27 Sep 2013

Isu Syiah: Jawapan Mantap Dari Mat Sabu

Kepimpinan ulama dan Unit Amal dari Iran, kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menegaskan untuk kesekian kalinya beliau bukan Syiah tetapi hanya membawa nilai-nilai baik dari Iran untuk diamalkan di negara ini.

Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS.

"Adakah kesemua mereka menjadi Syiah kerana saya membawanya dari Iran. Sudah tentu tidak," katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.

Katanya, setiap dua tahun sekali iaitu menjelang muktamar yang ada pemilihan dalam PAS, isu Syiah akan bergema. Kali ini bukan di kalangan PAS sahaja, isu ini juga dimainkan juga oleh pemimpin kerajaan, agensinya dan media yang dikawal mereka.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi salah satu sasaran mereka apabila isu ini dimainkan.

Isu Syiah menjadi sangat hangat apabila perang saudara meletus di Syria dan Iran serta Hizbollah (gerakan Islam di Lubnan) menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar Al-Assad.

Mohamad diserang apabila beliau melawat negara tersebut ketika meletusnya perang saudara di sana.

"Sebenarnya perang di sana adalah agenda perebutan kuasa dan tidak ada kaitan dengan perang antara Sunnah dengan Syiah sebagaimana yang digembar-gemburkan.

"Presiden PAS, Hadi Awang telah menjelaskan perkara ini," katanya kesal dengan apa yang berlaku.

Mohamad menceritakan kembali bagaimana beliau boleh tertarik dengan perjuangan Islam di Iran yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeine.

"Semasa saya belajar di ITM dulu, awal 1970-an, kampus ketika itu dipengaruhi oleh Abim dan PKPIM. Idola kami adalah gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir pimpinan Hassan Al-Banna dan Syed Qutb.

"Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana," katanya.

"Apabila kita melawat Iran di awal revolusi, kami melihat kehebatan ulamanya apabila mereka bercakap hal revolusi dan perjuangan. Kami rasa kagum dengan ketrampilan mereka kerana selama ini di Malaysia, ulama hanya tukang baca doa dan seumpamanya saja," katanya.

Dari situ, apabila pulang, Mohamad dan rakan-rakannya membawa konsep kepimpinan ulama yang diamalkan dalam PAS sekarang.

"Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu.

"Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang,"
katanya.

Sebab itu, katanya, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran, kata Mohamad yang cuba mengaitkan ramai pemimpin PAS yang terpengaruh dengan gerakan Islam di Mesir (Ikhwanul Muslimin) dan Turki (AKP pimpinan Tayyib Erdogan dan Saadet pimpinan Necmetin Erbakan).

Mohamad mengimbau kembali bagaimana beliau diseretkan dengan Syiah.

"Orang tuduh saya Syiah kerana saya kagum dengan perjuangan Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, Lubnan.

"Saya suka dia kerana, bila dia bercakap soal perjuangan, anaknya mati di medan perang melawan Israel ketika umurnya 17 tahun, rumah kena bom hancur berkecai.

"Bila dia cakap Islam dalam keadaan dagang, dia sendiri dagang bila terpaksa bersembunyi ke sana kemari daripada pengeboman dan pembunuhan oleh agen Isreal.

"Maka orang seperti Hasan Nasralah datanglah penghormatan kepadanya dari penyanyi, pemain bola, orang awam, orang Kristian bahkan orang tiada agama menerima kepimpinan Hassan Nasrallah sehingga kain jubahnya itu diambil dan dipakai oleh anak-anak muda dan artis kononnya nak ambil keberkatan... inilah contoh kepimpinan yang saya terima," katanya.

Katanya, kefahaman beliau dan rakan-rakannya ketika itu, kepimpinan ulama ini bukan bermakna semua jawatan dalam PAS mesti dipimpin ulama.

"Kefahaman kita, presiden dan ke bawah boleh di isi sesiapa saja yang layak dan mampu tetapi Majlis Syura Ulama hendaklah di isi oleh orang yang ada latar belakang pendidikan agama secara formal.

"Ini kefahaman kami ketika meletak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam parti," katanya.

Bagi beliau, pada peringkat awal konsep ini diamalkan, gandingan yang baik berlaku antara Yusof Rawa dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Fadzil dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan semuanya dari aliran agama.

"Bagi saya siapa saja boleh pegang presiden dan lain-lain jawatan. Kalau ulama yang mahu memegang jawatan itu, bukan melalui title atau bertenggek atas nama ulama saja, mesti memenuhi syarat kepimpinan," katanya.

Katanya, beliau menerima orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi untuk memimpin PAS kerana kelebihan yang mereka ada.

"Mereka ada kelemahan tetapi kelebihan yang ada pada mereka mengatasi semua yang lain, maka orang seperti itu layak untuk memimpin," katanya.

Beliau berkata, apabila dia dan rakan-rakannya melawat Iran selepas revolusi Iran pada 1978, mereka tertarik dengan gerakan sukarela di sana yang dinamakan Jihad Sizendagi.

Kumpulan inilah yang berjaya membawa keluar rakyat Iran dari buta huruf yang tinggi di samping masalah bekalan elektrik luar bandar yang rendah.

"Bila kita balik, kami ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal, bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan oleh anak muda di sana," katanya yang menjelaskan dari manakah asal usul Unit Amal, badan kebajikan dan kawalan yang sangat berpengaruh dalam PAS sekarang.

Katanya, langkah ini diambil sesuai dengan konsep hikmah dalam Islam iaitu hikmah itu benda yang tercicir dan jika diambil ia akan menjadi hak orang yang mengamalkannya.

"Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan satu regim yang zalim," katanya.

Beliau berkata, kunjungannya ke Syria dua tahun lalu dimainkan daripada perspektif mazhab terutama menjelang muktamar kali ini.

"Tahun ini lebih dahsyat bila saya kunjungi Syria sebelum ini. Yang saya jumpa semuanya ahli Sunnah wal Jamaah. Muftinya, Dr Said Ramadhan Albutti, Menteri Wakaf, Menteri Perpaduan... semuanya sunnah... sebenarnya di sana tidak timbul isu Sunni dan Syiah ni, ia adalah pertarungan merebut kuasa," katanya.

11 ulasan:

abe berkata...

patutnya dah lama mat sabu bagi penerangan..

ini tidak, merata dalam pesbuk dok cop dia syiah, dia tetap senyap je.

harap penjelasan ni boleh diterima semua pihak la..

Tanpa Nama berkata...


Pencerahan Sebegini DiAlu2kan..Tapi Pada Yang Mempunyai Agenda Tertentu..Penjelasan Apapun Tidak Akan Diterima..Apabila Konsep Pandang KeTimur Oleh Kerajaan Suatu Masa Dahulu DiAmalkan..Apakah Warga Malaysia Sudah Menjadi Jepun Atau Korea???

Tanpa Nama berkata...


Pencerahan Sebegini DiAlu2kan..Tapi Bagi Yang Mempunyai Agenda Tertentu..Apa Jua Penjelasan Tidak Akan DiTerima..Apakah Warga Malaysia Sudah Menjadi Jepun Atau Korea Apabila Konsep Pandang KeTimur DiPerkenalkan Suatu Masa Dahulu..Fikir2kan lah Untuk Kebaikan.

Tanpa Nama berkata...

SYABAS sdr Matsabu

UMNO usah tabur fitnah lagi........... carilah kebenaran dan perdamaian............
setiap manusia tak sunyi dari kealpaan dan kesilapan ......
yang penting kita insaf dan bertaubat kpd Illahi.....
jangan bersikap bongkak dan kejam seperti manusia yang bernafsu haiwan,berjiwa syaitan!

BaDiN berkata...

Cabaran dan Dugaan ada di mana mana,Jika sesuatu Badan,Individu dan Pertubuhan dapat melepasinya Nescaya,Perjuangan Menegak Kebenaran akan berjaya InsyaAllah akan menyebelahi kita.

gengster melayu alaf baru. berkata...

Jgn layan macai umno.mreka sngaja nak putrbelit.lidah mreka lidah yahudi laknatlah.

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah. Pencerahan yang amat baik. Sewajarnya kelompok yang cuba memainkan isu ulama dan bukan ulama sedar bahawa mereka sebnarnya tidak memahami sama sekali sejarah perkembangan PAS.

Saya bukan mengkamui Mat Sabu, tetapi kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden sesuai untuk mengimbangi Presiden. MAsing-masing saling melengkapi. Presiden menjurus kepada hal-hal keagamaan dan kebajikan manakal Timbalan Presiden menyemarakkan gerakan rakyat, mendekati masyarakat dan mendepani isu-isu yang perlu tindakan kehadapan. Maka sebab itulah PAS berupaya memenangi hati bukan Islam.

Tanpa Nama berkata...

Masalah sebenarnya ialah ada yang mengangap diri mereka dari kasta yang tinggi dan mereka sahaja yang layak memimpin

Tanpa Nama berkata...

Bro Mat Sabu adalah musuh parti peipu ia itu umno.Modal nak jatuhkannya suatu masa lalu dengan cara skandal sex tapi tak berjaya lani pasal syiah. Barangkali PRU !3 pun mungkin tipu agar abg Mat kalah.Ingat umno kau curi dan tipu duit rakyat, jatuhkan musuh mu yang timbulkan penipuan mu, tunggulah siksaan Allah.Tabung umno penuh dengan duit haram dari kilang arak, taukey judi dan rasuah dan duit ini mereka gunakan untuk keluarga, mana nak dapat takwa? yang mereka tahu fitnah dan bagaimana curi duit rakyat

Tanpa Nama berkata...

Dulu kalau nak tangkap orang Pemerintah British cap orang tu komunis.Sekarang UMNO gunakan kaedah yg sama cuma dari cap komunis kpd cap Syiah.Nampaknya dewasa ni Syiah lebih bahaya dari Yahudi.Ada ulamak dlm PAS terjerat dengan permainan UMNO ni.UMNO sudah berjaya membawa gulungan ulamak ni bermain atas papan catur UMNO.

Unknown berkata...

Jawapan beliau belum mantap sebenarnya : Jawapan beliau merupakan jawapan seorang ahli politik yang amat berpengalaman dalam mengelak dari menjawap isu dan menyelamatkan diri dari hilang penyokong atau pengaruh. Apa yang perlu dilakukan beliau sebagai Timb. Pres. PAS ialah menentang Syiah (menjadi pelopor kepada gerakan menghapuskan ajaran sesat Syiah).... beliau kena bersungguh melaksanakan kerana namanya sudah terpalit sangat jauh ke dalam dan tindakannya lambat memberi pencerahan (ahli politik biasa berbuat begini) sudah menjadi indikator perkaitan beliau dengan Syiah. Please do more Abg Mat. Ahli PAS bawahan.