6 Sep 2013

[TU DIA] Blogger Pro-BN Gelar Najib “Sewel”


Menjelang perhimpunan agung Umno tidak lama lagi, serangan atas Datuk Seri Najib Razak semakin ketara oleh para blogger pro-Barisan Nasional (BN) sehingga ada yang menggelarkannya sebagai “sewel”.

Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk “Sewel” Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu.

Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman.

Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk “The PM's Screwup Team - Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc" itu disiarkan di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua mereka sepakat perlantikan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara.

Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka.

Selain itu, mereka mempertikaikan gaji tinggi diberikan kepada staf Pemandu walaupun keadaan ekonomi negara semakin teruk sehingga kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini.

Menurut Ahirudin, sejak ditubuhkan, Pemandu tidak disenangi oleh para blogger pro-BN.

Secara sulit, para menteri di dalam Kabinet Najib sendiri tidak senang dengan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengetuai Pemandu, kata Ahirudin bekas pengarang di beberapa akhbar pro-BN.

Syed Akbar pula melalui pengiraannya, Pemandu sudah membelanjakan RM337 juta dalam masa empat tahun ini.

Menurutnya, sekumpulan orang muda dalam Pemandu yang memerintah negara bagi pihak perdana menteri.

Sebahagian dari mereka pula adalah penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dakwa beliau dalam blognya.

"Mereka adalah dari firma Zaid Ibrahm and Co, Pricewaterhousecooper Singapura dan dari pelbagai tempat," katanya.

Menurut seorang pemimpin PKR, yang tidak mahu namanya dikenali, mengatakan kumpulan yang berkiblat kepada Dr Mahathir menjadikan isu Pemandu sebagai salah satu bahan serangan mereka.

Selain itu, mereka juga menyerang Perjanjian Persahabatan Trans Pasifik (TPPA), kegagalan Najib dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa isu lagi.

"Saya berpendapat, mereka akan membiarkan Najib kekal dalam pemilihan Umno akan datang ini.

"Namun selepas beberapa bulan, mereka akan menekan Najib agar meletakkan jawatan sebagaimana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ditekan sehingga meletakkan jawatan sebelum ini," kata pemimpin itu.

Menurutnya, tindakan tidak mencabar Najib dalam pemilihan akan datang adalah untuk mengelakkan Umno berpecah.

Bagi beliau, inilah asasnya mengapa Najib begitu ketara sekali mahukan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Najib mahu memberikan signal kepada Mahathir dan gengnya, beliau mempunyai 'option' lain iaitu Anwar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beberapa hari lalu, wakil Najib menghubungi Anwar lagi bertanyakan kerjasama antara mereka.

Anwar menolaknya dengan alasan tidak akan meninggalkan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut mesej terbaru itu, Najib sedia mempertimbangkan jika Anwar mahu membawa PAS bersama namun tidak berapa senang dengan DAP.

"Selain memberikan mesej kepada Dr Mahathir, kita bimbang isu ini juga bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR," katanya.

Semasa perutusan Hari Kemerdekaan ke-56 baru-baru ini, Anwar mengumumkan kesediaan mengadakan dialog secara terbuka dengan BN untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara tetapi menolak agenda kerajaan perpaduan.

Tiga isu yang disebutkan Anwar adalah kemerosotan ekonomi, jenayah dan hubungan antara kaum yang beliau sifatkan sebagai masalah ketara negara masa kini. -TMI

3 ulasan:

Awanama berkata...

Mudah2han Allah pecahbelahkan perpaduan mereka,jgn lupa baca kunut nazilah.

Awanama berkata...

Harga kereta tak turun, harga minyak pula naik, janji ditepati?

Awanama berkata...

terima kasih pemimpin yg sangat di sayangi..egko buat lah apa saja rakyat di bahulukan dan di dungukan...hidup kita umpama roda.yang zalim lambat laun akan mendapat balasan, biarkan rakyat merana asalkan tembolok anda penuh. naik kan lah harga apa saja...lepas ni kita rasuah lagi rakyat..kita bagi brim, brum, dan yg tak cerdik kita bagi jawatan tinggi dan ampu bodek kita...khazanah negara kita kaut semahu2 nya...