21 Jun 2012

Artis Tidak Lagi Takut Sekalipun Diugut

Bachok: “Saya tidak takut biar pun ada pihak mengugut. Kita hanya perlu takut kepada Allah Taala sahaja dan bukan takut kerana manusia.

“Biar pun berjuang bersama di pentas Pakatan Rakyat tanpa mendapat bayaran tetapi hati saya senang,” kata artis Dayangku Intan pada ceramah di Kampung Mahligai malam tadi.

Menurutnya tidak menjadi kesalahan untuk berjuang di pentas politik bagi menegakkan kebenaran.

Kata beliau ada rakan-rakan artis menanyakan tidak takutkah berjuang bersama Pakatan Rakyat, nanti susah hendak cari makan.

“Kamu artis hendaklah bangkit bagi menyuarakan hak. Sekarang artis tempatan tidak lagi mendapat keistimewaan berbanding artis yang didatangkan dari luar negara.

“Artis luar yang datang dibayar begitu mahal. Jadi kalau dilayan sebegitu rupa oleh kerajaan kita perlu bangkit bagi menyuarakan hak,” ujarnya pada ceramah di pentas PAS.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila ramai hadir mendengar ceramah sulung artis terbabit di Kelantan, yang kini berjuang di pentas Pakatan Rakyat.

Orang ramai berderetan di atas tali air yang terletak bersebelahan tempat ceramah. Di hadapan pentas orang ramai melimpah.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nor Azariza Alawi.

Ramai muslimat turut mengambil peluang bersalam dan bergambar dengan Dayangku Intan sebaik selesai ceramah.

Dayangku mendakwa beliau pernah diundang menghadiri program di sebuah rancangan televisyen di mana program berkenaan mendapat banyak tajaan di kalangan pengiklan.

Kata beliau biar pun stesen televisyen terbabit mendapat banyak pendapatan melalui iklan, namun beliau sebagai tetamu yang diundang bercakap kira-kira 45 minit hanya dibayar RM100 sahaja.

Dayangku Intan yang datang bersama suami juga memberitahu sudah lama tidak membaca akhbar harian yang dimiliki Umno.

“Sekarang saya hanya baca akhbar diterbitkan PAS, PKR dan melayari internet sahaja bagi mengetahui perkembangan semasa.

“Sebenarnya di mana sahaja berada saya tetap bercakap mengenai isu rasuah yang begitu kronik berlaku dalam negara sekarang,” katanya.

Menurutnya rakyat sudah bosan dan inginkan perubahan dalam pentadbiran negara.

Sementara itu Abdul Azziz berkata, beliau sudah beberapa kali berusaha menjemput Dayangku hadir pada program di Bachok, namun hanya malam tadi yang menjadi kenyataan.

Manakala pada 28 Jun ini seorang lagi selebriti, Abby Abadi dijangka menemui peminat pada program Sembang Petang di Dewan Majlis Daerah Kuala Krai di Guchil, manakala pagi 29 Jun pula program di padang Majlis Daerah Pasir Puteh. -HD

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang Malaysia dikenali negara rasuah (oleh pemimpinnya).