3 Feb 2012

Tragedi Pasar Payang K.Trengganu: Suspek Tikam Gadis Jurujual Kain Ditahan

Maut ditikam lelaki gila

KUALA TERENGGANU – Polis yakin dapat menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang pembantu kedai kain yang mati ditikam sebanyak enam kali di bangunan Paya Keladi, Jalan Kampung Daik di sini kelmarin ekoran penahanan seorang lelaki semalam.

Gambar: RAKAN sekerja, Siti Aminah Ahmad menunjukkan selipar Wan Manisah yang tertinggal selepas diheret dan ditikam hingga mati oleh seorang lelaki di Kuala Terengganu kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pukul 4.30 petang di Pasar Besar Kedai Payang di sini kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.

“Kita masih mencari senjata yang digunakan untuk menikam mangsa. Kes itu dianggap selesai dengan penahanan suspek,” katanya.

Manoharan berkata demikian ketika mengulas mengenai Wan Manisah Wan Mansur (gambar kecil), 27, yang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu kira-kira enam jam selepas kejadian dia diserang dan ditikam seorang lelaki kurang siuman.

Kejadian berlaku apabila suspek yang meluru masuk ke dalam premis itu terus memeluk Wan Manisah dari belakang selepas mangsa cuba menghalangnya.

Suspek kemudian mengheret mangsa hingga ke depan kedai sebelum menghentak kepala wanita itu ke lantai dan menikam belakang badan mangsa hingga mengenai paru-paru.

Bedah siasat mendapati terdapat enam tikaman pada bahagian kiri badan mangsa iaitu tiga di lengan dan tiga di belakang. -kosmo

Suspek dalam kes bunuh pembantu kedai kain ditahan

KUALA TERENGGANU - Polis menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh seorang pembantu kedai kain di sini malam tadi.

Suspek yang berusia 28 tahun ditahan kira-kira 4.30 petang ini di Pasar Besar Kedai Payang dekat sini.

"Kita percaya dengan tertangkapnya suspek, kita dapat menyelesaikan kes pembunuhan yang melibatkan pembantu kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Suspek dipercayai berasal dari Sarawak. Dalam kejadian kira-kira 8 malam di sebuah kedai kain di Jalan Kampung Daik, mangsa Wan Manisah Wan Mansor, 27, di dapati ditikam sebanyak enam kali.

Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira 2.05 pagi tadi. - Bernama


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: