliau sendiri mahupun kerajaan sedia ada.

Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang Timbalan Perdana Menteri yang bakal memimpin negara mempunyai tuduhan sebanyak itu malahan segala dakwaan terhadapnya dianggap menakutkan.

“Mahukah kita ada seorang Perdana Menteri apabila menghadiri sidang antarabangsa menjadi objek ketawa, objek whisper (bisikan)."

Timbalan Pengerusinya, Tan Seng Giaw menyatakan Najib bukan seorang negarawan. Beliau tidak layak untuk menjadi PM. Dengan kerakusannya merampas negeri Perak daripada Pakatan Rakyat membuktikan bahawa beliau bukan PM untuk seluruh rakyat Malaysia.

Menyebut nama negeri Perak, nama Najib tak ubah segumpal najis yang begitu jijik.

Najib mengugut mereka yang membuat laporan kepada SPRM bahawa jika laporan itu palsu mereka akan terima padahnya. Yang nyata Najib tidak disoal siasat, yang akan disoal siasat ialah pengadunya. Begitulah budaya polis dan SPRM di Malaysia bekerja.

Dan Najib tak perlu membuat aduan kepada Polis dan SPRM, sekadar menelefon atau mengeluarkan memo kepada polis dan SPRM. Polis dan SPRM akan patuh. Ini juga budaya yang diamalkan polis dan SPRM sekian lama.

Namun Najib terlupa, nasibnya bukan ditentukan oleh jutaan ringgit yang ada padanya, nasibnya juga bukan ditentukan oleh jawatan "PM" yang dianggapnya "baju kebal" yang bakal dipakainya tak berapa lama lagi.

Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa riwayat BN / UMNO akan berakhir dengan naiknya Najib sebagai PM. Firasat tok-tok guru di kampung munkin juga begitu.

Kesalahannya terlalu banyak untuk dideretkan. Sebenarnya Najiblah yang bakal menerima padahnya nanti. Mengugut rakyat itu buruk kesannya. What you give you get back. Itu Hukum Karma, itu hukum universal, dalam Islam itu namanya sunnatullah - yang tak akan berubah sampai kiamat. Ia tertulis sudah di dalam kitabullah.

Malaysia akan saksikan UMNO/BN menghembuskan nafas terakhir sewaktu beliau berada di takhta PM.

26 Feb 2009

Isu Lingham: Rakyat Tertipu dan Ditipu

Setelah menunggu sekian lama dan setelah satu Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat kes klip pita video V.K. Lingham, tiba-tiba tiga dari empat orang yang telah disiasat berhubungkait dengan kes klip pita video V. K. Lingam, telah terlepas dari sebarang pendakwaan dan pertuduhan.

Perdana Menteri di Datuk Seri Abdullah Badawi memberitahu Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) di dalam satu jawapan bertulis dimana 3 kes telah ditandakan sebagai “NFA” — bermaksud "no further action" (tiada tindakan lanjut diambil).

Ini amat menyedihkan dan menandakan negara masih terpenjara dengan isu institusi kehakiman yang tidak bebas apabila pesalah-pesalah tidak dapat di bawa ke muka pengadilan semata-mata dengan alasan tidak mempunyai bukti kukuh.

Sekalipun Perdana Menteri telah pun berusaha untuk memperbaiki institusi kehakiman, tetapi dengan kelemahan perlaksanaan dengan meletakkan pegawai-pegawai yang tidak kompeten tetapi hanya bersifat "mengampu" serta tidak professional, matlamat penubuhan Suruhanjaya yang menelan belanja begitu besar akhirnya ke longkang juga jawapannya.

Ini adalah akibat dari kelemahan dan ketidak-tegasan Pak Lah sebagai Perdana Menteri sehinggakan mereka yang di bawahnya boleh memperman-mainkan kepimpinannya dengan memberikan asalan yang superficial dan klise - YAB, tiada bukti kukuh untuk kita mendakwa mereka dan Pak Lah mengiyakannya sahaja.

Kesilapan Pak Lah memilih dan memberi kepercayaan kepada pegawai-pegawai atasan untuk jawatan kritikal seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua Hakim Negara dan seumpamanya menjadikan kepimpinan Pak Lah hanya dilingkari oleh penasihat-penasihat yang bersifat mengampu, menzalimi rakyat, membodek, malas bekerja dan jika bekerja mereka melakukannya secara tidak profesyenal.

Rakyat telah lama memerhatikan hal ini. Dan rakyat telah bersuara di peti undi semasa pilihanraya umum ke 12 yang lalu, tetapi Pak Lah gagal untuk menyelami intipati keputusannya dan masih terus membiarkan negara dimamah virus korupsi dan rasuah yang bukan kepalang dengan mengekalkan status quo.

Berbalik kepada isu klip pita video V.K.Lingham.

Betapa buruk dan hina institusi kehakiman negara selama ini apabila dengan mudah ianya dibeli dan dikuasai oleh golongan mafia sehingga didedahkan semasa siasatan, ada hakim yang sifatnya binatang bertindak membelakangkan keadilan semata-mata kerana telah diumpan dengan rasuah melancong dan lain-lain pemberian bersifat keduniaan oleh golongan mafia tersebut.

Hasilnya, ketempangan institusi kehakiman terlalu nyata dan fungsi mahkamah sebagai tempat untuk menegakkan kebenaran dan keadilan sudah ranap akibat perbuatan hakim yang khianat.

Keadaan nampaknya akan menjadi bertambah buruk apabila raja segala mafia akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri tidak berapa lama lagi.

Menangislah lagi rakyat selepas ini. Menunggu lagi saat pilihanraya umum yang akan datang yang terasa terlampau lama lagi tibanya.

25 Feb 2009

Kisah Mufti Menjual Agama

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan berkata perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah.

Dalam satu kenyataannya, beliau berkata sebarang perbuatan tunjuk perasaan bertujuan mencabar pemerintah adalah haram seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud : "Mana-mana kumpulan manusia berarak ke arah Sultan dengan tujuan merendahkannya, maka mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari Kiamat."

Mufti yang sama juga pernah berkata "sumpah mubahalah" yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos 2008 adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan.

Begitu mudah seorang mufti mengeluarkan hujjah berdasarkan hadith tanpa memberitahu "Sultan" yang bagaimana yang dikehendaki atau yang dimaksudkan oleh hadith berkenaan.

Sedangkan Anas meriwayatkan:

"Ulama adalah kepercayaan para rasul selama mereka tidak bergaul dengan Sultan dan tidak asyik dengan dunia. Jika mereka bergaul dengan Sultan dan asyik dengan dunia maka mereka telah mengkhianati para rasul. Karena itu, jauhilah mereka." (HR al-Hakim).

Saidina Abu Bakar menegaskan ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah, bahawa baginda wajib ditaati jika melaksanakan undang-undang Allah Ta’ala, bukan kerana sebab-sebab lain. Kerana terdapat ulama yang menyembunyikan hakikat ini, maka terjadilah keriuhan gila-gilaan berasaskan kejahilan tentang hukum Islam dan penderhakaan terang-terangan terhadap ajaran Islam.

Imam Ghazali telah mengingatkan umat Islam, terdapat dua jenis ulama: ulama jahat yang menggunakan Islam untuk dunia; ulama baik yang takutkan Allah Ta’ala dan cintakan Nabi SAW dan umat Islam. Sukar mendapat jenis ulama kedua ini, kerana begitu ramai “ulama” yang mengutamakan dunia dan kemewahan hidup. Ulama jenis ini wajib diderhakai seperti SUltan (pemimpin) yang jahat juga wajib diderhakai. Itulah prinsip Islam yang mesti dipegang dan dilaksanakan oleh umat Islam. Tepat dan jelas, tiada apa-apa kekeliruan lagi.

Bila disemak semula rupa-rupanya Mufti ini ialah seorang ahli berdaftar sebuah parti yang sentiasa bersalahan dengan hukum Islam malah tidak pernah menerima Islam di dalam bentuknya yang syumul.

Justeru itulah tidak hairan kenapa Mufti itu menjadi sedemikian perangainya.



24 Feb 2009

Risiko kerajaan ‘mi segera'

WWalaupun Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dirampas jawatannya, dihalang masuk ke pejabat, disuruh memulangkan kereta dan rumah rasmi, belum tentu Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir dapat mentadbir dengan selesa.

Zambry tidak akan selesa kerana beliau sedar kerajaan pimpinannya, didirikan secara instant noodle (mi segera), tidak demokratik dengan bantuan pihak yang defect (berpaling tadah) dan bias (berpihak).

Pada kedudukan sekarang Pakatan Rakyat mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional juga ada 28. Dengan tiga orang Adun yang defect sebagai bebas tapi menyokong BN.

Media pro BN, cuba mempamerkan persepsi baik kononnya kerajaan baru yang haram itu ditegakkan secara demokratik.

Media pengampu juga memainkan isu ketuanan institusi Raja, kononnya Umno pembela ulung Raja-Raja Melayu, manakala Pakatan Rakyat cuba dilabel sebagai golongan penderhaka.

Malangnya mereka tidak boleh menipu sejarah. Banyak kes-kes penderhakaan Umno terhadap Raja. Bukan sekadar derhaka enggan meletak jawatan, malah derhaka Umno sehingga membuat pertabalan ‘Raja Palsu’.

Kes-kes penderhakaan Umno ini, insya Allah jika ada masa, akan diperincikan dalam artikel yang lain.

Apapun yang berlaku, apapun tuduhan dilemparkan ke atas Pakatan Rakyat sebagai golongan yang dipersalahkan kerana enggan patuh kepada Raja, hakikat di Perak, adalah sebaliknya.

Gambaran one sided media pengampu, tidak dapat menutup fakta dan hakikat bahawa rakyat Perak sedang menghukum pihak-pihak yang defect dan bias.

Rakyat membenci dan menempelak mereka. Adun-Adun yang berpaling tadah tidak berani menzahirkan diri di khalayak.

Mereka dibelenggu dengan rasa bersalah sendiri kerana mengkhianati amanah rakyat dan mengheret Perak ke kancah kemelut politik yang berpanjangan.

Tiada siapa yang menggangu mereka sebenarnya, tetapi rakyat menganggap mereka seperti “anjing-anjing kurap yang memakan bangkai”.

Malah keluarga Adun DAP yang berpaling tadah turut menerima padah.

Diceritakan, ketika bapa beliau ke pasar untuk membeli sayur, peniaga-peniaga enggan menjual kepadanya.

“Dia punya luit talak laku ma..kita cakap sama dia..wa tak mau BN punya luit ma..kita tau mau juai,” kata seorang peniaga Cina yang ditemui penulis.

Mungkin sukar untuk membuktikan wujudnya rasuah sama ada dalam bentuk wang, jawatan, penghapusan kes atau saham kepada pihak yang defect dan bias ini.

Namun, media pengampu dan BN sendiri, gagal untuk menghapuskan persepsi bahawa wujud rasuah dalam proses pengambilan kuasa secara haram di Perak.

Kata lah apa pun, nafikan lah apa pun! Rakyat percaya bahawa mereka yang defect dan bias ini mempunyai kepentingan tertentu, demi kepentingan peribadi, sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan keluhuran undang-undang.

Tiada siapa yang menyuruh rakyat membenci mereka atau mempunyai persepsi yang sebegitu. Rakyat yang faham sendiri. Kesedaran rakyat adalah gelombang yang sukar dibendung.

Dalam kes rampasan kuasa di Perak, rakyat turut menempelak Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana terlalu gelojoh, sehingga mencetuskan persepsi, beliau akan ‘lebih rakus’ jika menjadi Perdana Menteri.

Kegelojohan beliau menimbulkan amarah penyokong Pakatan Rakyat. Sehingga ada kalangan kaum Tionghua membawa ‘colok Cina mati’ untuk menyambut kehadiran beliau pada sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh baru-baru ini.

“Wa..nasib baik dia talak latang wo..kita olang sikalang pakai baju hitamwo..itu serupa (sambut) mati punya olang. Ini semua Cina cakap talak baik oo..ini macam kasi Nizar jatuh, serupa ‘najis’ punya olang,” getus seorang peniaga pasar besar Ipoh.

Hasil mainan politik kotor BN rakyat menganggapnya sebagai mainan politik yang amat kotor dan bahaya.

Lazimnya kekotoran dikaitkan dengan najis, sama ada ia merujuk kepada individu yang membuat onar dalam politik atau politiking menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan cara yang tidak bermoral.

Justeru, kita orang Melayu, jangan sesekali salahkan kaum Tionghua yang pandai menggunakan istilah ‘najis’ dalam kegawatan politik negara.

Malah kita harus berbangga kerana merekalah yang memahami falsafah sastera dan perumpamaan Melayu seperti dalam novel SHIT, tulisan Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad.

Tetapi bukan sahaja rakyat yang bangkit menentang BN, di kalangan Umno sendiri juga, walaupun kembali memperolehi kuasa, masih terbelengu dengan politiking dalaman parti.

Menurut sumber Umno, perlantikan Zambry sendiri sebagai Menteri Besar Perak tidak dapat ‘perkenan’ mudah di kalangan pemimpin-pemimpin Umno.

Najib selaku Pengerusi Umno Perak, mahukan orang lain menjadi MB kerajaan mi segera BN.

Namun, khabarnya dengan campurtangan the one and only Khairy Jamaluddin Abu Bakar, PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bergegas ke istana pada petang itu untuk mengemukakan nama Zambry. Malam itu nama Zambry diumumkan.

Abdullah khabarnya berjaya memintas Najib. Calon dipilihan Najib diberikan jawatan Exco Kanan.

Zambry sendiri bukannya dari grup Umno tulen. Beliau dulunya adalah budak Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dalam Umno.

Zambry adalah aktivis ABIM dan rakan rapat bekas Ketua AMK KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor, manakala Ezam adalah sekutu rapat dan ‘balaci’ Khairy. Grup ini adalah grup anti Najib.

Namun Najib masih tidak berputus asa. Beliau enggan berbicara walaupun kecewa dengan pintasan Abdullah.

Najib hanya perlu menunggu selepas Mac. Gilirannya menjadi PM dan Presiden Umno. Jika Zambry tidak mengikut ‘line Najib’ selepas ini, maka kerajaan mi segera pimpinan Zambry juga tidak lama hayatnya.

Pusing ke kiri, pusing ke kanan. Zambry akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan kerana BN dan Umno sentiasa terbelengu dengan masalah dalaman yang kronik.

Pihak yang defect dan bias juga sedang tertekan. Ibarat ‘diluah mati mak, ditelan mati bapa.’ Mereka berada dalam keadaan buntu dan confuse.

Rakyat akan mengadili mereka. Penghalang kuasa rakyat ini akan tumbang dan dibalas dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau April depan.

Mohd Rashidi Hassan

Siapa sebenarnya di belakang "ribut" dalam PKR?

Siapa sebenarnya di belakang keributan politik kini. PKR kini seolah diasak kiri dan kanan. Apa fasal ahli PKR yang jadi sasaran.

Perak jadi kelam kabut berpunca dari DUN PKR. MB Selangor,orang PKR,kena gasak MACC. Foto seksi juga PKR, Bukit Selambau pun PKR. Apa fasal??

Orang PAS dan DAP tak pula jadi sasaran utama walaupun ada.

Ini semua kerja strategis. PAS dan DAP dah berjuang berpuluh tahun dan kesannya pada UMNO/BN tak memeningkan. Pernah bekerjasama dengan S46 dan PBS. Tetap juga BN menang besar dalam PRU. Jadi bagi dia (mereka), PAS/DAP bukan masalah tunjang. Mereka mesti serang sasaran utama.

Sasaran utama strategis ini ialah Anwar Ibrahim. Masuk penjara sudah. OK, reda sekejap, keluar saja penjara, semua orang UMNO/BN huru hara. Serangan peribadi dah buat, tak jadi. Menang besar di Permatang Pauh. BN dengan segala armada dan General turun, satu undi pun tak dapat curi kalau di banding dengan PRU 12 dulu.

Kalau macam itu, serang pula orang-orang dia, sebab yang lain itu tak sekebal Anwar. Bila serang orang PKR, ini akan jadi masalah untuk Anwar.

Bagi strategis, kalau nak jatuhkan lawan, bagi masalah yang berterusan. Tak kiralah caranya bermoral atau tidak. Gentleman atau tidak. Pokok pangkalnya biar dia sibuk dengan masalah. Barulah boleh buat serangan yang dia tak sangka-sangka.

Taktik begini bukan baru dan bukan asing. Tiap minggu kita boleh tengok dalam EPL. Itulah yang dalam kepala tiap pengurus kelab. Sebelum kena 'sack', Scolari kata, dia tak ada orang yang boleh bagi masalah pada pihak lawan.

Peranan PAS dan DAP dalam merampas 4 negeri dari BN dulu memang tak boleh dinafikan, tapi dominasi DSAI dalam mencatur strategi memang nadi utamanya. Bagi strategis, DSAI ialah masalah terbesar. Kurang lebih sepuluh tahun saja kerjasama PAS, DAP dengan PKR, hasilnya drastik sekali. Dan kurang lebih 4 tahun saja DSAI bebas dan 'all out' berkempen, kesannya 'destructive' sekali bagi UMNO/BN.

Drastik dan 'destructive', kombinasi yang paling di geruni.

Bagi mereka PKR dan DSAI benteng yang mesti diruntuhkan untuk memusnahkan Pakatan Rakyat. Kalau PKR dan DSAI bermasalah, maknanya bermasalah lah Pakatan Rakyat. Taktik yang sama DSAI sendiri buat masa kempen PRU 12, serang pemimpin UMNO, serang DEB, runtuhkan keyakinan rakyat pada UMNO/BN, hasil nya...tak payah disebut lah.

Serangan yang paling bagus ialah duit dan skandal seks. Ini cara paling mudah dan paling efektif selagi ia berlaku diatas muka bumi ini. Jika terjerat sebab dua benda ini, memang susah nak lepas. Rahim Tambi Chik berbelas tahun nak lepas. Isa Samad masih bergelut. Chua Soi Lek saja yang handal, tak sampai 5 tahun isu seks di hotel, terus jadi Timbalan Presiden.

Mungkin ramai yang boleh mengandaikan siapa strategis itu. KJ??... Bukan, bukan...jauh panggang dari api. Akal Oxford nya tak kan sampai kesitu. Dia cuma "master in provocation".

BN memang tak ada isu untuk menghentam PR. Langsung tak ada isu, kalau ada pun isu terpencil. Tapi DSAI dan PR ada bertimbun isu yang nak dijaja pada rakyat.

Mood rakyat sekarang pada PR dalam fasa menaik bukit, sokongan bertambah-tambah. Belum lagi sampai klimaks atau takat tepunya. Masih ada banyak sebab rakyat nak berpihak pada PR. Beribu fakta PR boleh beri pada rakyat mengapa keadaan ekonomi, sosial dan politik kita jadi huru hara.

Sokongan orang Melayu bertambah, sebab orang Melayu suka tunggu dan lihat.Mereka dah tunggu dan lihat keputusan PRU lepas. Signalnya jelas, PR semakin kuat dan popular. Siapa yang tak suka memihak pada yang kuat dan popular. Orang Melayu yang atas pagar atau yang dulu undi BN sebab sentimen tradisi akan masuk menyokong PR.

UMNO/BN pada pandangan rakyat dah memang sinonim dengan politik wang. Sesuatu yang mustahil untuk dikikis dari pemikiran rakyat hatta untuk 15, 20 tahun lagi, melainkan Presiden UMNO itu tiba-tiba turun dari langit dan berwatak macam Nik Aziz.

Serangan-serangan keatas individu PKR akan berterusan sebab mereka melambangkan Anwar Ibrahim, dan jika ada orang PAS dan DAP yang boleh dipalitkan, juga tak terkecuali terutama yang ada 'direct network' dengan Anwar.

Strategis-strategis ini semua ialah orang yang memihak pada Najib, samaada mereka memerlukan Najib atau Najib memerlukan mereka untuk survival. Najib memang bijak orang nya, jika tidak tak kan lah dia bakal jadi PM Mac ini walaupun semua orang UMNO dan perwakilan tahu kes Altantuya dan Razak Baginda bagaikan irama dan lagu dengan Najib.

Namun strategis utamanya ialah musuh nombor satu yang juga bekas bos DSAI sendiri. Wallahualam.

http://mt.m2day.org/2008/content/view/18398/84/

Pemuda UMNO Takut Terima Surat Debat

Belum berdebat, baru untuk menerima surat untuk ajak berdebat, Pemuda UMNO sudah kalut dan kecut untuk menerima pelawaan Pemuda PAS berdebat mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sain dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pemuda PAS, YB Salehuddin Ayub telah cuba untuk menyerahkan surat pelawaan tersebut kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tetapi gagal lantaran ketidakhadiran Menteri Pelajaran berkenaan di Dewan Rakyat semalam, sementara exco Pergerakan Pemuda UMNO yang lain enggan menerimanya bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO kerana merasakan diri mereka tidak layak untuk menerimanya bagi pihak Ketua Pemuda Pergerakan UMNO tersebut.

Justeru itu Salehuddin menghubungi YB Khairy Jamaluddin, Naib Presiden Pergerakan Pemuda UMNO yang bersetuju menerima memorandum itu pada hari ini.

Salahuddin berkata, memorandum tersebut adalah cabaran terbuka kepada Pemuda Umno supaya diadakan debat terbuka bagi membahaskan isu PPSMI secara intelektual supaya rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu itu.

"Inilah ruang terbaik untuk membincangkannya dalam suasana NGO dan rakyat bersatu hati untuk mengembalikan PPSMI kepada Bahasa Melayu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

"Kita harap Pemuda Umno dapat menerima untuk diadakan debat atau dialog secara sihat dan matang bagi membincangkan isu ini.

"Saya cukup terbuka dalam hal ini. Kalau diterima esok dan Pemuda Umno bersedia menerima cabaran ini, kita boleh membincangkan mekanisme terbaik untuk menyelesaikannya," katanya.

Ditanya ahli panel daripada Pemuda PAS yang akan menyertai debat tersebut jika ia diterima, Salahuddin berkata, hal itu akan diumumkan kemudian.


SPRM Tak Ubah Seekor Lembu Gila

Gara-gara kerana menjadikan diri mereka dicucuk hidung oleh UMNO-BN, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan akan dihadiahkan seekor lembu oleh Agkatan Muda Keadilan.

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengenai ada bukti kukuh untuk mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap Angkatan Pemuda KeADILan (AMK) Kelantan sebagai berniat jahat.

Sebanyak 36 laporan polis dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan bahagian di seluruh negara terhadap Ahmad Said Hamdan berhubung kenyataannya itu.

Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh menteri besar Selangor itu berkaitan dakwaan sumbangan 46 lembu korban dan kos selenggaraan kereta Lexus milik peribadinya menggunakan dana kerajaan negeri.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pengumuman Ahmad Said jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa kerana Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

"Tindakan beliau juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu gugat kestabilan kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam keadaan tampuk pemerintahan negara bakal diambil alih oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Apa Hak Polis Soalsiasat Speaker Perak?

Polis hari ini diheret dalam kancah politik Perak apabila menyoal siasat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.

Pihak polis bagaimanapun tidak memberitahu Sivakumar sebab kenyataannya diambil, sesuatu yang menjadi amalan biasa pihak polis dalam semua siasatan.

Sivakumar memberi kenyataan kepada sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak.

Pasukan yang diketuai Ketua JSJK, Supt Amarjit Singh mengambil keterangan beliau di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di Ipoh mulai jam 2.45 petang hingga 5.15 petang.

Siasatan itu bagaimanapun dipercayai berkaitan tindakan Sivakumar menggantung Zambry Kadir dan enam exconya dari Barisan Nasional sehingga 18 bulan atas cubaan berfungsi sebagai kerajaan negeri secara tidak sah.

Keputusan itu diambil minggu lalu pada mesyuarat jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Sivakumar.

Susulan keputusan itu yang berlandaskan kuasa Speaker, Perdana Menteri mengarahkan supaya laporan polis di buat terhadap Sivakumar.

Dalam kenyataannya Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai polis yang mengarahkannya untuk di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangan beliau.

Bagaimanapun, polis tidak menyatakan tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu.

Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis untuk menjelaskan beliau tidak menyalahi sebarang peruntukan undang-undang.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apa-apa peruntukan undang-undang di negara ini," katanya.

ikhsan TVANTARA



23 Feb 2009

80% Setuju Syarikat Konsesi Tamak

Sebanyak 80% bersetuju dengan dakwaan Menteri Besar Selangor bahawa syarikat konsesi air Selangor SYABAS dan Puncak Niaga tamak kerana meletakkan keuntungan 300% setahun.

Tan Sri Khalid membidas sikap tamak syarikat konsesi air di Selangor menjadi punca pembelian asset ditolak. Tan Sri Khalid menyatakan mereka mahukan pendapatan 300% setahun. Kalau kerajaan negeri menerima syarat mereka bererti rakyat Selangor yang terpaksa menanggung bebannya.

"Perniagaan apa yang dapat 300% setahun? Berjudi di genting pun lom tentu dapat keuntungan sedemikian," tegasnya.

Jumaat lalu, SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd telah memutuskan untuk tidak menerima tawaran kerajaan negeri Selangor dan telah menerima kritikan hebat dari rakyat Selangor kerana sikap tamak mereka.

Akibat dari campurtangan kerajaan Persekutuan yang menyebabkan kegagalan pengambil-alihan asset empat syarikat konsesi air mungkin akan menyebabkan kenaikan tarif air dengan mendadak dan pembatalan air percuma sebanya 20 meter padu.

Siapa Yang Derhaka Terlebih Dahulu?

Tindakan biadap Umno/BN menculik dan membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak telah bertukar menjadi pertembungan antara rakyat dan istana. Puncanya hanya satu media yang mengapi-apikan kononnya Menteri Besar PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah membuat sembah derhaka kepada Sultan Perak.

Apakah benar Nizar menderhakai sultan saya tidak pasti, tetapi yang pasti media pro BN menggembar-gemburkan hal ini sehingga imej Sultan Perak tercalar teruk di hati rakyat kerana para pemimpin Pakatan Rakyat mempertegaskan mereka tidak berniat derhaka, bahkan amat setia kepada raja.

Soal derhaka atau setia bukanlah hak saya untuk menentukannya. Biarlah sultan sendiri membuat perhitungan. Apa yang saya ingin lontarkan adalah derhaka bukanlah budaya dalam masyarakat Melayu di negara ini. Tetapi sejarah negara telah mencatatkan bahawa budaya menderhaka ini bermula di Rumah Umno dan merekalah yang membuatkan Raja-raja Melayu kehilangan wibawa sehingga rakyat bisa mentertawakan raja.

Bahkan, ketika Umno belum wujud, bakal presidennya yang pertama sudah dibuang negeri kerana derhaka kepada Sultan Johor. Dan pada Disember 1992, Umno jugalah yang membuat usul derhaka di Dewan Rakyat kerana marahkan Sultan Johor juga.

Raja zalim disanggah

Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa ketaatan mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul. Islam jugalah yang mewajibkan ketaatan kepada ulil amri (pemimpin) tetapi dengan batasan yang tidak melangkaui ketaatan kepada Allah dan Rasul. Sebarang perselisihan padangan, tidak ada pendekatan lain, melainkan kembali kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah). Inilah prinsip ketaatan dan kederhakaan dalam pemikiran Islam.

Walaupun orang-orang Melayu merasakan bahawa Raja tidak wajar diderhakai, sebenarnya budaya ketaatan Melayu sendiri bermula dengan 'waadat' antara Sang Sapurba yang bergelar Sri Tri Buana sebagai Raja dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat. Mitos Bukit Seguntang ini bermula dengan permintaan Demang Lebar Daun supaya Sri Tri Buana menerima anak cucunya (rakyat) sebagai hamba yang tidak akan dizalimi walaupun berlaku kesalahan, kecuali yang melanggar hukum syarak. Lalu Sri Tri Buana mengkabul permintaan rakyat dengan syarat semua jangan derhaka kepada keturunannya yang menjadi Raja.

"Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu yang mengubah dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah," demikian kedua-duanya bersetuju untuk berwadat itu.

Maknanya, ketaatan akan berakhir sekiranya istana tidak lagi mendukung prinsip keadilan kepada rakyat. Inilah garis antara hak dan tanggung jawab Raja dan rakyat yang berakhir dengan "dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas" dengan maksud memporak-perandakan negeri jika wadat ini dilanggari.

Sejarah Melayu telah merakamkan bahawa anak cucu Sri Tri Buana ini temasuklah Sultan Melaka. Kemudian berkembang membentuk Kesultanan Johor dan Perak pada abad ke-16. Kesultanan Perak dari keturunan Sultan Muzaffar Shah, iaitu anakanda Sultan Mahmud Shah Melaka masih bertahan sehingga hari ini.

Adapun keturunan Sultan Mahmud Shah yang berkerajaan di Johor telah berakhir dalam peristiwa mangkat dijulang yang terkenal itu. Mengapakah Sultan Mahmud Johor itu mangkat dijulang sehingga berakhirnya sebuah kesultanan pada 1699. Adil atau zalimkah baginda terhadap rakyat? Lalu 'terpaksalah' rakyat menderhakainya!

Salah sebuah kesultanan yang mempunyai hubungan dengan Melaka di bawah jurai keturunan Bendahara ialah Terengganu. Ketika negeri-negeri Melayu sedang dijajah pada awal abad ke-20, Sultan Zainal Abidin III dan para ulama telah menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu yang terkenal nama 'Itqanul Muluk bi Takdis Suluk' yang menetapkan Sultan Terengganu tidak boleh menyerahkan negeri itu kepada kuasa asing, jika demikian berlaku maka tidak wajib lagi rakyat taatkan rajanya.

Bukankah selepas British melantik penasihatnya di Terengganu pada 1919, berlaku pemberontakan besar pada 1924 hingga 1928 di Terengganu. Derhakakah rakyat atau zalimkah raja?

Pemimpin Umno mulakan sembah derhaka?

Politik Melayu moden selepas abad ke-20 telah memperlihatkan beberapa siri penderhakaan terhadap sultan. Di kalangan ahli politik, yang memulakannya ialah Dato Onn (datuk kepada Hishamuddin Hussein), yang kemudiannya menjadi Presiden Umno. Derhaka pertama berlaku pada 1920 apabila Dato Onn mengkritik Sultan Johor secara terbuka di mana sahaja. Beliau marahkan sultan kerana baginda melelong harta bapanya, Dato Jaafar setelah Menteri Besar Johor itu gagal membayar hutang negeri sehingga kematiannya.

Sultan Ibrahim sangat murka kepada Dato Onn. Penderhakaan ini berterusan sehingga Dato Onn dipecat jawatan dan dibuang negeri ke Singapura pada 1927.

Bukan Dato Onn sahaja yang menderhaka, abangnya, Dato Abdullah Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor turut menderhaka apabila menghina dan memburukkan nama Sultan Ibrahim di luar negeri pada 1927.

Seorang lagi kakak Dato Onn, Che Dara Jaafar yang menjadi isteri Sultan Ibrahim turut menerima nasib malang akibat penderhakaan ini. Dato Abdullah telah dipecat sebagai menteri besar dan dilucutkan gelarannya lalu di buang negeri bersama Che Dara oleh Sultan Johor.

Keluarga Dato Onn terbuang kerana derhakakan sultan, akhirnya Dato Onn menjadi pengarang Warta Malaya di Singapura, sebuah akhbar yan begitu lantang mengkritik dan memberi sembah derhaka kepada Sultan Johor pada 1930.

Selepas kembali ke Johor pada 1936, Dato Onn mendapat semula kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan sehinggalah beliau dilantik memangku tugas Menteri Besar Johor pada Oktober 1946, iaitu beberapa ketika selepas Umno ditubuhkan. Dato Onn ketika itu adalah Presiden Umno yang pertama.

Setelah jawatannya sebagai Menteri Besar Johor disahkan pada September 1947, Dato Onn telah mencadangkan supaya seorang Melayu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Raja-raja Melayu amat murka dengan cadangan Umno ini kerana ia meletakkan seorang Melayu di atas daripada kedudukan Raja-raja Melayu Sendiri.

Raja-raja Melayu mengesyaki jawatan itu hendak diberikan kepada Dato Onn dan ia dianggap satu penderhakaan Umno dan Dato Onn terhadap Raja-raja Melayu. Sultan Kedah, Sultan Badlishah adalah antara yang paling lantang menentang tindakan derhaka Dato Onn.

Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union. Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Dato Onn sekali lagi melakukan derhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan. Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato Onn menderhakai Raja-raja Melayu dengan menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai kacang lupakan kulit dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato Onn meletakan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949.

Inilah pengalaman derhaka terawal dalam sejarah politik Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Tindakan Umno melantik seorang yang mempunyai rekod derhaka sebagai Presidennya telah membentuk sikap derhaka yang berterusan Umno terhadap Raja-raja Melayu.

Dato Onn semenjak mudanya mempunyai sikap menderhakai rajanya, kemudian dengan kekuatan sokongan ahli-ahli Umno pada 1948, beliau secara terbuka mencabar kuasa Raja-raja Melayu, dan menggunakan platform Umno untuk menghina dan menderhakai Raja-raja Melayu, termasuk membuat ugutan untuk mengajak ahli-ahli Umno menamatkan sahaja sistem beraja di negara ini! Bukankah derhaka ini bermula dari Rumah Umno?

Mohd Fadli Ghani



LCCT: Najib Berkluk-Klek

Selepas menyerang PAS sebagai 'kluk klek' di Kuala Terengganu, kini pengarah pilihan raya BN Kuala Terengganu, Datuk Seri Najib Razak yang sebenarnya 'kluk klek'.

"Mula-mula lulus, kemudian tarik balik, lepas itu lulus pula dan kini tolak pula," kata seorang pembaca ketika mengulas pengumuman Najib mengenai rancangan lapangan terbang tambang murah di Labu, Negeri Sembilan.

Kluk klek adalah loghat Terengganu yang bermakna tidak tetap pendirian atau flip flop dalam bahasa Inggerisnya.

Sebelum ini, semasa pilihan raya kecil Terengganu, beberapa hari sebelum pilihan raya kecil itu, BN menaikkan kain-kain rentang yang menyerbut perkataan 'kluk klek' bagi menyerang kononnya ia sikap PAS.

Namun, ia hanya disifatkan sebagai serangan di saat-saat akhir BN terhadap PAS dan ditolak oleh pengundi apabila PAS menang dengan majoriti 2613 di Kuala Terengganu.

Apabila Tun Dr Mahathir menyerang rancangan pembinaan lapangan terbang tambang murah di Labu, pendirian Najib dilihat berubah mengenainya dan semalam memutuskan ia ditolak sepenuhnya.

siasahdaily.blogspot.com