31 Ogo 2012

[VIDEO] Sambutan Merdeka Di Selangor: Anwar Tuntut PRU13 Bersih & Adil

Sebangsa, Senegara, Sejiwa di Selangor meriah

SHAH ALAM: Sambutan hari kemerdekaan ke-55 tahun peringkat Negeri Selangor meriah apabila lebih dua ribu rakyat negeri ini membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Sambutan yang bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa telah dapat memenuhi semangat perpaduan serta keharmonian apabila pelbagai kaum tanpa mengira agama serta umur hadir untuk menyambut ambang kemerdekaan.

Dalam masa yang sama sambutan itu juga telah dimeriahkan dengan perbarisan 53 kumpulan dan 7 kumpulan pancaragam dari sekolah-sekolah di Selangor.

Manakala barisan kepimpinan Pakatan Rakyat terdiri daripada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri juga turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Selain itu juga keseluruhan barisan exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga hadir termasuk kakitangan kerajaan yang lain.

Sambutan yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan disusuli dengan perbarisan serta persembahan tarian tradisional sebelum ucapan daripada pemimpin utama negeri dan Pakatan Rakyat.

Tepat jam 12 malam, Menteri Besar Selangor telah melaungkan 'merdeka' sebanyak tujuh kali disertai dengan percikan bunga api di ruang udara bandar Shah Alam.

Sementara itu, kontijen dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinobatkan sebagai johan pada acara perbarisan dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.

MBPJ mengenakan seragam pasukan keselamatan pada waktu zaman pemerintahan Inggeris itu telah menarik minat mereka yang hadir kerana berjaya mengembalikkan nostalgia pasukan keselamatan sewaktu zaman menuntut kemerdekaan. -HD

Mesej Merdeka: Anwar tuntut PRU13 bersih dan adil

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, dan sehubungan itu, menyeru agar tidak ada sebarang "unsur penindasan" dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat Selangor di sini malam tadi, Anwar berkata, pilihan raya umum mestilah bersifat adil seperti yang pernah dituntut oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Saya seru agar PRU13 nanti tiada unsur penindasan. Jadi ia mesti bersih dan adil. Inilah kebebasan sebenar yang kita mahu," katanya pada sambutan yang diadakan Dataran Kemerdekaan di sini.

Tambah beliau, kemerdekaan negara merupakan satu kebebasan yang harus dihayati oleh setiap rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia harus tahu yang penjajahan dan unsur imperialisme merupakan unsur penindasan yang perlu dielakkan terutama sekali dalam PRU13," tegasnya.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata, erti kemerdekaan harus dihayati oleh generasi muda.

"Saya menyeru agar generasi muda negara ini menghayati erti kemerdekaan negara kerana budaya menghayati semangat merdeka harus ditentukan oleh rakyat sendiri," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertekad untuk memperoleh kemenangan dalam PRU13 dan itu sebabnya kerajaan-kerajaan negeri pimpinan (PR) iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah bersetuju menggunakan Sebangsa, Senegara dan Sejiwa sebagai tema menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini.

Menurut Khalid, tema ini wajar disebarkan sebagai usaha menggalakkan bukan saja rakyat di negeri pimpinan PR, tetapi semua negeri lain agar sentiasa bersama dan bekerjasama untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu.

"Setiap warga negara juga wajar sama-sama menikmati hasil sumber negara ini, bebas bergerak dan bersuara sebagai rakyat yang sudah merdeka tanpa dikurangkan hak semata-mata perbezaan kaum,agama atau fahaman politik," katanya semasa.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang apabila berlaku ketidakadilan dari segi ersamaan hak terhadap negeri-negeri dipimpin PR.

"Kita dapat lihat berlaku keadaan yang tidak adil apabila Kelantan tidak mendapat hak mereka sendiri dan sering gagal menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau turut menegaskan yang rakyat Malaysia berhak mendapat layanan adil dan sama rata dalam menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara tanpa sebarang diskriminasi.

"Saya turut bersyukur kerana walaupun pembangunan negeri PR dinafikan oleh Kerajaan Pusat, namun ekonomi dan pembangunan negeri di bawah pimpinan PR menunjukkan peningkatan dari segi rizab negeri dan nilai pelaburan," ulasnya.

Sebanyak 56 kontinjen menyertai perarakan pada sambutan malam tadi, terdiri daripada badan kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di negeri Selangor.
-SH







1 ulasan:

kampong lad berkata...

bila pulak nama2 yg disebut tu kecuali dr burhanuddin helmy pernah menentang penjajah?