25 Jan 2014

[AL FATIHAH] Ustaz Harun Taib Kembali Ke Rahmatullah


Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.


Biografi Harun Taib

Dato Haji Harun bin Taib merupakan pemimpin politik PAS di kawasan DUN N22 Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu. Beliau telah meninggal dunia pada 25 Januari 2014

Beliau belajar di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Usuluddin. Kemudian peringkat sarjana siasah syariah di Universiti al-Azhar, Mesir. Kini beliau masih lagi menyiapkan tesis Ph.D dalam bidang politik antarabangsa.

Isterinya Fatimah Ibrahim dan mempunyai 5 anak.

Beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu.

Penglibatan Dalam Pilihanraya

Setelah PAS berjaya memerintah kerajaan negeri Terengganu pada 1999, Harun Taib menjadi Exco kanan Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Terengganu. Beliau terbabit dalam penggubalan Undang-Undang Syariah (termasuk hudud / qisas) di Terengganu dan Kelantan. Beliau juga adalah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

DUN Manir mempunyai tujuh peti undi iaitu Kedai Manir, Teluk Menara, Beladau Kolam, Pulau Bahagia, Batu Hampar, Pujuk dan Durian Mas. Hampir 99 % penduduk / pengundinya adalah keturunan Melayu. PAS menang di Manir sejak 1990 lagi. Dalam pilihan raya 1999, Harun Taib mengalahkan Shamsuddin Sulong (BN).

Dalam pilihan raya umum 2004, Datuk Harun Taib (PAS) menumpaskan Wan Sagar (BN-UMNO) dengan memperoleh 4,451 undi manakala Wan Sagar mendapat 4,141 undi iaitu majoriti 310 undi.

Dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008, Harun Taib berjaya menewaskan Wan Sagar Wan Embong (BN), orang yang sama ditewaskannya pada 2004, kali ini dengan majoriti 406 undi.

Pada 16 September 2008, panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Arifin Zakaria dan Dato' Zulkefli Ahmad Makinudin menolak petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya kawasan Manir pada 8 Mac 2008. Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. Sebelum ini, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Kang Hwee Gee menolak petisyen Wan Sagar kerana tidak ada secebis buktipun. Insiden 2 pengundi iaitu Mustaffa Yusof dan Muhammad Amiruddin yang dikatakan ditahan dan dipukul di hadapan pusat mengundi juga tidak dapat dibuktikan.
-wiki


ULASAN GB

Semuga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama-sama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin.

Kepada keluarga beliau, GB merakamkan ucapan takziah. Innalillahi wainna ilahi raji'un... Alfatihah....

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Inalillah....Semoga Roh Ustaz dicucuri Rahmat Allah...

ku lihat hijau berkata...

Jasamu tetap dkenang..semoga roh nya dcucuri rahmat..al fatihah..