7 Mac 2012

Mahkamah Tolak Rayuan "Rasul Melayu" Abdul Kahar Ahmad

Shah Alam: Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atas ketua ajaran sesat 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad.

Abdul Kahar mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau merayu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar membuat keputusan itu selepas mereka sebulat suara menolak rayuan Abdul Kahar, 62, untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya pada 21 Okt 2009.

Dalam penghakiman mereka, Ibrahim selaku pengerusi berkata pihaknya menolak lapan alasan yang dikemukakan oleh Abdul Kahar bahawa Hakim Abu Zaky Mohammad telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.

Mereka sebaliknya berpendapat hukuman penjara, denda dan sebatan itu sesuai dengan kesalahan perayu mengaku dirinya sebagai rasul yang sangat serius serta merosakkan akidah umat Islam.

"Dalam mempertimbangkan hukuman, perkara yang perlu diambil kira ialah kepentingan umum serta berat kesalahan.

"Sebaliknya sebab-sebab yang mendorong kepada pemberatan hukuman ialah sejauh mana kesan kesalahan kepada masyarakat dan dan kesesuaian dengan keadaan jenayah. Dalam kes ini, kesalahan bukan sahaja terhadap dirinya, tetapi perayu juga bertindak menyesatkan orang lain," kata Ibrahim.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata hukuman sebat ke atas Abdul Kahar hanya akan dijalankan selepas dia dirujuk kepada pegawai perubatan dan tidak ada asas untuk pihaknya campur tangan jika Mahkamah Tinggi memutuskan semua hukuman berjalan secara berasingan.

Sejurus Ibrahim membacakan keputusan itu, anak-anak perempuan Abdul Kahar di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis sambil ditenangkan oleh anak lelaki tertuduh.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Kahar diwakili peguam syarie Musa Awang sementara pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abd. Shukor Abdul Hamid serta pegawai pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana dan Shafezan Rosli.

Pada 21 Oktober 2009, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja dan ibadah haji adalah sia-sia dan merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan ini bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan perkataan amalan dalam Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 12 iaitu menghina pihak berkuasa agama denganmengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjarasetahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 13 iaitu menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul diutus Allah untuk orang Melayu.

Dia juga menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib; memadai dengan melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di mana-mana bumi Allah.

Abdul Kahar yang tidak bekerja didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Abu Zaky turut memerintahkan Abdul Kahar dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu dekat sini, pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu. -BERNAMA


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau blh la orang mcm ini sebat 30 rotan ,pagil org rmai2 sepak, tendang luku kepala bagi betul2 kaw, kencing bubuh muka baru dia tau,anak haram jadah punya org , thhuihhhhhh,