13 Feb 2015

[VIDEO & GAMBAR] TG Nik Aziz Nik Mat Telah Kembali Ke Rahmatullah -updated


Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini jam 8.45 malam.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan lewat malam ini menyebut, Nik Abdul Aziz sudahpun dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

TG Nik Aziz dilaporkan telah dibawa pulang dengan berbantukan bekalan oxygen.

Sebelum ini anaknya Nik Mohamad Abduh menyatakan tahap kesihatan ayahnya kini kembali merosot.

“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas jalani rawatan pada ulsernya semalam."

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Nik Abduh menyatakan solat jenazah akan diadakan pada jam 10.00 esok pagi di masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Allahyarham dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Di penghujung hayatnya, sebelum ini Allahyarham telah memesan dan memberitahu kepada kita untuk terus beruasaha memenangkan Islam.




Dan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengambil TG Nik Aziz pada malam ini, malam yang penuh barakah, hari Jumaat...... ALLAHU AKBAR!!!




Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.













14 ulasan:

Ammy Hassan berkata...

Alfatihah buat tuan guru Nik Aziz yg kembali ke rahmatullah jam 9:45 malam tadi 12/2/2015. Moga Allah swt tempatkan Al marhum tuan guru bersama orang-orang yang beriman. Moga Allah memberikan kekuatan kepada Pakatan Rakyat yang ditinggalkannya. Aamiin.

Faqirulkhoir berkata...

Salaam, gue yakin sepenuh hati Allah S.W.T. mencurah curahkan rohmatNya keatas roh almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sesungguhnya dia telah mengisikan usianya dgn kebaktian terbit dari iman yang tulen. Ya Allah, ya Robbul 'alamin, terimalah ia dlm taman2 syurgaMu. Amin.


Tanpa Nama berkata...

Al Fatihah

Moga2 Roh Nik Aziz ber sama roh beriman , soleh.

Anti Fitnah berkata...

Kembalinya PERMATA bertemu dengan Allah swt, Tuhan sekalian alam.
Moga Allah swt mecucuri rahmat ke atas roh TGNA dan tempatkan TGNA di kalangan insan solehin dan beriman. Amiin.

BaDiN berkata...

al fatihah,,,,salam takziah kepada ahli keluarga tuan guru nik aziz,yang telah meninggal dunia di rumahnye di pulau melaka,kota bharu,jam 9,45 malam tadi,Moga semua redha dengan pemergian ini. Doakan beliau ditempatkan di syurga Firdausi.,,
al fatihah,,,,salam takziah kepada ahli keluarga tuan guru nik aziz,yang telah meninggal dunia di rumahnye di pulau melaka,kota bharu,jam 9,45 malam tadi,Moga semua redha dengan pemergian ini. Doakan beliau ditempatkan di syurga Firdausi.,,

Tanpa Nama berkata...

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba2 Allah yg beriman. Al-Fatihah.

Ridd berkata...

Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga Allah membalas jasa dan bakti Almarhum. Kehilangan besar Ulamak Tersohor
1931-2015.

Tanpa Nama berkata...

Selamat jalan tok guru, semoga Allah menempatkan mu di kalangan ahli syurga..

Tanpa Nama berkata...

Walaupun sayu hati dengan pemergianmu...
Namun kami redha...
Berehatlah wahai murabbi...
Lepaskanlah lelah perjuanganmu..
Damailah engkau di sana di sisi sang pencipta

Tanpa Nama berkata...

Allah telah mengambil seorang lagi ulamak dan menraikbalik ilmu dari dunia ini,Beliau bukan sahaja disayagi Allah tetapi beliau disayangi oelh semua manusia yang berbeza agama .Semoga Allah tempatkan sebagai ahli Syurga.

Tanpa Nama berkata...

perginya dimalam yg baik, dijamin syurga. takziah buat keluarga beliau. semoga ruhnya dicucuri rahmat dan berbahagia di sana.

Unknown berkata...

Antara perginya seorang MURABBI HEBAT dan terpenjaranya seorang PEJUANG RAKYAT...rakyat Malaysia yang cintakan keadilan merasa kesedihan yang bertimpa-timpa diatas dua insiden ini.Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham Tok Guru bersama golongan orang2 yang beriman dan semoga diberi kekuatan yang berganda buat PEJUANG RAKYAT,Datuk Sri Anwar Ibrahim.

NikOldSkool Photography berkata...

Salam takziah..semoga TGNA berada di kalangan insan solehin dan beriman. Amiin.
Al-Fatihah.

Tanpa Nama berkata...

Alfatihah. Moga rohnya dicucuri dan diberkati Allah. Kehilangan yg sgt dirasai.
Maaf sekiranya tidak benar. Apa yg saya diberitahu oleh rakan saya, gambar kafan/kucup itu bukanlan gambar Allahyarham TGNA tapi Allahyarham Hasbullah Awang. Wallahualam. Harap ada yg lebih tahu.