13 Feb 2015

[VIDEO] Perginya Seorang Pemimpin & Ulama Yang Dikasihi Ramai


Orang ramai mula membanjiri kediaman allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh politik dan agama itu.

Bukan hanya daripada Kelantan, sejak pemergian allahyarham kira-kira 9.45 malam tadi, orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Kelantan daripada pelbagai pelosok negara.

Seawal waktu Subuh, kenderaan memenuhi sekitar kawasan itu sehingga kereta terpaksa diletakkan sejauh kira-kira 2 kilometer.

Ramai lagi dijangka hadir awal pagi ini.

Solat jenazah dijadual dilangsungkan pada jam 10 nanti sebelum jenazah tokoh itu disemadikan.

LAPORAN LANGSUNG

11.45am: Orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan Pulau Melaka yang sejak dari pagi telah dihadiri oleh puluhan ribu orang.

Seorang warga tempatan yang ditemui, Mohammad Ibrahim, 53, berkata beliau sedih dengan pemergian Nik Aziz.

Beliau berkata, kehilangan Nik Aziz tiada pengganti memandangkan Nik Aziz merupakan seorang yang sangat berpegang terhadap kata-katanya.

"Sedih. Sebab tiada pengganti dia. Dengan orang ramai yang hadir ini pun nampak yang beliau seorang ulama yang sangat disanjungi," katanya yang kelihatan sugul.

11.24am: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai bacaan doa dan talkin, dalam keadaan sedih dan hiba.

11am: Selain orang ramai, tolak menolak antara orang ramai, media dan unit amal juga berlaku di bawah khemah di tempat Nik Aziz dikebumikan.

Turut kelihatan berada di kawasan pengebumian ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

10.42am: Keadaan di tanah perkuburan Pulau Melaka sesak dengan orang ramai yang mahu melihat jenazah Nik Aziz dikebumikan.

Berlaku tolak menolak antara orang ramai berdekatan khemah tempat Nik Aziz akan dikebumikan.

Cuaca yang tadinya panas turut bertukar mendung.

10.40am: Keranda jenazah Nik Aziz kelihatan oleh ahli keluarganya melalui Jalan Long Sulaiman menuju ke tanah perkubuhan berhampiran.

Pemimpin PAS termasuk Dr Hatta Ramli dan Dzulkefly Ahmad kelihatan mendahulu kumpulan di hadapan.

Pada masa yang sama, orang ramai berasak-asak untuk menatap jenazah Nik Aziz.

10.32am: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kelihatan di dalam salah sebuah kenderaan polis yang menuju ke tanah perkuburan.

10.18am: Terdapat kehadiran anggota polis di kalangan 10,000 orang yang bertumpu ke Pulau Melaka. Ada yang dilihat berjabat tangan dengan anggota polis sambil mengucapkan 'terima kasih atas khidmat mereka.

10.15am: Bagi Normadiah Abdul Rahman, 59, beliau sedih dan terharu melihat puluhan ribu yang menunaikan solat jenazah itu.

Sambil menangis, dia yang tinggal di Kampung Senang, Pulau Melaka berkata, jasa Nik Aziz akan sentiasa diingati, memandangkan mursyidul am PAS itu menyerahkan seluruh kehidupannya untuk Islam.

"Saya tak pernah lihat ramai sangat solat begini. Saya takut tak ada yang boleh ganti dia. Hidup dia untuk Islam," katanya sambil mengesat air mata.

10am: Ribuan menunaikan solat jenazah. Mereka bersolat di sepanjang jalan sehingga ke masjid Tok Guru.

Selepas selesai, mereka mula berarak menuju ke tanah perkuburan.

9.50am: Ketibaan ustaz popular Ustaz Azhar Idrus menggamit suasana seketika. Rata-rata teruja ketika Ustaz Azhar menuju ke perkarangan masjid.

Dan pada ketika ini juga, orang ramai sedang bersedia untuk menunaikan solat jenazah.

9.35am: Orang ramai mula melaungkan takbir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba di perkarangan masjid Tok Guru.

Takbir yang berterusan itu dilaungkan kuat dan berlanjutan selama kira-kira lima minit, ketika Najib berjalan menuju ke masjid.

9.30am: Semakin ramai menuju ke Pulau Melaka dan berkumpul di sepanjang Jalan Long Sulaiman.

Menurut agensi berita nasional Bernama, jumlah hadirin mencecah "puluhan ribu".

9.20am: Berlaku sedikit kekecohan di dalam masjid ketika pengacara menggesa orang ramai dan media supaya tidak mengambil gambar atau membuat rakaman video jenazah Nik Aziz.

Katanya, ia adalah atas pemintaan keluarga Nik Aziz.

Ekoran itu ada yang menjerit terhadap mereka yang membuat rakaman di dalam masjid, sehingga mendorong pengacara campur tangan dan menggesa supaya bertenang.

9.15am: Lim Guan Eng dijemput untuk berucap kepada orang ramai.

Guan Eng berkata Nik Aziz menjadi mentor kepada kepada ketua menteri dan menteri besar Pakatan Rakyat.

Nik Aziz, tambahnya bukan sahaja dihormati oleh orang Islam tetapi juga dikagumi oleh orang bukan Islam.

9.05am: Setiausaha Agung PAS Datukl Mustafa Ali berucap kepada hadirin dari dalam masjid.

Beliau berkata Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut hadir selepas tiba dari Pulau Pinang pagi ini.

Beliau juga berkata pemergian Nik Aziz secara kebetulan dengan pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim.

"Apa juga yang berlaku kepada kita, kita akan terus berjuang," katanya sambil mengingatkan mereka tentang nasihat Nik Aziz bahawa walaupun tiada lagi pemimpin, mereka mesti meneruskan perjuangan.

Ucapannya itu disambut dengan laungan "Allahuakbar"

9.00am: Jet yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membuat pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

8.59am: Jenazah Nik Aziz kini berada di dalam Masjid Tok Guru. Orang ramai melaungkan takbir semasa jenazah itu dibawa.

Orang ramai diberi peluang untuk ziarah dan menatap wajah Nik Aziz buat kali terakhir.

Selain itu, ahli keluarga juga meminta supaya orang ramai tidak merakamkan gambar ketika berada di dalam masjid.

8.30am: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berucap kepada orang ramai. Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang.

Beliau yang kelihatan sedih berkata, Kelantan telah kehilangan seorang pemimpin besar.

Sebelum itu, pengumuman dibuat, memaklumkan bahawa jenazah Nik Aziz akan dibawa keluar dari masjid pada pukul 10 pagi.

8.20am: Suasana di dalam rumah suram dan sugul. Pada ketika ini, jenazah Allahyarham Nik Aziz sedang dimandikan.

8.15am: Sekurang-kurangnya tiga ribu orang berada di sekitar rumah Allahyarham Nik Aziz.

Terdapat sebuah masjid yang terletak di dalam kawasan kediamannya. Mereka menunggu untuk menunaikan solat jenazah.

Di Jalan Long Sulaiman pula, orang ramai sedang beratur - dianggarkan sepanjang dua kilometer - menuju ke rumah Nik Aziz.

8.00am: Suasana di lapangan terbang Sultan Ismail Petra sesak dengan kehadiran orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz

Kerajaan negeri turut menyediakan perkhidmatan van khas untuk ahli politik dan media dari lapangan terbang ke kediaman Nik Aziz di Pulau Melaka. Kenderaan khas yang disediakan sebanyak kira-kira 10 buah, digunakan bagi memasuki jalan-jalan yang ditutup antaranya di persimpangan untuk memasuki kawasan Masjid Tok Guru di mana jenazah dijangka akan disolatkan di situ.

Antara yang dilihat tiba dengan penerbangan awal dari Kuala Lumpur ialah ahli jawatankuasa PAS pusat Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin.























7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tok Guru yang kita sayang pergi dengan cepat , Melayu2 siang malam aniaya kita tak pergi2 lagi hidup menyusahkan semua.

Sedih lah tak de lagi Nik Aziz.

non penang berkata...

Alhamdulillah perginya pada keredaan Allah. Aku mahu menulis panjang tapi air mataku mengalir, mengalir terus, entah mengapa padahal Allahyarham bukan mengenali aku, aku pun tak pernah bersua dengannya.... tapi, masyaallah.

mtgbertam berkata...

Usai solat jumaat, masjid di tempatku di selqngor ini menganjurkan solat jenazah ghaib utk Arwah Tok Guru. Sekilas pandang, angka mencecah seribu lebih juga. Begitu lah bagaimana Allah memuliakan hambanya yang bertaqwa.

Fitri berkata...

Innalillahi wa inna ilahi rajiun...Al-Fatihah buat Tuan Guru yang dikasihi...Salam Takziah buat ahli keluarga al-marhum...telah perginya hamba untuk mengadap Penciptanya...Allah menyamputnya dengan penuh kasih sayang..ribuan manusia memberikan dan menterjemahkan kasih buat Tuan Guru...apatah lagi para malaikat hamba yang Allah kasihi...Tuan Guru bukan sekadar pejuang sahaja...semoga kita dapat lahirkan lebih ramai orang soleh yang Allah kasihi dan memakmurkan bumi bersama dakwah menuju redha dan rahmat Allah...semoga Allah mengurniakan dan menghadirkan orang Soleh untuk membimbing kita dan menegak syariat dan syiar Islam...InsyaAllah

Tanpa Nama berkata...

Pemergiannya mengimbas kembali kenangan lama saya sewaktu bertugas di kota bharu 14 tahun yang lalu. Ketika berhadapan, beliau seorang yang lemah lembut, penyabar dan sedikit lucu. Beliau berpandangan jauh utk ugama dan rakyatnya. Tapak tangannya halus dan sedikit sejuk ketika berjabat tangan dengan beliau. Saya terkesan dengan senyuman dan lambaiannya 14 tahun yg lalu.
Pemergian beliau sukar dicari ganti. Mudah2an Allah membuka seluas2nya pintu syurga untuk Allahyarham.
Al-Fatihah....

Tanpa Nama berkata...

Kita menyayangi allahyarham namun Allah lebih menyayanginya.

Tanpa Nama berkata...

Puluhan ribuan pelawat itu sendiri menunjukkan betapa rasa hormat terhadap Tok Guru tidak dapat dilafazkan dengan kata2. Seorang yang tegas dan tetap pada pendirian dikagumi oleh rakan, dihormati oleh semua, diiktiraf oleh rakan, kawan dan lawan Tok Guru merupakan tokoh politik terbesar pada abad ini di Asia Tenggara. Meskipun bukan seorang Islam pemergian Tok Guru ini merupakan suatu kehilangan besar buat negara dan umat Islam di Malaysia. Secara peribadi saya turut berasa sedih dan terharu mengenangkan segala sumbangan dan sifat sentiasa 'merendah diri' beliau. Sunguhpun begitu, saya juga turut merasakan bahawa rakyat sudah mula sedar dan bangkit untuk memperkuatkan apa yang sudah diasaskan oleh beliau, dan tiada suatu kuasa pun di dunia melainkan Allah yang dapat memadamkannya. Rakyat Kelantan, BANGKIT!!!!!!