23 Dis 2012

Khalid Samad : MBSA Perlu Tegas Tutup Kelab Malam Haram di Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disarankan agar bertindak tegas terhadap sebuah premis yang beroperasi sebagai kelab malam haram di kawasan Setia Alam.

MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Datuk Bandar Shah Alam diharap menyerbu dan menutup premis tersebut yang didakwa tidak mempunyai lesen hiburan atau lesen minuman keras.

Ujarnya, premis berkenaan hanya mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan kafeteria tetapi menyalahgunakannya dengan membuka sebuah pusat hiburan.

“Mereka menyalahgunakan lesen itu dengan sokongan pihak polis untuk menjual minuman keras yang sepatutnya juga mempunyai lesen daripada pihak Jabatan Kastam dan juga MBSA.

“Kawasan Setia Alam adalah sebuah perbandaran yang di mana 70 peratusnya adalah bukan Islam.

“Namun sewajarnya pihak MBSA patut membuat pendengaran awam berhubung kebenaran membina pusat hiburan di situ,” jelas Khalid di dalam sidang media di pejabatnya.

Kata Khalid, MBSA telah mengeluarkan saman terhadap premis itu, akan tetapi tindakan tersebut dianggap tidak mencukupi.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan mengenakan saman kerana premis itu telah melanggar syarat dengan sengaja dan kefahaman melanggar banyak peraturan dan undang-undang kecil termasuk persoalan menjual minuman keras,” katanya.

“Sewajarnya pihak MBSA mengenakan tindakan lebih tegas dengan menggentikan operasi premis tersebut serta merta.

” Menurut laporan sebuah akhbar, premis itu dikatakan baru dibuka pada 12 Disember lepas sempena tarikh 12.12.12. Selain daripada menjual minuman keras, kelab malam itu juga mengadakan persembahan hiburan.



1 ulasan:

Yong berkata...

Salam Greenboc

Yong sokong Shah Alam patut dikekalkan sebagai bandaraya yang tiada panggung wayang, pub atau kelab malam!

Yong percaya mereka yang ada pegangan agama (termasuk kristian dll) tak suka aktiviti yang menjurus kepada maksiat!