30 Jul 2013

Polis Terlibat Jenayah: Siasat Pendedahan Sanjeevan – Anwar


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar pendedahan Pengerusi badan Pemantau Jenayah, My Watch, R Sri Sanjeevan berhubung penglibatan polis dengan sindiket jenayah disiasat.

Katanya, KEADILAN juga menggesa tahap keselamatan terhadap Sanjeevan ditingkatkan selepas cubaan bunuh terhadapnya pada 27 Julai lalu.

“Kita mengulangi desakan supaya polis siasat secara terperinci percubaan bunuh ini termasuk dakwaan anggota polis terlibat dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram,”

“KEADILAN tidak menolak bahawa insiden yang menimpa Sanjeevan seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin memiliki kaitan langsung dengan hasrat beliau untuk mendedahkan perkara itu,” kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

SanjeevanSri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang dua hari lalu.

Mangsa kini dilaporkan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar , Seremban setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Menurut Anwar, Sanjeevan sebelum itu mendakwa menerima ancaman pada 11 April 2013 apabila diserang empat lelaki bersenjata parang di ‘basement’ sebuah hotel di Kuala Lumpur, diikuti ancaman diekori beberapa lelaki mencurigakan di Terminal LCCT Sepang.

“Insiden tembakan yang melibatkan beliau dua hari lalu turut berlaku beberapa jam selepas beliau memuatnaik tulisan di akaun Twitter miliknya bahawa beliau menerima ugutan tembak dipercayai dari anggota polis,” kata Anwar.


Sanjeevan“Sehubungan itu, KEADILAN menuntut supaya pendedahan Sanjeevan disiasat serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. KEADILAN juga memohon supaya kawalan keselamatan ke atas Sanjeevan di hospital ditingkatkan,” tegasnya.

Jelas Anwar, kes-kes bunuh melibatkan penjawat awam semakin kerap berlaku dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat.

“Kekerapan kes-kes bunuh secara tembakan ala ‘mafia’ kebelakangan ini dilihat menjadikan penjawat awam sebagai mangsa, sebelum ini turut mengorbankan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya tiga bulan lalu,” jelasnya. -KD

Dedah polis jahat: Pengerusi MyWatch diugut bunuh

Ketua badan pemantau anti jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan dikatakan menerima beberapa ugutan bunuh selepas beliau mengancam untuk mendedahkan identiti polis yang jahat, kata bapanya.

Sanjeevan sedang dalam proses mendapatkan perkhidmatan perlindungan keselamatan 24 jam untuk keluarganya apabila beliau ditembak pada Sabtu lalu.

"Dia ada memberitahu kami mengenai ugutan yang diterima tetapi tidak memaklumkan siapa yang bertanggungjawab," kata bapa Sanjeevan, P Ramakrishnan kepada The Malaysian Insider.

"Saya sudah banyak kali memintanya supaya berhati-hati. Saya nasihatkan dia untuk tidak terlalu menyiasat perkara ini, tetapi dia berdegil,” katanya.

Bapa berusia 63 tahun itu, berkata, Sanjeevan yang masih bujang adalah anak bongsu daripada lima beradik itu amat rapat dengan keluarga dan memberi amaran supaya semua ahli keluarga berhati-hati.

Ramakrishnan berkata, Sanjeevan sebelum ini menceburi bidang hospitaliti sebelum memberikan tumpuan sepenuh masa kepada MyWatch.

"Walaupun dia anak bongsu, boleh dikatakan dia agak matang, tetapi sering terbawa-bawa dengan apa yang dilakukannya," katanya.

Sanjeevan ditembak ketika berada dalam kereta bersama seorang rakan di bandar Bahau, Negeri Sembilan, petang Sabtu. Penyerangnya dikatakan dua lelaki bermotosikal.

Mereka melepaskan beberapa das tembakan kepada Sanjeevan, tetapi mangsa yang terkena tembakan di dada selamat dan dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban ke Hospital Serdang, semalam.

Beliau yang dikawal rapi dijadualkan menjalani pembedahan.

Anggota polis bersenjata juga ditempatkan berkawal di hospital.

Seorang ibu saudaranya yang enggan dikenali berkata, Sanjeevan sentiasa bekerja.

"Dia menganggap kerja anti jenayah sangat serius dan kami bimbang keselamatannya setiap hari. Dia terlalu bercita-cita tinggi dan apa yang berlaku ini umpama mimpi ngeri kepada kami," katanya.

Sejurus selepas kejadian tembakan itu berkata, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menerusi akaun Twitternya berkata, Sanjeevan ditembak kerana beliau akan mendedahkan beberapa anggota polis yang dikaitkan dengan dunia jenayah.

Perkara ini turut didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berkata, Sanjeevan ada memberitahunya bahawa beliau mempunyai senarai nama pegawai polis yang sedang disiasat atas kesalahan berkaitan dadah.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, Sanjeevan memberitahunya bahawa beliau yakin jenayah itu amat serius kerana pegawai polis yang disoal siasat itu sedang disiasat mengikut seksyen undang-undang yang membawa hukuman mati.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun, menggesa Rafizi untuk tampil dengan informasi itu.



Tiada ulasan: