13 Mei 2013

Kerjasama Erat PAS-PKR-DAP Bolehkan PR Tawan Bukit Baru, Duyong & Tumbangkan Ali Rustam


Ikatan PR buka laluan 'anak sulung' PAS di Melaka Oleh LanH14

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan: "Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

KETIKA berceloteh mengenai suasana hari penamaan calon di Melaka 20 April lalu, saya menyatakan ada 'kemajuan menarik' antara PAS dan DAP tatkala melihat buat pertama kalinya penyokong kedua-dua parti saling bercampur dengan bendera mereka (bulan dan roket) berkibaran berselang seli. Situasi itu tidak saya lihat pada PRU 2008 dan sebelumnya.

'Percampuran' itu terbukti membantu PAS dalam melahirkan anak sulungnya di bumi Hang Tuah (PAS melalui calonnya Dr Mohd Khalid Kassim menang di Bukit Baru, N17 dengan majoriti 48 undi) manakala DAP meraih manfaatnya apabila akhirnya berjaya mengakhiri legasi BN (MCA) di kawasan seperti Duyong (N23). Di Duyong, Pengerusi MCA Melaka yang juga penyandang kerusi itu, Dato' Gan Tian Loo ditewaskan oleh Pengerusi DAP negeri, Goh Leong San dengan majoriti 205 undi.

Tentunya kejayaan itu dibantu KeADILAN, dan ia menjadi lebih manis lagi apabila ikatan padu ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu melenyapkan ego Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang kecundang di kawasan Parlimen Bukit Katil (P137) dengan majoriti agak besar (5,447 undi) di tangan Pengerusi KeADILan Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin.
Kekalahan Mohd Ali yang pernah mengadakan majlis kahwin anaknya yang dihadiri lebih 100,000 tetamu, diselubungi 'misteri' seperti terpadamnya lampu ketika pengiraan undi. Beliau menyalahkan rakyat terutama orang Cina yang dakwanya tidak pandai 'mengenang budi'.

Berdasarkan senario di Dun dalam Parlimen Bukit Katil (Bukit Baru, Bachang, Ayer Keroh dan Ayer Molek) dan Parlimen Bukit Katil sendiri, ada iktibar menarik yang boleh dijadikan panduan. Hanya kawasan inilah yang mencatatkan perubahan di Melaka; kawasan lain (luar bandar) tetap didominasi oleh BN manakala di bandar (terutama Kota Melaka) dimonopoli DAP.
br> Di Dun Bukit Baru, pengundi Melayunya ada kira-kira 55 peratus, Cina lebih kurang 40 peratus manakala India kira-kira 5 peratus. Dipercayai pengundi Melayu berpecah dua; dan apabila situasi ini berlaku, dengan undian pengundi Cina terutama daripada DAP menyebelahi calon PAS, maka tercatatlah sejarah Dr Khalid yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Hospital Melaka, 'melahirkan anak sulung' PAS di negeri Hang Tuah.

Bagi Parlimen Bukit Katil (pengundi Melayunya 51 peratus, Cina 42 peratus dan India 6 peratus) faktor kebangkitan anak muda dan kesedaran sesetengah pengundi akan amalan korupsi dan seumpamanya, dibantu kejituan jentera dan penyokong PAS, KeADILan dan DAP serta kewibawaan dan kelantangan calonnya (Shamsul Iskandar), memberi sumbangan kepada kejatuhan Mohd Ali, ketua menteri selama lebih sedekad.

Jika ditinjau kemenangan DAP (Goh Leong San) di Duyong pula (pengundi Cina lebih 50 peratus, Melayu 45 peratus dan India 4 peratus), saya percaya selain daripada sokongan pengundi tegar DAP, kesediaan ahli dan penyokong PAS dan KeADILan untuk memberi undi kepadanya berdasarkan suntikan semangat Pakatan Rakyat; menyebabkan Tian Loo beserta penyokongnya daripada orang Cina dan Melayu tersungkur sama.

Rumusannya, kerjasama erat PAS, DAP dan KeADILan, membolehkan ketiga-tiga pihaknya mencatat kejayaan ditandingi calon mereka yang merupakan sejarah di bumi Hang Tuah. Penyokong rakan PAS dalam Pakatan Rakyat terutama DAP telah membuka laluan untuk PAS mencatat 'kelahiran anak sulung' dengan memenangi Dun Bukit Baru manakala penyokong PAS telah membantu calon DAP untuk menang di Dun seperti Duyong.

Berkenaan sahabat saya, Harun Mohamed yang bertanding di Dun Telok Mas (N23) seperti dicoretkan dalam keluaran lalu; syabas diucapkan kerana beliau berjaya merapatkan jurang majoriti kekalahan kepada hanya 701 undi (beliau mendapat 7,332 undi berbanding Latiff Tamby Chik memperolehi 8,033 undi), Mungkin undian penyokong DAP sebagai bantuan kepadanya masih tidak memadai untuk beliau menang kerana kawasan itu mempunyai pengundi Melayu yang tinggi (70 peratus) sedangkan Cina hanya 28 peratus.

Akhir sekali, syabas PAS Melaka kerana berjaya melahirkan anak sulung; pada PRU berikutnya diharapkan dapat melahirkan kembar yang banyak pula seterusnya mengetuai kerajaan baru rakyat; jadi terus bekerja keras dan berdoalah mulai sekarang!

10 ulasan:

anonymous berkata...

Alhamdulillah.. ni semua kerjasama erat dari akar umbi serta penyokong yg bekerja tungkus lumus penat lelah.. tapi jgn ler pemimpim bermulut longkang buat perangai... nak kata bingai marah... dah tau2 wartawan akan perangkap PAS ( haron din ) DAP ( Karpal Sikh ) dalam isu hudud.. be smart lah uncle

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Pakatan Rakyat !!!!!

Tanpa Unity Gomen, rakyat dalam DAP PKR PAS mula bersatu kearah Pakatan Rakyat basmi rasuah dan rasisma.

Tahniah Rakyat....

aku anak duyong berkata...

aku bangga kemenangan dap di dun duyong kerana di kg duyong le rumah dan tanah tumpah darah,kampong tok nenek aku,dah berkali2 pilihanraya aku bersama sama membantu dap untuk tumbangkan dinasti gan di duyong,dulu bapak dia gan boon leong[juara bina badan malaysia dia tu ]...lepas tu anak dia gan tian loo pulak yg gantikan dia jadi adun di duyong,dari keluarga aku aje 8org anak aku,8org menantu aku,aku dan bini aku ...kesemua undi 18 undi untuk dap dun duyong dan parlimen kota melaka....aku bangga dapat menyumbangkan untuk menumbangkan bn yg zalim terhadap rakyat......aku bangga jadi anak duyong...kampong laman di bebaskan dari di kuasai oleh dinasti gan dan pecacai bn dan umno,mari lah anak2 dun duyong kita terus bebas dari dinasti gan dan pecacai bn dan macai2 umno....takbir...


Tanpa Nama berkata...

Halangan utama untuk PR membentuk kerajaan dan memenangi pilihanraya ialah mentaliti "Kerajaan Perpaduan" dan sikap tamak kuasa di kalangan pemimpin dan ahli PAS

Tanpa Nama berkata...

Harap harap Calon dari PARTI PAS tidak terikut rentak Calon dari Parti PAS di Negeri Semnbilan

Menang di dalam PRU 12 Tetapi tewas di semua Kerusi dalam PRU yg baru lalu..

di harapkan anak sulung di bumi Melaka ini terus subur untuk membiak bukan sekadar anak yg akan kehilangan arah dan tuju untuk terus maju

Tanpa Nama berkata...

Salam aku anak duyung
Anda dan keluarga adalah kabanggaan malaysia.
Menuju politik alaf baru.
Takbii

Tanpa Nama berkata...

sokong tok guru nik aziz mmbantah kerajaan perpaduan..tkbirr

Tanpa Nama berkata...

Syabas kepada saudara sekeluarga! Berani kerana bernah!

Tanpa Nama berkata...

Gua penuokong manyak kuat sama itu dap ma. Gua selalu itut dengat ceramah ustat kamaludin serkam punya calon ma. Gua manyak suka dia punya cakap ma,gua ingat kalo dia menang itu
hari itu umno punya lobang abit dia kasi pecah ma. ustat manyak kuat semayang,gua ada denga dia lulus arab manyak pandai ugama. Ini ustat tatak rasuah punya,rokok pun tatak isap.
Gua manyak semayang kasi calon pas menang,kasi gegar ini negeri melaka,negeri paling manyak hutang. Itu telok mas punya calon pun manyak ok ma.Gua ingat pilihanlaya 14 nanti itu calon serkam tukat suka sama suka dengan calon telok mas..dua2 kita kasi menang. TAKBIR

Tanpa Nama berkata...

Saya pengundi parlimen bkt katil. Satu yang saya tak nafikan ialah ceramah agama dr ustaz Azhar Idrus tempohari ditmpat saya sedikit sebanyak tlh menyumbang kemenangan YB Shamsul Iskandar yang pastinya akan menggegar.