6 Feb 2012

Takda Masa Untuk Layan Hassan Ali

Pas Selangor tak mahu layan Hasan Ali

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak akan melayan sebarang tuduhan bekas Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana menyifatkannya sebagai memberikan ‘talian hayat’ kepada bekas ahli Pas itu untuk terus mengkritik parti tersebut.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman(gambar) berkata, pihaknya juga tidak bercadang untuk mengadakan sebarang perdebatan bagi menjawab segala dakwaan yang dibuat Hasan.

“Ikut suka dialah nak cakap apa pun kerana dia bukan lagi ahli Pas, jadi terpulanglah kalau nak komen apa pun.

“Kalau dia nak meraung sekalipun terpulanglah kerana kita tak bercadang nak berdebat dan tak mahu beri ‘talian hayat’ kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab sama ada Pas Selangor sedia tampil memperjelaskan segala tuduhan yang dilemparkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dalam beberapa siri ceramah dan sidang medianya.

Abd Rani berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat nasihat daripada Pas Pusat berhubung isu pemecatan Hasan.

Katanya, beliau menafikan kenyataan Hasan yang mendakwa tidak menerima sebarang pertuduhan dan juga arahan untuk hadir khusus bagi memberi keterangan.

Menurutnya, Pas Selangor menghantar sebanyak tiga surat bagi memintanya hadir untuk memberi keterangan.

“Tuduhan kita tak beri dia (Hasan) peluang itu tak betul kerana kita menghantar surat sebanyak tiga kali menjemputnya untuk bertemu pimpinan Pas Selangor.

“Malah kita ada bukti yang surat tersebut mempunyai cop penerima dan kita hantarnya sendiri secara terus.

“Yang kita hairan, kalau TV3 panggil dia pergi pulak? Tetapi kita panggil dia tak datang dan dia sendiri yang ‘menghitamkan’ suasana,” katanya.

Abd Rani turut menolak dakwaan Hasan yang mengatakan 72 peratus pemimpin Pas dijangkiti parasit.

Katanya, beliau hairan bagaimana Hasan mendapat statistik tersebut tanpa mengemukakan fakta dan bukti.

“Mana dia dapat statistik sebegitu? Adakah itu hasil kajiannya sendiri? Kalau nak tuduh kita perlu kemukakan bukti dan faktanya. Dalam Islam pun begitu,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Rani turut mempersoalkan keikhlasan Hasan dalam memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) kerana dilihat lebih condong mengkritik parti itu berbanding Umno.

“Kalau dia benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan pendiriannya mengapa tidak menegur kedua-duanya sekali iaitu Pas dan Umno. Tetapi dalam isu ini kita lihat dia hanya mengkritik Pas.

“Nampak seolah-olah dia memang budak suruhan Umno seperti yang didakwa oleh Khalid (Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor),” katanya.

Pas desak Hasan letak jawatan Adun
NORJIMI AZMI LATIF
6 Februari 2012

SHAH ALAM – Datuk Dr Hasan Mohamed Ali perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia sekiranya enggan membuat rayuan kerana kerusi dimenanginya itu atas tiket Pas.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan terus mendesak Hasan supaya melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya beliau sudah membuat keputusan muktamad tidak mahu merayu dan berhajat untuk ‘angkat kaki’ daripada menjadi ahli parti itu.

Menurutnya, adalah lebih baik bagi bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berdiam diri dan tutup mulut daripada memburukkan orang lain serta melabelkan pemimpin tertentu sebagai parasit.

“Sekiranya beliau tidak suka pada seseorang, itu haknya. Ini semua tiada kaitan dengan Pas lagi, tetapi saya ingatkan supaya tidak meletakkan semua kesalahan kepada orang lain sedangkan ia adalah kesalahan yang dilakukan dirinya sendiri.

“Hasan tidak boleh cakap orang lain parasit kerana orang berkenaan ada hati dan perasaan. Sebab itu menasihatinya supaya tidak buka mulut,” katanya, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan keengganan Hasan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya daripada Pas yang disifatkan dilakukan se­ca­ra autokratik dan tidak de­mokratik.

Malah Hasan turut menggariskan sembilan sebab mendorongnya membuat keputusan penting itu.

Mengulas tindakan Hasan yang melemparkan kesalahan ke atas Pas dan mengemukakan sebab-sebab menolak parti itu, Tuan Ibrahim berkata, tindakan itu langsung tidak munasabah, malah beliau masih gagal mendedahkan individu dimaksudkan.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan Hasan seorang pemimpin yang gagal dan tidak mempunyai autoriti serta hak melakukan perubahan setelah diberikan peranan memegang dalam jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

“Kenapa beliau mahu menyalahkan orang lain? Mengaku saja yang diri sendiri buat salah. Tidak ada urusan campur tangan orang lain ketika beliau pegang jawatan berkenaan," katanya. -SH

8 ulasan:

pak din tua berkata...

Aku simpati dengan Dr Hassan Meroyan nie. Dia melalak merata, betoi ramai orang yang hadir tetapi yanng hadir tu bukan nak sokong dia tetapi sekadar nak dengar sendiri apa dia punya kelentong ! Lepas tu nak pakat gelak dengar lawak dia. Kesiaaannnn. Tindakan PAS Selangor khususnya, amat bijak, biarkan Hassan Putu Meroyan dengan jualan putunya. Kita rapatkan bulatan ke arah PRU yang bakal mendatang, lagi banyak pekdah nyer !

Tanpa Nama berkata...

biarkan Hassan Ali berkokok sendirian.. tak ada guna dilayan, kalau dilayan semakin banyak lawak bodohnya.

Tanpa Nama berkata...

Pada pengamatan saya pun memang umno dibelakang En Hassan nih. Sekarang pun pun buleh nampak, dia dapat kebenaran buat ceramah kat sekolah....setahu saya kalu puak PR nk buat kat padang sekolah jangan haraplah.

Tanpa Nama berkata...

saya sokong 120% kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, jangan dilayan orang macam Hasan Ali ni.satu Hasan Ali pergi tidak meninggalkan apa=apa kesan PAS Selangor malah lebih mantap lagi PAS tanpa orang seperti Hasan Ali ni.Hasan ni umpama orang yang telah bangkrap, sebab tulah dia ni melalak sana sini. Saya harap PAS jangan pandang kebelakang lagi,teruskan dengan perjuangan bagi menghadapi PRU 13.Melayan orang seperti ini hanya buang masa saja.

neonazi berkata...

betul tu..
jangan layan hassan ali...
kalau boleh bior dia masok UMNO...
dan sama-sama kita tengok...
amar maaruf & nahi mungkar
dia berani buat ke tidak....

Tanpa Nama berkata...

Tak dapat jadi MB sekarang nak projek lah tu agaknya.

Tanpa Nama berkata...

bior le weii
abih pru13 nanti sonyap le tu
abih yo gas yang amno boie karang, lonyap la cerito ngo boreh jati kek negaro kito nih

poduli an yo dio nak menyalak
bukit tak runtuh pon
dio yang runtuh
jawatan torbang dah weiii

Tanpa Nama berkata...

Sikap Pesuruhjaya Selangor ni tepat dan tegas.Yang peliknya ramai dikalangan ahli Majlis Syura Ulamak pulak yang sibuk nak suruh Hassan Ali buat rayuan walhal Hassan Ali dah bertekad tidak akan merayu.Apa sudah jadi ni? Tak tau pulak Hassan Ali ni punya pengaruh kuat dikalangan ahli Majlis Syura Ulamak.