14 Jul 2014

Pesanan Akhir Ab Rajah: "Jaga Anak Kita Baik-baik"!


Jaga anak kita baik-baik" pesan anggota polis yang terkorban di Pulau Mabul

SEMPORNA: "Jaga anak kita baik-baik," itu antara pesanan terakhir anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, yang terbunuh dalam serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul di sini malam tadi.

Reda pemergian suami tercinta, isterinya, Salamah Amad 26, berkata Ab Rajah, 32, menitipkan pesanan itu ketika menghubunginya pada 10 malam tadi sambil mengatakan akan pulang ke rumah esok.

"Malam tadi juga saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami yang mengatakan akan pulang ke rumah esok.



"Pada 1 pagi, saya terima maklumat, suami diculik sebelum mengetahui keadaan sebenar yang suami telah gugur ketika bertempur dengan penceroboh," katanya kepada pemberita di kediamannya di Batu 2, Jalan Bubul di sini, hari ini.

Beliau berharap kumpulan penceroboh yang tidak bertanggungjawab itu akan mendapat hukuman yang setimpal daripada pihak berkuasa atas perbuatan jenayahnya itu.

"Saya kini hanya mampu mendoakan dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam nada sendu.

Seorang lagi anggota Marin, Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan itu malam tadi.

Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun dilapor berkata penyerang yang menggunakan senjata berat itu membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi.

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran.

Allahyarham Ab Rajah, yang barasal dari Semporna bertugas sebagai jurumudi Kapal Rondaan Air 1, di Balai Polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh, Perak kira-kira setahun yang lalu sebelum berpindah ke Semporna.

Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor esok dalam upacara penghormatan pasukan polis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kebun Bunga Jalan Batu 3, di sini.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar pekan Semporna mendapati keadaan ketika ini tenang dengan rutin orang awam dan aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.

Seorang penduduk tempatan, Nancy Mitan, berkata keadaan dan aktiviti di pekan tersebut berjalan seperti sediakala meskipun mengetahui kejadian itu pagi ini.

"Kami mengetahui kejadian tembak itu yang berlaku di Pulau Mabul iaitu mengambil masa kira-kira 45 minit menaiki bot dari pekan Semporna," katanya. -Bernama









IKLAN BERBAYAR






Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI




Tiada ulasan: