15 Ogo 2013

RoS Gagal Buktikan Kewujudan "Father Augustus Chen"

Parti DAP mencabar Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman mengemukakan alasan berhubung dakwaannya yang menggangap pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) lalu tidak sah apabila watak rekaan dengan nama ‘Father Augustus Chen’ terbukti tidak wujud. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, masa tujuh hari yang diberikan kepada ‘Father Augustus Chen’ untuk menampilkan diri dan membuktikan yang ia benar-benar wujud telah tamat, namun sehingga kini masih tiada tanda menunjukkan ada manusia di Malaysia atau di bumi ini mempunyai nama sedemikian. “‘Father Augustus Chen’ adalah makhluk khayalan juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN yang dicipta untuk menulis sekitar seratus pembohongan dalam risalah setebal 12 muka surat sebagai kemuncak serangan terhadap pemilihan CEC yang berlangsung Disember lalu. “Rakyat berhak untuk tahu bagaimana Ketua Pengarah ROS dan pimpinan Umno/BN termasuk menteri kabinet boleh terpedaya dengan pembohongan yang direka oleh watak khayalan sehingga mereka merasa yakin untuk menganggap pemilihan CEC tidak sah. “Memandangkan watak ini terbukti adalah makhluk rekaan dan risalahnya adalah pembohongan, apakah alasan untuk Ketua Pengarah RoS menganggap pemilihan CEC DAP yang lalu tidak sah dan mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC?,” soalnya yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah dalam kenyataan, semalam. Kit Siang turut mengecam sikap juru propaganda dan cybertrooper UMNO/BN yang mula berubah nada memandangkan tidak dapat lagi berselindung disebalik nama ‘Father Augustus Chen’. “Kini mereka mengatakan tidak penting sama ada ‘Father Augustus Chen’ wujud atau tidak, sebaliknya yang penting ialah sama ada tuduhan-tuduhan yang dilemparkannya dalam risalah itu benar. “Perubahan nada mereka ini sungguh mengaibkan, kerana jelas bahawa jika pengarang risalah itu sendiri direka-reka, maka tuduhannya sudah tentu tidak sepatutnya diberi perhatian kerana ianya pasti merupakan rekaan dan pembohongan,” tegasnya. Dalam kenyataan yang sama, Kit Siang mengulangi kesediaan DAP untuk mengadakan siasatan awam ke atas pemilihan CEC itu jika ROS dapat memberi penjelasan sewajarnya berhubung tuduhan yang dilemparkan. “DAP tetap bersedia untuk memberi respons terhadap setiap pembohongan yang dikemukakan ‘Father Augustus Chen’ dalam siasatan awam jika Ketua Pengarah ROS sanggup untuk turut memberikan penjelasan dalam siasatan awam tentang bukti yang beliau gunakan untuk mengambil tindakan terhadap DAP,” ujarnya. – Roketkini

1 ulasan:

Awanama berkata...

ROS pun dengan RASMINYA diisytiharkankan sebagai komponen BN yang baru Hidup BN JAHANAM negaraku MALAYSIA.