11 Jun 2012

Imej Polis Terus Tercemar: Dua Kes Konstabel Lakukan Jenayah

Penjawat awam dituduh cabul remaja dalam lokap

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Konstabel Sokongan dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan mencabul remaja di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa Februari lalu.

Gambar: Mohd Shahrul Izuairi menutup mukanya mengelak daripada wajahnya dirakam media selepas di bawa keluar dari mahkamah semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Shahrul Izuairi Ibrahim, 31, didakwa melakukan kesalahan terhadap remaja Thailand itu kira-kira jam 10 pagi pada 5 Februari lalu di sel lokap berkenaan.

Bapa kepada dua anak itu dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan remaja berusia 15 tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluannya yang ketika itu ditahan reman kerana dikaitkan kesalahan Imigresen.

Penjawat awam itu, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Muhamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Fazali.

Noor Dayana menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh bagaimanapun, Mohd Shahrul Izuairi meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut dengan alasan dia mempunyai dua anak serta menghadapi masalah kewangan.

Bagaimanapun, Mohd Fazaly Ali menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dan tarikh sebutan semula kes ialah pada 10 Julai ini.

Tertuduh ketika di bawa keluar dari mahkamah menutup mukanya dengan menggunakan jaket untuk mengelak wajahnya dirakamkan pihak media. -SH

Pakatan licik konstabel muda

RUMAH kongsi inilah yang menjadi tempat seorang konstabel sokongan dan tiga rakannya melakukan samun sebelum diberkas di Kemaman, Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Kegiatan seorang konstabel sokongan bersekongkol dengan tiga rakannya untuk menyamun sebuah rumah kongsi didiami buruh Indonesia di Jalan Jakar, Kemaman, berbalas apabila dia ditahan kelmarin.

Konstabel berusia 27 tahun tersebut ditahan ketika dia sedang beristirehat di kuarters Balai Polis Chukai, Kemaman pada pukul 7.30 malam iaitu selepas 15 jam kejadian samun itu berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, kejadian itu berlaku apabila tiga rakan konstabel tersebut menyerbu rumah kongsi berkenaan dengan menyamar sebagai polis cawangan narkotik pada pukul 4 pagi.

Katanya, selepas mengejutkan semua penghuni, salah seorang suspek yang memakai vest mempunyai perkataan polis meminta semua buruh warga Indonesia tersebut berkumpul di hadapan rumah berkenaan dan menunjukkan pasport masing-masing.

“Dua lagi penyamun masuk ke dalam rumah kongsi dan mengambil sebuah beg mengandungi wang RM400 milik seorang buruh berusia 34 tahun.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu konstabel tersebut yang sedang menunggu berdekatan premis itu,” katanya.

Kosmo


3 ulasan:

wak parjoe berkata...

Jangan kerna nila setitik..... Ini kes terpencil, polis juga manusia biasa. Ada juge segelintir yang terseleweng. Kalau dikira peratusnya yang macam tu, tak seberapa pun. Yang baik Wak kata baik.....

Tanpa Nama berkata...

pernah dengar orang kata Polis Raja di Malaysia?

Tanpa Nama berkata...

.byk lg pekara yg polis lakukan.yg pling depa suka minta habuan utk mngelak di saman klu buat kesalahan lalulintas.Ada gak yg suka memeras ugut warga asing.tp ada juga yg ok.