16 Jun 2012

2 Jurutol Plus Cedera Terkena Tembakan Selepas Dirompak

Seremban – Dua jurutol Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) nyaris maut selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Seremban, susur keluar ke arah utara, di sini, malam semalam.

Gambar: Nurijah menahan kesakitan akibat ditembak di belakang badannya masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 malam itu, mangsa, Nurijah Rosli, 24, yang mengandung dua bulan dan rakan sekerjanya, Mohd Haffiz Zamri, 26, parah selepas ditembak dengan senapang jenis pump gun dari arah dekat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal dalam perjalanan dari Plaza Tol Seremban susur masuk ke Seremban dari arah utara, menuju ke pejabat syarikat terbabit di Plaza Tol Seremban, susur keluar ke arah utara.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa mahu menghantar wang kutipan pada hari tersebut berjumlah hampir RM2,000 ke pejabat syarikat, kira-kira 200 meter dari plaza tol.

“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, sebuah kereta jenis Proton Wira tiba-tiba memintas motosikal mereka, sebelum salah seorang suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa," katanya.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan suspek sempat merampas beg kecil berisi wang dipegang salah seorang mangsa.

"Penjenayah dilihat melarikan diri ke arah Sendayan," katanya.

Saiful Azly berkata, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan turut ditugaskan mengiringi kedua-dua jurutol berkenaan dari arah belakang.

“Tetapi ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit difahamkan berada pada jarak agak jauh daripada mangsa, malah dia juga tidak membawa sebarang senjata.

“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api 1960 (Penalti lebih berat),” katanya.

Keadaan di lokasi kejadian berhampiran Plaza Tol Seremban.


Menurutnya, tembakan dari jarak dekat itu menyebabkan Nurijah cedera di bahagian belakang dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, manakala Mohd Haffiz parah di kaki dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu suami Nurijah, Faizul Abd Latif, 31, berkata, dia bagaikan hilang nyawa sebaik sahaja menerima panggilan telefon memaklumkan isterinya ditembak.

“Ketika sedang menidurkan anak di rumah, tiba-tiba saya terima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali.

“Saya angkat sahaja walaupun tidak tahu siapa, tapi saya terkejut kerana saya dengar suara isteri saya menjerit kesakitan dan pemanggil terbabit memaklumkan isteri cedera ditembak,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun anaknya berusia lapan bulan sedikit meragam.

Manakala bapa Mohd Haffiz yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri berkata, anaknya itu sudah tiga tahun bekerja sebagai jurutol dan baru sahaja bertunang.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dalam kejadian ini walaupun cedera ditembak," katanya.

3 ulasan:

Awanama berkata...

Ada pengawal keselamatanpun tak berguna.

Volks_Grenadier berkata...

yang ni dikatakan negara paling selamat nak kata najib a.k.a munafik sejati...kepala bapakmu najib...

abuamir berkata...

Pekerja bertarung nyawa utk PLUS jimat duit tanpa keselamatan membawa duit. Negara kita semakin tidak selamat.......