16 Feb 2012

Kenyataan Nazri Sahkan Dakwaan PR Mengenai Skandal NFC Adalah Benar

NFC: Kenyataan Nazri bukti dakwaan Pakatan benar

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Kenyataan terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp) melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan membuktikan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini benar.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Nazri selaku menteri yang memegang portfolio undang-undang harus menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan proses siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat.

"Kita tidak faham kenapa Datuk Seri Nazri Aziz yang bertangungjawab ke atas SPRM sudah membuat pengumuman terbuka tapi SPRM masih belum mengambil apa-apa tindakan.

"PAS desak Nazri mengarahkan SPRM untuk segera ambil tindakan kerana ini melibatkan wang rakyat," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Nazri semalam mengakui telah berlaku kes pecah amanah apabila duit yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain oleh NFCorp.

PAS sebelum ini meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Sehubungan itu, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat NFC selain siasatan oleh SPRM.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengenai dakwaan perjanjian melibatkan pinjaman RM250 juta antara Kementerian Kewangan dan NFCorp tidak disediakan oleh pejabat Peguam Negara.

Beliau meminta Najib menyatakan pihak mana yang menyediakan perjanjian itu jika benar ia tidak disediakan oleh Peguam Negara. -HD

NFC: Menteri sahkan pecah amanah, namun tiada tindakan- Guan Eng

KUALA LUMPUR 15 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang didakwa menyalahguna dana National Feedlot Corporation (NFCorp).

Beliau berkata, pihak berkuasa juga gagal mengambil sebarang tindakan meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan NFCorp telah melakukan pecah amanah dan melanggar syarat pinjaman mudah kerajaan.

“Rakyat Malaysia kini menuntut untuk tahu mengapa SPRM dan pihak polis tidak bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab, apabila menteri undang-undang sendiri menyatakan skandal RM250 juta projek lembu dan kondo NFC merupakan pecah amanah,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Pada 22 Disember lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentuk pasukan siasatan yang diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Mustafar Ali bagi menyiasat skandal itu.

Manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Syed Ismail Syed Azizan juga memberitahu pihak polis telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan semula kertas siasatan mereka kepada peguam negara.

“Dalam erti kata lain, telah banyak siasatan dan peralihan tanggungjawab, tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” ujar Guan Eng.

Menurutnya lagi, Nazri dalam kenyataannya baru-baru ini juga mendedahkan kegagalan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka bagi projek tersebut,yang menunjukkan berlakunya unsur penyelewengan.

“Di negara-negara maju yang komited untuk memerangi rasuah, kegagalan untuk mengadakan tender terbuka adalah sama seperti perbuatan rasuah,” ujar Guan Eng.

Semalam, Nazri yang memegang portfolio undang-undang berkata, NFC melanggar syarat perjanjian pinjaman mudah dan melakukan pecah amanah apabila wang yang disalurkan kepada syarikat itu diguna untuk tujuan lain.

“Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkan kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah.

“Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider. -roketkini



Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Tiada ulasan: