21 Jan 2014

Seorang Lagi "Blogger Kangkung" Dilaporkan Kepada Polis


Kaitkan DAP dengan isu tudung untuk bakar sentimen kaum

KUALA LUMPUR: Tindakan tidak bertanggung jawab seorang blogger pro-Umno yang cuba mengaitkan DAP dengan isu seorang guru mualaf yang diarah membuka tudung oleh pihak pengurusan sekolah mendorong Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud membuat laporan polis semalam.

Kenyataan provokasi, menghasut dan berniat jahat itu telah dikeluarkan blogger dikenali Azmy Awang Kelana Jaya di laman web azmyawangklanajaya.blogspot.com.

Menurut Dyana, tajuk artikel "DAP Makin Kuat di Johor, Islam Makin Dipijak: Guru Mualaf Dipaksa Buka Tudung" tiada kena mengena dengan artikel yang ditulis blogger tersebut.

Tulisan itu, ujar Dyana merujuk isu seorang guru mualaf di Johor yang diarah membuka tudung oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Nan Ya.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh blogger Azmy Klana Jaya berniat jahat dan menghasut, untuk membangkitkan pemusuhan di antara golongan masyarakat, di samping memburukkan parti DAP yang tiada kena mengena dalam hal ini," tegas beliau.

Pada 17 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Nan Ya, Pang Ah Ngang dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan telah meminta maaf secara terbuka kepada guru mualaf tersebut dalam satu majlis di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama.

Guru terbabit, Choi Yi Shan, 25, yang masih merahsiakan nama Islamnya telah memaafkan Pengerusi dan Guru Besar tersebut.

"DAP mengambil pendirian bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan beragama seiring dengan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.

"Saya membuat laporan ini demi kepentingan orang awam dan tindakan diambil secepat mungkin kerana kenyataan itu boleh memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat berbilang kaum khususnya di Johor," jelas Dyana.

Turut sama mengiringi Dyana untuk membuat laporan polis ialah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman dan para penyokong Pakatan Rakyat.

Dyana dalam kenyataan medianya kesal kerana masih ada pihak tidak bertanggungjawab cuba melakukan provokasi perkauman.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat Malaysia sudah matang dan tidak akan termakan dengan provokasi perkauman yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

"Dimanakah semangat Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang mementingkan semangat kebersamaan dan toleransi sejak kita merdeka lagi?" soal Dyana.

Mengulas isu yang sama, Teo yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan terkejut dengan tindakan blogger pro-Umno itu dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab 'tentera siber' Umno dalam mengaitkan DAP dengan isu guru mualaf yang dipaksa membuka tudung.

"Ketika pertama kali membaca berita guru muslim berusia 25 tahun di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi diarah membuka tudung jika mahu terus mengajar di sekolah itu oleh salah seorang ahli lembaga pengarah sekolah; saya telah mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan tersebut dan menggesa beliau memohon maaf kepada guru tersebut tanpa berlengah-lengah," tegas Teo.

Beliau menegaskan bahawa DAP menjunjung prinsip bahawa setiap rakyat mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama anutan mereka.

"Sebenarnya ini bukan pertama kali Umno cuba meletakkan kesalahan kepada DAP apabila wujud kenyataan berunsur diskriminasi atau insiden berbau perkauman di Johor.

"Pada pertengahan tahun lalu apabila seorang guru berbangsa Cina didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, terdapat sepanduk bertulis "DAP Johor SokongCikgu Poh; Melayu Bodoh Puk*m*k” digantung di beberapa tempat," ujarnya kesal.

Menurut Teo, adalah jelas bahawa DAP menjadi sasaran mudah Umno dan tektik ini akan digunakan berulang kali bagi memesongkan kemarahan umum terhadap kegagalan kerajaan BN menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan.

"Kami ingin mengingatkan Umno bahawa 'kamu boleh menipu semua manusia pada sebahagian masa dan sebahagian manusia pada semua masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua manusia pada semua masa'," ujar Teo memetik kata-kata Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln. -HD

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mau jugak tipu konco konco puak ni tak serik serik lagi ke ni tahun 2014 bukan 1960 awat terok sangat mentaliti depa ni ni.anti dap konon sayang mca sangat ke

Anti Fitnah berkata...

Kenapa nak melakukan fitnah dalam hal agama kita ni? Manusia jenis ni tak pernah terfikir akan mati pada bila-bila masa kot. Kenapa nak libatkan agama dalam penipuan? Bukankah hang dah mencemarkan nama baik Islam? Ingat, ini bukan agama Melayu tau?
Bodoh tak boleh diajar. Berdoa agar mangkuk dilanknatNya.