22 Jun 2012

Subhanallah.. Kucing Susui Tikus

Ranau: Walaupun kucing dan tikus dua haiwan sentiasa bermusuhan, namun perkara itu tidak berlaku bagi sebuah keluarga di Kampung Marakau, di sini, yang terkejut apabila mendapati kucing peliharaan mereka yang baru melahirkan anak turut menyusukan seekor tikus yang ‘menumpang’ manja bersama ibu kucing berkenaan.

Menurut pemiliknya, Malik Kaibeh, 47, kucing peliharaannya yang dinamakan Puralan itu baru pertama kali melahirkan dua ekor anak di sebuah pondok berhampiran rumah mereka sebelum disedarinya pada 7 Jun lalu.


“Saya melihat Puralan berulang-alik dua kali sambil menggonggong anaknya untuk berpindah dan hairan melihat ibu kucing ini turut menggonggong ‘anaknya’ yang agak pelik kerana memiliki ekor yang halus dan panjang selain berwarna hitam pekat.

“Sebaik diamati, saya terkejut apabila mendapati anak ketiganya adalah seekor tikus dan tidak pasti sama ada haiwan itu sekadar menumpang atau turut lahir bersama anak kucing lain,”
katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, sebaik menyedari perkara itu, dia bersama isteri, Anifah Unggau, 47, memaklumkan kejadian terbabit kepada jiran sebelum perkara itu mula tersebar di kalangan penduduk kampung sehingga rumahnya kini menjadi tumpuan.

“Biasanya tikus menu utama makanan kucing liar di sini, tetapi lain ceritanya dengan kucing kami apabila dilayan seperti anak sendiri.

“Malah, ibu kucing dilihat melayan ‘anak istimewanya’ sama seperti dua lagi anaknya lain termasuk menyusu dan membersihkan badannya,” katanya.

Katanya, semua anak kucing berkenaan turut dilihat bermain bersama selain tikus terbabit tidak pernah cuba melarikan diri walaupun dikerumuni orang ramai.

“Kami ada memelihara lebih 10 ekor kucing yang dibiarkan bebas selain arnab yang ditempatkan di dalam reban khas di luar rumah.

“Selepas mengetahui kejadian ini, ramai penduduk kampung mengunjungi rumah saya untuk melihat lebih dekat termasuk ada di antara mereka menghulurkan wang untuk membeli makanan kepada ibu kucing berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia akan menjual haiwan berkenaan, Anifah berkata, enggan berbuat demikian dan akan memelihara haiwan berkenaan. -HM


PELIK...anak Puralan melayan tikus seperti adik-beradik.


3 ulasan:

Basteng berkata...

SubhanAllah...

Lihatlah keagongan ALLAH s.w.t..
Dengan sifat Rahim & Rahman Nya, makhluk Tikus & Kucing pun boleh hidup bersama !

Wassalam..

Awanama berkata...

Alangkah baiknya jika pemimpin kita "meniru perangai" ibu kucing ni... layan rakyat secara adil tanpa mengira fahaman politik, kaum & agama.

Moga Allah kurniakan Malaysia pemimpin yg adil & telus selepas PRU 13 ni...


AzMiR

Awanama berkata...

Salah satu tanda2 kiamat sgt hampir ialah dunia ini diberkati dgn aman damai tanpa permusuhan dan kebencian yg tak pernah wujud sebelum ini. Dalam kehidupan haiwan pemangsa dan mangsa dapat hidup bersama tanpa takut, sehingga singa boleh makan bersama2 dgn rusa. Begitu juga manusia tiada perbalahan dan permusuhan. Kehidupan dunia menjadi mewah sehingga tiada manusia dimuka bumi ini yg susah dan hendakkan bantuan.

Apabila sebahagian kecil tanda2 ini dipertontonkan oleh Allah swt yg mencipta semua mahkluk maka ianya adalah peringatan tentang kedatangan kiamat.

Soalnya sekarang mampukah kita manusia menolak sekuat mungkin hasutan dan fitnah dunia yg kuat diakhir zaman ini? Adakah kita akan terus tidur dan hanya sedar apabila nyawa bercerai dari badan? Tergamak ke kita mengutamakan kehidupan dunia yg pada pandangan Allah swt, hanyalah sekadar waktu dhuha, atau asar dgn kehidupan akhirat yg jauh lebih baik kekal selama2nya?

Kehidupan dunia telah dan sedang kita lalui, selepas ini kehidupan barzakh yg menakutkan dan mungkin lebih lama dari masa hidup di dunia. Di barzakh lah penentu nasib samada kita beroleh kemenangan utk hidup di syurga atau dihumban ke jahanam. Manusia yg bahagia di barzakh akan meluncur laju melintasi mahsyar ke syurga utk berbahagia bersama2 kenikmatan yg telah dijanjikan oleh Allah azzawajallah.

Rebutlah peluang ini saudara2 dan saudari2 ku sementara diizinkan Allah swt.

Wallahualam

Amir, JB