19 Mei 2015

Ahmad Awang: Mengapa Saya Terima Untuk Bertanding Jawatan Presiden?


Ketika kenyataan rasmi ini ditulis, saya baru sahaja selesai mengikuti program Global Convention Of Scholars For Palestine yang berlangsung di Beirut selama seminggu bermula 16 Mei lalu.

Mudah-mudahan kenyataan ringkas ini mampu menjawab persoalan rakan-rakan dalam PAS dan rakyat umumnya berhubung sebab dan tujuan saya menerima pencalonan untuk bertanding presiden PAS sesi 2015-2017.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang dipandu perlembagaan, telah menetapkan dalam Kaedah 4.8.6, Peraturan-Peraturan Pemilihan PAS 2013 (Pindaan 2014), bahawa “Hanya calon-calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan sahaja yang layak bertanding di dalam pemilihan kecuali bagi kawasan yang mempunyai kurang daripada lima (5) cawangan dan negeri yang mempunyai kurang daripada 5 kawasan di mana satu (1) pencalonan sahaja sudah memadai bagi Kawasan dan Negeri tersebut”.

Justeru penerimaan pencalonan ini secara asasnya kerana diizinkan bahkan diraikan dalam jemaah yang kita sayangi ini.

Bahkan jika sahabat-sahabat lama PAS masih ingat, pertandingan seumpama ini pernah berlaku antara Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad sekitar tahun 1956.

Menariknya pertandingan ketika itu menatijahkan kesan yang baik kepada jemaah dan meningkatkan ukhuwah dan mahabah sesama anggota PAS.

Rentetan sejarah positif berikut, saya dengan penuh takzim menggagaskan faktor-faktor utama yang mendorong saya bertanding:

(1) Saya berhasrat - tentunya dengan dokongan semua - ingin mempererat ukhuwah, dan memperkukuh kesatuan ahli bertunjang kasih sayang kerana Allah.

Perkara ini sudah pasti bermula dengan memupuk kesepaduan dalam kalangan pimpinan sesuai dengan peranan yang disebut dalam Fasal 26 (1) (d) iaitu "Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing".

PAS perlu menekuni firman Allah dalam surah As-Soff “kal bunyanum marsus”, iaitu seperti binaan yang saling memperkukuh dan menguatkan antara satu sama lain.

Setiap ahli keluarga PAS perlu menginsafi bahawa 'binaan' PAS ini tidak dibina dengan hamparan merah. Perit dan jerih silih berganti.

Maka sudah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan 'binaan' ini terus utuh demi memikul amanah siasah dan dakwah di bumi Malaysia ini.

Dengan kesatuan ukhuwah ini juga, seluruh saf jemaah dapat memberi fokus untuk menunaikan amanah pentadbiran bagi negeri yang telah PAS menangi seterusnya berusaha memenangi negeri-negeri yang masih belum lagi kita menangi.

Amanah yang dipundakkan di bahu PAS hakikatnya terlalu berat. Hampir mustahil amanah ini dapat dilunaskan jika ahli dan pimpinan di setiap peringkat tidak fokus dan tidak bersatu.

(2) Meraikan perbezaan pandangan lantas mengurusnya dengan hikmah dan bijaksana.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang cukup berpengalaman, dan memiliki bilangan ahli yang mencecah jutaan, bukankah perbezaan pandangan itu sememangnya sukar untuk dielakkan?

Mustahil untuk PAS mempunyai hanya satu pandangan sahaja. Ini membuktikan PAS sememangnya sarat dengan potensi dan kebijaksanaan yang perlu diraikan dan diurus untuk manfaat PAS itu sendiri.

Kita tidak mahu lagi PAS dikotak-kotakkan dengan perbezaan profesional dan ulama. Kita juga tidak mahu lagi PAS dijurangkan dengan sentimen 'anti itu' dan 'anti ini'.

Keadaan ini sesuai sepertimana yang diungkapkan oleh Al-Qaradhawi, "Perbezaan pendapat itu tidaklah berbahaya, khususnya dalam soal furuk sebahagian usul yang bukan asas. Akan tetapi yang berbahaya adalah perpecahan dan permusuhan yang telah diingatkan Allah dan Rasul-Nya kepada kita!"

Setiap sosok tubuh ahli PAS itu adalah rahmat yang Allah kurniakan kepada PAS. Maka terpulang kepada kepimpinan sam aada untuk bersyukur atau mensia-siakan peluang yang Allah berikan.

(3) Terus mempersada PAS di arena nasional.

PAS mempunyai 21 Ahli Parlimen dan 83 Adun di seluruh Malaysia. Jika rakyat mahu melihat bagaimana PAS jika diizin Allah memerintah Malaysia, maka 21 Ahli Parlimen dan 83 ADUN inilah yang akan menjadi ‘qudwah’ atau contoh panduan kepada rakyat.

PAS perlu sentiasa mengiktriaf dan menghargai peranan ahli Parlimen dan ADUN PAS.

Wakil-wakil rakyat inilah yang perlu sentiasa aktif membincangkan polisi-polisi di peringkat nasional dan negeri, mencadangkan pembaharuan kepada Kerajaan, dan perlu bersikap akomodatif kepada tuntutan rakyat.

Selain mengoptimumkan peranan wakil-wakil rakyat PAS, PAS mempunyai ramai lagi tokoh berketerampilan yang boleh dikehadapankan.

Lihat saja sejarah, terlalu ramai pemimpin PAS yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan rakyat. Saya percaya inilah harapan rakyat terhadap PAS.

Rakyat mahu melihat kepimpinan PAS terus menjadi peneraju dalam memperjuangkan isu-isu mereka.

(4) Terus aktif berpartisipasi dalam isu-isu internasional.

Pengalaman 17 tahun sebagai Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cukup mendedahkan saya betapa PAS perlu menjadi pendukung kuat kepada agenda pembangunan Islam sejagat.

PAS merupakan antara gerakan yang terkehadapan dalam mengetengahkan Islam di lapangan demokrasi.

Oleh itu saya berhasrat untuk memastikan PAS akan terus aktif menyertai forum-forum antarabangsa bagi berkongsi pengalaman PAS untuk manfaat gerakan Islam sejagat.

Hari ini dunia Islam berhadapan dengan rencam global yang sangat mencabar. Serangan terhadap Islam datang dari segenap penjuru.

Wujud kempen halus yang cuba melabelkan Islam sebagai antidemokrasi dan prokeganasan.

Bahkan terkini, hukuman yang dijatuhkan oleh pihak penguasa Mesir keatas Dr Muhammad Morsi, rakan-rakan seangkatan beliau dan Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi juga sudah cukup memperlihatkan kebangkitan Islam dalam pentas politik antarabangsa perlu diurus dengan penuh gagah dan berstrategi.

Maka kehadiran PAS di arena antarabangsa itu sendiri sudah cukup untuk menjadi jawapan kepada seluruh tohmahan negatif ini.

Selama 61 tahun di lapangan demokrasi, PAS terus konsisten mengetengahkan Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan ummah.

Akhirnya, saya melihat bahawa teras kekuatan PAS selama ini ialah ahli yang bersatu padu, mengutamakan perjuangan lebih daripada kepentingan diri dan keluarga serta hala tuju dan matlamat yang jelas sama ada di dunia mahupun akhirat.

Ketika ketiga-tiga ini kembali menyatu dan kukuh, saya yakin dan percaya PAS tidak hanya akan hadir sebagai tiang seri kekuatan Pakatan Rakyat bahkan lebih jauh mampu membuktikan kepada dunia bahawa PAS mampu melaksanakan sebaiknya amanah kepimpinan.

Ini sebagaimana yang disebut Al-Mawardi, "Iqamatiddin wa siayatud dunya bih", membangunkan agama Allah dan mentadbir dunia dengannya. -mk


Ahmad Awang bukan ‘bahaya dari gunung’

Kesediaan bekas Ahli Majlis Syura Ulama dan bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang untuk bertanding sebagai calon presiden pada Muktamar PAS ke-61 awal bulan depan menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Ulama berasal dari Gunung Semaggul, Perak itu dicalonkan oleh beberapa kawasan PAS di seluruh negara.

Beliau menyatakan kesediaannya menjadi salah seorang calon, dua hari sebelum berlepas ke Beirut untuk menghadiri suatu persidangan Islam di sana.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak 13 tahun lalu. Sebenarnya, dalam sebuah sistem demokrasi yang diamalkan oleh PAS, kesediaan Ahmad untuk bertanding sebagai calon presiden itu bukan sesuatu yang aneh dan luar biasa. Tetapi malangnya menimbulkan reaksi yang pelbagai, malah ada yang melucukan.

Ini mencerminkan tahap kematangan sesetengah pendukung PAS, termasuk di kalangan sesetengah pimpinan PAS sendiri pada ketika PAS sudah berumur 61 tahun,

Di sinilah saya teringat akan ucapan bekas pimpinan Umno pada tahun 50-an, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, yang mengatakam “hubaya-hubaya bahaya dari Gunung” di mana pengasas Umno itu merujuk ucapannya itu kepada kewujudan badan politik Islam – Hizbul-Muslimin – dari Gunung Semanggul yang menjadi cabaran kepada Umno.

Umno yang baru ditubuhkan ketika itu sangat bimbang dengan pengaruh Hizbul-Muslimin yang diasaskan oleh Allahyarham Abu Bakar Baqir pemimpin Madrasah Ehyau-Sharif, kerana Hizbul-Muslimin yang berasaskan Islam dan memperjuangkan kemerdekaan sangat berpengaruh.

Ia menjadi pencetus kebangkitan umat Islam untuk memperjuangkan kemerdekaan. Allahyarham Onn merasakan Hisbul-Muslimin sebagai cabaran utama kehadiran Umno, lalu ia mengaitkan akan ‘bahaya dari gunung’.

Daripada roh dan semangat Hisbul-Muslimin ini lahir kemudiannya PAS yang kini sudah berumur 61 tahun. Hingga kini, orang tidak akan melupakan begitu saja Madrasah Ehya Ehyau-Sharif yang dipagari banjaran Gunung Semanggul dan banjaran bukit bukaunya yang indah.

Secara kebetulan Ahmad, salah seorang calon presiden PAS kali ini, adalah bekas pelajar Ehyau-Sharif sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Maka ada pihak yang tidak bersetuju beliau menjadi calon, lalu ditimbulkan kembali kata-kata “bahaya dari gunung”.

Tidak ada apapun ‘bahaya’ yang dibawa oleh Ahmad dari Gunung Semanggul hingga boleh menakutkan dan kebencian sesetengah pihak.

Ada pula suara-suara sumbang daripada pihak yang tidak menyukainya bertanding dengan mengatakan kononnya, “Ustaz Ahmad Awang sia-sia saja bertanding, dia akan kalah, pencalonannya tidak sebanyak mana.”

Ada pula pihak yang menghalangnya menyampaikan kuliah di beberapa masjid dan surau, padahal beliau memiliki tauliah dan ada pula pihak yang “melarang” ahli PAS daripada mendengar ceramahnya, ada yang memasang kain rentang di pagar kediaman yang berbunyi, “Ahmad Awang tolong jaga akhlak” dan pelbagai penghinaan lagi.

Kalaulah hendak dipakai teori politik iaitu siapa akan kalah tidak perlu bertanding, maka mengapa PAS bertanding juga di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, kubu kuat Umno, yang amat sukar untuk dimenangi oleh PAS.

PAS banyak beranding di kawasan yang dikira tidak selamat, atau mempunyai harapan tipis untuk menang, tetapi mengapa bertanding juga.

Inilah tahap pemikiran sesetengah pendukung PAS yang sangat naif, bukan saja dalam menghayati erti demokrasi bahkan juga usaha seseorang untuk menawarkan sumbangan yang dirasakan mampu untuk meningkatkan perpaduan dan kekuatan PAS menghadapi cabaran bukan saja di peringkat nasional; tetapi juga global.

Oleh itu, janganlah ada kenyataan dan sikap yang di dorongan oleh emosi dan kebencian sampai memperkecilkan seseorang calon. Ini bukan akhlak Islam. Biarkanlah demokrasi subur di dalam PAS, itupun jika PAS masih mahu mengamalkan demokrasi.


Kini sudah ada suara-suara di kalangan sesetengah ahli PAS yang berkata, “demokrasi bukan segala-galanya”. Benar, demokrasi bukan segala-galanya, tetapi terbukti, melalui demokrasi, PAS mencapai beberapa kemenangan dalam pilihan raya seperti di Kelantan dan tempat lain. Kalau kemenangan pilihan raya juga bukan segala-galanya, maka melalui apa untuk mencapai kemenangan Islam di negara ini?

Kini, muktamar PAS semakin hampir. Kempen boleh saja dilalukan asalkan dengan tertib dan dalam lingkungan Islam. Jangan ada sebarang halangan cemuhan, tuduhan, melabel dan umpat keji dalam proses pertandingan pucuk pimpinan nanti.

Demokrasi di dalam PAS kini benar-benar sedang diuji. Kalah atau menang Ahmad, Muhammad Sabu dan calon-calon lain adalah biasa. Ia terletak sepenuhnya kepada para perwakilan yang berhak mengundi.

Tidak ada apa-apa bahaya dari gunung yang dibawa Ahmad. Tasawuur Islam yang dibinanya di Gunung Semanggol itu, yang sering saya kunjungi ketika berada di Perak, mengisikan kelas pengajian berterusan. Dibina atas usahanya sendiri dengan mengumpul dana sumbangan penderma sedikit demi sedikit. Takkanlah Tasawuur Islam Tasawuur Islamnya ini juga “bahaya dari gunung”.

Semenara itu, saya yakin perwakilan ke muktamar ini akan memilih calon pimpinan yang difikirkannya boleh membawa PAS menghadapi cabaran masa depan yang sangat crucial terutamanya dalam hubungan kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bukti yang ada selama ini, menunjukkan tokoh seperti Ahmad, Muhamad, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dulkifly, Ir. Nizar Jamaludin dan lain-lain adalah mereka yang selama ini memainkan peranan penting memperkukuh PAS dalam PR. Malah mereka dilihat sebagai jambatan penting menghubungkan PAS dengan parti komponen dalam PR.

Oleh itu, jambatan ini jangan dirobohkan hanya kerana emosi dan prejudis atas isu dan masalah yang sebenarnya boleh diselesaikan melalui perundingan.

Tidak ada apa yang merosakkan dasar perjuangan Islam PAS dengan penyertaan PAS dalam PR, kerana selamanya PAS tidak pernah berkompromi dengan dasar Islamnya.

Oleh itu, saya percaya dengan segala kebijaksanaan para muktamirin, PAS akan terus memperkukuh PR seperti ikrarnya dalam empat muktamar yang lalu.
-A.Shukor Harun


6 ulasan:

Awanama berkata...

penting UAA bertanding

sebagai suatu pendidikan kpd presiden dan UG bahawa perlembagaan PAS membenarkan pertandingan.

sebagai isyarat bahawa presiden bukan jawatan seumur hidup.

jika ini tidak diterima oleh UG, maka apakah PAS sudah ke arah kepimpinan khawarij umpama IS? yg memusuhi sesapa saja yg berlainan pendapat dgn mereka

Awanama berkata...

Ahli-ahli Pas terdiri daripada latar pemikiran dan disiplin ilmu yang berbeza. Ahmad Awang berusaha untuk mempertautkan perbezaan pendapat ahli-ahli Pas ini. Hadi Awang pula melayan perbezaan pendapat dengan meminta ahli-ahli Pas yang tidak sehaluan dengan beliau supaya keluar daripada Pas dan menubuhkan parti baharu. Di samping itu juga, Hadi Awang telah menggelarkan ahli-ahli Pas yang tidak sealiran dengannya dengan memberikan gelaran "barua" dan "broker".

Alangkah malangnya jika Hadi Awang terus diberi mandat menjadi Presiden Pas, sedangkan strategi beliau secara diam-diam berselingkuh dengan Umno untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan (UG). Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cukup cerah untuk memenangi singgahsana Putrajaya pada PRU 14.

Kemenangan Hadi Awang sebagai Presiden Pas dirasakan sebagai pemangkin kepada kegagalan PR memenangi PRU 14, lantaran sikap beliau yang mudah membuat pusingan U dan mengeluarkan pendapat yang tidak sealiran dengan semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Harap-harap kemenangan yang bakal diperolehi oleh Ahmad Awang mampu untuk mengembalikan kepercayaan pengundi-pengundi bukan Melayu untuk terus memberikan sokongan kepada Pas dalam PRU 14. Amat sukar Pas mendapat undi bukan Melayu seperti yang berlaku pada PRU 13, seandainya Hadi Awang menjadi peneraju Pas pada pemilihan Jun 2015. Individu dan ketokohan tidak sepenting kemenangan PRU 14 untuk menjatuhkan kerajaan BN yang cukup-cukup menindas rakyat.

Awanama berkata...

Pertembungan di antara extrimis dan sederhana, golongan radikal dan golongan yang mementingkan tasawuf

hyipptrekker berkata...

Moga Tuan Guru Ustaz Ahmad Awang memenagi pemilihan presiden nanti agar bolih memimpin PAS. Seterusnya memimpin negara dan bakal Perdana Menteri Malaysia.

Awanama berkata...

Saya sokong ustaz ahmad awang sbg presiden baru pas...
saya sedar jika pas bergerak sendirian, pas tak akan ke mana dan jika pas tanpa kuasa apakah makna lagi dlm persada politik negara...
lihat contoh selangor sebelum dan selepas pakatan rakyat memerintah...dulu tak ada kuasa, nak masuk masjid bagi tazkirah pun kena halau...dah lupa ke?

Awanama berkata...

Semoga Ustaz Ahmad Awang menang kerana Ustaz Hadi gagal dalam kepimpinan seperti gagal mmpertahankan kerajaan PAS/Pakatan di Terengganu.