1 Jun 2012

PAS Sasar Pertahan Semua Kerusi 2008

Alor Setar: PAS meletakkan sasaran mempertahankan semua 23 kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan parti itu mahu menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor.

“Kami mahu memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Bersama Pakatan rakyat, kami mahu merampas Perak danTerengganu selain mempertahankan Selangor, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang,” kata Presiden PAS itu ketika berucap dalam perhimpunan parti di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang 23 kerusi Parlimen dan menawan Kedah, Perak serta mengekalkan Kelantan sejak 1990.

Bagaimanapun, BN merampas semula kerajaan negeri Perak apabila tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti dan menyokong BN.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, PAS bersama Pakatan Rakyat mesti berusaha melemahkan penguasaan Umno dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS.

Katanya, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan.

Beliau juga mengarahkan parti untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3 – 4 peratus.

Isu orang Melayu

“Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah dengan meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin negara dan akan martabat martabat mereka dengan mendaulatkan Islam.

“Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti Felda, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.

“Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubahan penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar bandar,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS perlu mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

Katanya, PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepada pengundi-pengundi muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.

Manakala, Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak Kemas yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

“Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

“Manakala Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan “PAS for All”.

“Semua ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong Umno dengan akhlak yang terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS,” tambahnya.

Abdul Hadi berkata, jika PAS dan Pakatan Rakyat diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak. -FMT

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ok la tu setuju.