4 Mei 2012

Semua Pihak Kecam Keganasan Polis - Bunga Diberi, Gas Pemedih Mata Dibalasnya

Suhakam: Tindakan polis tak boleh diterima sama sekali

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

"... di mana mereka (polis) mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam.

Suruhanjaya itu juga, tegasnya, terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika.

"Sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa," tambahnya.

Berikut adalah kenyataan penuh pengerusi Suhakam yang bertajuk 'Kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi dan dihormati'.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.

Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula, Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak. Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

Ia juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
-mk








Majlis Peguam: Tindakan polis 'sangat buruk'

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 diperhatikan "lebih ganas" berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.

Perkara itu merupakan antara yang dimuatkan dalam laporan awal badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan tersebut.

Laporan awal itu disusun daripada laporan oleh seramai 78 orang sukarelawannya yang membuat pemerhatian di enam lokasi semasa perhimpunan tersebut.

"Pemerhati kami menyaksikan lebih banyak keganasan polis (tahun ini), lebih banyak penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sesuka hati, dan lebih banyak kepungan terhadap peserta himpunan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata terus ke arah peserta himpunan dan tidak memberikan ruang kepada kumpulan itu untuk bersurai.

"Kami memerhatikan beberapa amalan kepolisan yang sangat buruk kali ini. Mereka tidak seharusnya menembak terus gas pemedih mata ke arah peserta apabila peserta berhimpit-himpit dan berasak sesama mereka.

"Kita bernasib baik tiada sesiapa dipijak. Polis seharusnya memberikan ruang untuk orang ramai bersurai dan beredar," katanya.

Serang selepas tangkap

Turut bercakap dalam sidang media di bangunan Majlis Peguam itu ialah timbalan presiden badan tersebut, Christopher Leong yang kesal dengan serangan polis terhadap peserta perhimpunan dan petugas media.

"Apa perlunya menyerang peserta yang sudah ditangkap? Apa perlunya media dihalang daripada membuat kerja mereka?" katanya.

Menurutnya lagi, polis sewajarnya mempertimbangkan keputusan untuk membiarkan peserta memasuki kawasan Dataran Merdeka apabila hadangan dirobohkan.

Katanya, polis mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, berbanding tindakan menyerang peserta perhimpunan dengan gas pemedih mata dan meriam air.

"Apakah akibatnya apabila khalayak memecahkan halangan pada hari itu? Apakah akibat paling buruk apabila khalayak merempuh halangan polis pada hari itu?

"Akibatnya cuma 100,000 orang duduk di Dataran Merdeka dan berkumpul di sana selama sejam lagi. Mereka bukannya mahu merosakkan kemudahan awam atau bangunan ketenteraan yang sensitif.

"Jadi di manakah keseimbangannya di antara keselamatan nasional dan hak asasi manusia?" kata Christopher.

Perhimpunan disertai sehingga 100,000 peserta menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu kota 28 April lalu berakhir dengan aman pada jam 2.30 petang apabila penganjur mengarahkan peserta bersurai.

Bagaimanapun sebahagian peserta bertindak menceroboh pengadang dan memasuki kawasan Dataran Merdeka – menyebabkan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka. -mk




Majlis Peguam timbang tindakan undang-undang

Majlis Peguam mempertimbangkan untuk mewakili peserta perhimpunan BERSIH 3.0 untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan keganasan yang dilakukan ke atas mereka.

Presidennya Lim Chee Wee tidak memperincikan bila tindakan itu akan diambil namun menegaskan bahawa ia akan dibuat secepat mungkin selepas Majlis Peguam menyiapkan laporan pemerhatiannya dalam isu keganasan ke atas peserta berkenaan.

"Saya perlu merujuk ahli (Majlis Peguam dahulu), kumpulkan ahli secukupnya untuk menemubual semua mangsa pencabulan hak asasi manusia, memohon inkuiri Suhakam dan mungkin mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang itu adalah sebahagian daripada tiga pilihan yang akan diambil Majlis Peguam berkenaan isu keganasan terhadap peserta BERSIH 3.0

"Kami tentunya mahu berbincang dengan polis dan sampaikan perkara yang pemerhati kami lihat dan rasa berlaku pada hari itu," kata Lim.

Lim menegaskan bahawa dakwaan keganasan yang dilakukan polis itu membuktikan bahawa kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Tahanan dinafikan peguam

Menurutnya, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langkah itu perlu dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk melakukan transformasi.

"Najib mungkin berniat mahu mentransformasikan negara tetapi institusi (kepolisan) tidak sehaluan dengan niat beliau," katanya.

Dalam sidang media sama, seorang lagi ahli jawatankuasa Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata polis menafikan akses peguam kepada tahanan BERSIH yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada 28 April lalu.

"Sehingga semua mereka dibebaskan pada jam 5 pagi, kami (peguam) tidak dibenarkan menemui mereka," katanya yang sampai ke PULAPOL semenjak jam 5.40 petang lagi.

Beliau juga mendakwa ketua polis negara "berbohong" apabila menyatakan bahawa peguam bebas untuk bertemu tahanan pada hari itu.

"Ini bertentangan dengan Seksyen 28(a) Kanun Keseksaan dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia amat ironis apabila polis mengingatkan peserta BERSIH agar mematuhi undang-undang namun apabila tiba giliran mereka, ia diabaikan tanpa sebarang rasa bersalah," katanya.
-mk





4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kelmarin, dalan rancangan soal jawab TV3, ada YB tu kata, bagi bunga kat polis yang tengah bertugas tu adalah sikap 'tak sopan dan tak menghormati polis'... dia tambah lagi, Majlis Peguam sekarang nie dah jadi macam juru cakap rasmi pihak pembangkang... tapi satu lagi pandangan bijak beliau ialah... Bersih tak mahu Stadium Merdeka sebab nanti nampak sangat stadium tu tak penuh...

Tanpa Nama berkata...

yb cakap tu btul! tak sopan bagi bunga kat berok! bunga patut diberi pada manusia..

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum gb,
bagi pandangan sy, pihak polis(pdrm) membantai peserta bersih 3.0 bukanlah sesuatu yg pelik atau kita kata tidak masuk akal. ianya merupakan suatu perkara biasa di m'sia, melainkan sekiranya perkara itu berlaku di negara-negara maju.
sy langsung tak pelik akan tetapi jika polis(pdrm) memberi layanan mesra atau tidak memukul peserta pada sy itu yg pelik. dibawah pemerintahan bn, polis digunakan semaksima mungkin utk melindungi pemimpin-pemimpin yg korup, pecah amanah dsb.
sepatutnya pihak penganjur bersih 3.0 menyediakan ambulan atau paramedik awal-awal semasa perhimpunan diadakan.
takkan terlepas pandang kot!

Tanpa Nama berkata...

Polis di Iran, Tunisia, Mesir, Yemen dan Syria membalun rakyat hingga beribu yg mati untuk mengekalkan kuasa pemerintah. Begitu juga polis di US of A terhadap rakyat kulit hitam. Di Arab Saudi Secret Police mereka pun kejam.