7 Jun 2013

[GAMBAR & VIDEO] Sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh -updated


Batu Maung: Sebahagian dari struktur jambatan kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam tadi.

Kejadian berlaku di kawasan darat di sekitar Batu Maung.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Shoki Hamzah, sebatang konkrit seberat lebih 1,000 tan serta berukuran 30 meter telah jatuh terhempap ke tanah.

Akibat runtuhan, sekurang-kurangnya sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui samada terdapat mangsa yang terperangkap atau tidak.

Sebuah kren juga digunakan bagi mengangkat batang konkrit tersebut. Menurut Shoki, pihak bomba juga dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Difahamkan juga, kerja-kerja pembinaan juga dihentikan buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.

Sehingga setakat ini, punca sebenar kejadian masih tidak dapat diketahui.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang berada di lokasi juga mengesahkan melalui laman Twitternya bahawa struktur sepanjang 30 meter itu telah runtuh.

Menurutnya Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah memberitahu lebih kurang satu atau dua kereta telah remuk akibat runtuhan.

Katanya lagi, pihak bomba juga sedang memulakan operasi menyelamat. -astro

3 cedera dalam runtuhan penyambung jambatan ke-2 PP

Tiga orang disahkan cedera akibat runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town malam ini.

Dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39. Mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar memaklumkan pemberita kedua-dua mangsa dikatakan sedang bekerja di tapak binaan ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian.

Rakannya, Gajashaantini Gajanujan, 24, yang turut berada dalam kereta sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Rahim berkata lebih 300 anggota bomba dan polis sedang mengesan mangsa dalam sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu.

Beliau berkata polis juga kesal dengan laporan berita portal yang mendakwa kononnya empat disahkan maut.

"Setakat ini, cuma tiga yang cedera, media diminta membuat laporan yang betul dan sah.

"Pasukan penyelamat sedang berusaha mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, dan keadaan mangsa masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kren yang lebih berat apabila kren syarikat pembinaan itu gagal mengangkat tanjakan konkrit yang runtuh.

Abdul Rahim berkata kerja-kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara bagi membolehkan siasatan punca kejadian manakala jalan masuk-keluar ke kawasan itu juga ditutup untuk semua kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata runtuhan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung dan puncanya masih disiasat.

Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd dan JKSB akan mengeluarkan kenyataan rasminya esok. - Bernama











Tiada ulasan: