30 Mei 2013

Masa Depan Malaysia Lebih Cerah Dengan Pakatan Rakyat


Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Merton College, University Oxford, England pada 28 Mei 2013

1. Malaysia berada di ambang perubahan. Persoalannya ialah jika kita begitu hampir dengan perubahan mengapa perubahan tidak berlaku? Malaysia mengalami sedikit anjakan apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum 2013, dan bukan Barisan Nasional (BN). BN menang walaupun hakikatnya tewas disebabkan amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara tidak adil yang dilaksanakan lebih 40 tahun lalu.

2. Ramai orang telah bertanya, apakah implikasi Pakatan Rakyat memenangi 51% undi popular? Ia akan mengarah kepada kerajaan BN yang lebih tidak stabil berikutan Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri minoriti mengetuai sebuah kerajaan minoriti? Adakah akan ada “Malaysian Spring” akibat daripada protes yang berterusan terhadap keputusan pilihan raya? Ya, akan ada “Malaysian Spring” tetapi dalam keadaan yang aman, yang lahir atas tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan Malaysia daripada kemiskinan, kejahilan, ketakutan dan rasuah.

3. Saya tidak akan mempertikaikan hakikat bahawa Najib adalah Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti kerana tidak wujud di dalam dunia, sebuah negara demokratik yang menggunakan sistem “First-Past-the-Post”, parti yang berjaya mendapat 51% undi hanya berkesudahan dengan sekadar 40% daripada jumlah kerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, parti yang memenangi undi majoriti sepatutnya memenangi peratusan jumlah kerusi yang lebih besar. Hanya di Malaysia, akibat daripada persempadanan yang tidak adil, parti yang memenangi undi majoriti boleh berkesudahan dengan jumlah kerusi yang kurang daripada majoriti. Mungkin ini adalah apa yang BN maksudkan dengan “Malaysia Boleh”.

4. Bagaimanapun masih ada pemimpin BN yang menolak logik itu dengan mempertikaikan bahawa walaupun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya atau memenangi undi popular ia langsung tidak penting. Tetapi bagaimana perkara itu boleh terjadi apabila demokrasi sepatutnya adalah majoriti memerintah minoriti dan menghormati hak minoriti? Demokrasi tidak sepatutnya berakhir dengan minoriti menerajui majoriti. Tidak juga boleh dibandingkan seperti sebuah perlawanan badminton.

Demokrasi bukan perlawanan badminton atau minoriti memerintah majoriti


5. Dalam perlawanan badminton sekalipun, setiap set diberikan kewajaran yang sama. Tetapi untuk BN, tiada kewajaran untuk setiap kerusi kerana beberapa kerusi seperti Kapar (160,000 undi) mempunyai lebih kurang 10 kali ganda lebih nilai daripada Putrajaya (17,000 undi) tetapi masing- masing mempunyai hanya satu nilai kerusi. Sekiranya sistem pilihan raya di Malaysia disamakan seperti dengan perlawanan badminton, pemain badminton PR perlu memenangi 10 set untuk setiap kerusi yang dimenangi BN.

6. Menteri Dalam Negeri barangkali berpura-pura marah apabila beliau meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sistem pilihan raya untuk meninggalkan negara ini. Tetapi ada metod dalam kepura-puraannya kerana tiada sesiapa pun yang boleh menyuruh majoriti atau 51% daripada penduduk untuk meninggalkan negara ini. Beliau hanya mahu menakut-nakutkan rakyat dan tidak mahu memberi tumpuan kepada BN yang kehilangan undi popular dan mengalihkan perhatian mereka dengan menyalahkan masyarakat Cina. Tetapi bagaimana BN boleh kehilangan 51% undi popular apabila masyarakat Cina hanya 24% daripada jumlah pengundi? Adakah baki 27% daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang mengundi Pakatan Rakyat itu warga Bangladesh? Atas sebab ini tidak akan ada orang yang takut, dibohongi atau dialihkan pandangannya lagi. Rakyat tahu mereka yang merupakan majoriti dan menuntut reformasi pilihan raya supaya bersih, adil dan mampu menyediakan satu platform untuk mencerminkan kehendak majoriti.

7. Rakyat tidak akan tunduk dengan ancaman penangkapan semula 3 aktivis pembangkang atau mendakwa lebih ramai pemimpin PR di mahkamah kerana menghasut. Mengapa mereka yang pro-BN yang membuat kenyataan anti-Cina tidak dihukum?

8. Saya menolak pendirian yang mengatakan bahawa prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat. Sudah tentu sekiranya Pakatan mengambil alih, saya yakin untuk menyatakan bahawa Malaysia pasti berada di landasan yang betul untuk mencapai potensi yang sepenuhnya. Walaupun kita tidak mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang lebih kukuh di Parlimen, bersama-sama dengan pengalaman penggal kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.

9. Pertamanya, anda boleh yakin bahawa BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni mereka. Ketika kita hanya 10% Ahli Parlimen, adalah lebih mudah bagi BN untuk melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak untuk kumpulan kecil kita di Parlimen. Tetapi sekarang dengan kekuatan 89 Ahli Parlimen yang datang dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, anda boleh yakin yang kami akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar untuk mengulangi seperti perjanjian NFC “lembu di kondo”. Anda boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Oxonian kita sendiri – Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap Kerajaan BN.

10. Ini bukan bermaksud mereka tidak akan mencuba. Sepertimana yang ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara. 1MDB, yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah. Ini adalah cadangan kami dalam Manifesto Pakatan Rakyat.

11. Kita sudah melihat bagaimana persaingan polisi memaksa BN bertindak terhadap cadangan Pakatan Rakyat. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah disebabkan tekanan yang diberi Pakatan Rakyat. Anda boleh lihat bagaimana BN dipaksa untuk mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan hasil daripada manifesto Pakatan Rakyat.

12. Kita telah membuktikan yang kita boleh mentadbir Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada BN. Dan kita telah memperolehi mandat lebih besar terutama daripada segi kerusi dan undi. Di Pulau Pinang, kita berjaya meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor, kita menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. Kita telah menunjukkan bahawa rizab negeri meningkat dan dalam masa yang sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus.

13. Kita akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri. Kita akan teruskan dengan mencari cara-cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang. Penubuhan Penang Paradigm, yang dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir Putrajaya.

14. Proses perubahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan ia adalah satu realiti dalam kehidupan politik. Bakat manusia hanya boleh dibina dan dibangunkan melalui latihan dan kerja keras. Jika Amerika menghadapi “fiscal cliff” yang mengancam kesihatan kewangan dunia, Malaysia menghadapi “talent cliff” yang boleh mengancam kemakmuran ekonomi masa depan kita.

15. Kita perlukan anak muda yang berbakat untuk kembali ke sini bagi menjadikan Malaysia lebih kukuh. Kita tahu bahawa anda akan kembali ke sebuah negara Malaysia yang sesuai didiami dan menyediakan peluang yang sama untuk anda berjaya. Persaingan sihat dan akauntabiliti akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat untuk semua baik untuk hidup, bekerja dan berekreasi. Pakatan Rakyat yang lebih kuat memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah bagi demokrasi, keadilan, kebebasan, integriti dan pembudayaan prestasi di Malaysia.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hebat!

Tanpa Nama berkata...

ini lah pemimpin yg di lahirkan untuk rakyat malaysia, jadikan tauladan bilamana membela nenek dan anak melayu sehingga di heret kepenjara, dan cadangan serta pelan tindakan yg di buat untuk kebaikan ummat malaysia, cukuplah BN/ UMNO memperbodohkan rakyat terutama org melayu yg diagung2kan bahawa hanya mereka sahaja yg boleh memerentah malaysia, zaman ini bukan 20 tahun lalu, rakyat lebih2 lagi rangmuda mereka sangat celik akal, biar kita lahirkan ramai pemimpin berkaliber yg telus, cekal dan berwibawa , bersama memecah tembok kuno yg mendabik dada hanya mereka saja yg pandai memerintah SYABAS LIM GUAN ENG, HIDUP PAKATAN RAKYAT

Tanpa Nama berkata...

Pendedahan:

Guru Cina amat menyayangi dan menghormati kaum Melayu seperti anda:

http://khairulryezal.blogspot.com/2013/05/poh-kim-thye-guru-sekolah-menengah.html