21 Jun 2012

[JOM TONTON] Video Ceramah Haire Othman Di Pentas PAS

Batu Gajah: Pelakon, seniman, sastrawan kini berbondong-bondong menyertai PAS dan yang terbaru, pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman pula akan menyertai PAS.

Menurut Hairie, beliau bersama-sama pelakon, Zulkifli Ismail akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu dalam satu program di Taman Melewar, Gombak 6 julai ini.

Beliau tampil dalam siri ceramah PAS di Batu Gajah bersama Leman Raja Lawak yang baru sahaja sertai PAS, semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mat Jam, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Bekas Setiausaha Dewan Negara, Salleh Bakar.

Dalam ucapan sulungnya di pentas PAS, Hairie berkata, faktor mendorongnya untuk menyertai PAS ialah atas kesedarannya sendiri.

"Tidak sesiapa yang mempengaruhi dan memaksa saya masuk perjuangan ini tetapi atas kesedaran saya sendiri," katanya di hadapan ratusan hadirin.

Katanya, ramai artis yang menyokong BN kerana untuk mencari 'makan' dan meneruskan karier dalam bidang hiburan.

Anak kelahiran Negeri Kedah ini sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad yang mendakwa artis yang menyertai PAS ini bukanlah untuk berdakwah sebaliknya untuk berpolitik.

"Kenapa jika artis yang tidak sealiran dengan mereka dihina dan dijadikan isu sedangkan yang menyertai Umno tidak pula dibangkitkan?

"Saya telah memberikan komen tentang kenyataan menteri itu di facebook dan ramai yang menyokong komen saya itu," jelasnya.

Hairie berkata, ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas komen-komennya dalam laman facebook seolah-olah pro kepada pembangkang.

"Ramai yang memberi sokongan dan mengajak saya sertai PAS dan hari ini, hari bersejarah saya berucap pertama kami dipentas PAS," katanya dalam nada gembira.

Beliau mengakui tindakan ini akan memberi kesan kepada karier lakonannya namun beliau sanggup menghadapinya.

"Kalau saya fikir dunia, saya tidak akan membuat keputusan menyertai perjuangan ini namun saya sanggup menerima risiko kerana yang memberi rezeki bukannya BN tetapi Allah ," jelasnya.

Hairi menjelaskan, umat Islam perlu mengetahui serta mengakui politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu, katanya Umat Islam perlulah menyokong parti yang memperjuangan Islam iaitu PAS dan menolak parti yang memperjuangkan assobiyyah.

"Saya akan bersama-sama membantu dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya. -Muhammad Faeez



Tiada ulasan: