26 Feb 2012

[Video] Mesej Jelas Dari Kuantan: Tumbangkan BN Untuk Batalkan Lynas

Pakatan batal Lynas jika kuasai Putrajaya

KUANTAN, 26 Feb: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan akan membatalkan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Advanced Material Plant (Lamp) sebaik mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 20,000 peserta Himpunan Hijau 2.0 di Padang Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, pagi ini.

"Kami dari Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan, sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, Lynas akan dibatalkan.

"Kami juga memberi jaminan semua tindakan merosakan alam sekitar, menibdas rakyat, merosakkan rakyat...akan kami tentang," tegasnya di atas pentas disambut laungan 'lawan tetap lawan' oleh para hadirin.

Pengumuman itu juga dilihat sebagai kemuncak kepada himpunan yang dihadiri pelbagai kaum hari ini.

Sebagai menyokong kempen Anti Lynas juga, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, satu usul tergempar akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada persidangan parlimen Mac ini.

"Pada persidangan parlimen Mac ini, kita juga akan mengemukakan usul tergempar bagi menuntut kerajaan Barisan Nasional membatalkan Lynas," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Isu Lynas, ujarnya bukannya isu perkauman seperti yang sering didakwa Umno, tetapi adalah isu keselamatan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak kerajaan mendengar suara dan bantahan rakyat berhubung isu itu. -HD

"Tsunami hijau" melanda Kuantan: Batal projek Lynas jika Pakatan berkuasa, janji Anwar

Lebih 10 ribu manusia berbilang kaum berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 4 pada pagi ini, dengan nada yang tegas melaungkan "Berambus Lynas!". Di samping itu, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim berjanji untuk membatalkan projek Lynas, seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pemerintahan.

Tiada penangkapan berlaku dimaklumkan sehingga perhimpunan bersurai dengan aman pada jam 11.30 pagi. Belasan ribu orang berhimpun di Padang MPK tepat pada jam 9.30 pagi, tadi. Mereka datang dengan kad-kad dan banner yang membawa mesej "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia", "Kita tidak mahu jadi Bukit Merah Kedua", "Kita bukan tikus putih" dan sebagainya. Polis yang hadir hanya berperanan untuk mengawal lalu lintas di sekitar bandar Kuantan.

Selain itu, Anwar Ibrahim ketika berucap pada kira-kira jam 11.20 pagi, menyatakan pendirian Pakatan Rakyat untuk membatalkan projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, jikalau mengambil alih kuasa pemerintahan. Malah beliau membidas kerajaan Barisan Nasional tidak memahami hubungan antara manusia dengan alam semula jadi, kerana apa yang mereka nampak hanyalah "wang, wang, wang!"

Dalam ucapan ringkasnya kira-kira lima minit, ahli parlimen Permatang Pauh ini turut berjanji untuk membawa usul tergempar dalam sidang parlimen pada Mac akan datang, untuk membincangkan isu Lynas di Gebeng, Kuantan.

Sebelum ini, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Tan Yew Sing melaungkan "Berambus Lynas!", disahut dengan belasan ribu orang di situ. Turut hadir untuk berucap termasuklah, Pengerusi bersama BERSIH 2.0, Ambiga, wakil orang asli, wakil dari Jawatankuasa menentang penggunaan cyanide dari Bukit Koman, wakil dari penduduk Rawang yang berdepan dengan isu menara elektrik berkuasa tinggi, wakil dari Cameron Highlands yang menentang projek pembinaan incinerator dan lain-lain.

Lebih awal, Sasterawan Negara, A. Samad Said, juga pengerusi bersama BERSIH 2.0, melafazkan puisi beliau pada jam 10 pagi. Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menjadi pengacara untuk aktiviti ini, beberapa kali memimpin rakyat menyanyi lagu "Suara Rakyat", selain laungan slogan "Hancur Lynas".

Anwar Ibrahim tiba pada kira-kira jam 10.30. Selain Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir termasuklah Wan Azizah, Nurul Izzah, Tian Chua, Khalid Ibrahim, Fuziah Salleh dan lain-lain dari PKR; Lim Kit Siang, Tan Seng Ngiaw, Tony Pua, Ronnie Liu, Jenice Lee dan lain-lain dari DAP; Salahuddin Ayub dari PAS. Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan turut hadir untuk menyokong perjuangan Himpunan Hijau 2.0.

Isu Lynas dibangkitkan oleh ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh di parlimen pada November 2008. Bagaimanapun, isu ini tidak mendapat perhatian umum pada ketika itu, sehinggalah ia dilaporkan New York Time pada Mac 2011.

Penduduk tempatan menubuhkan Jawatankuasa Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia, membantah pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng. Jawatankuasa tersebut pernah bertolak ke Australia untuk membantah pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng. Selain itu, perhimpunan pertama telah diadakan pada 9 Oktober 2011, menarik kehadiran kira-kira 4,000 orang.

Meskipun dibantah keras penduduk tempatan, namun AELB (Atomic Energy Licensing Board) tetap meluluskan permit sementara untuk Lynas beroperasi, pada 1 Februari 2012.
-MR


K'jaan diberi 24 jam tutup Lynas atau hadapi Hijau 3.0

Kerajaan hari ini diberi tempoh 24 jam bagi menutup loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng atau menghadapi Himpunan Hijau 3.0.

Dengan kehadiran ribuan peserta Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pagi ini, pengerusi jawatakuasa pemandu Wong Tack menjanjikan jumlah yang lebih ramai jika kerajaan sekarang terus berdegil tidak memperdulikan bantahan dan rayuan rakyat itu.

"Kami memberi tempoh kepada kerajaan 24 jam untuk menutup loji berkenaan, jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi yang lebih besar.

"Tutup kilang Lynas, atau kami akan tumbangkan kerajaan, kamu buat keputusan," katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
-mk







Laporan bergambar sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: