26 Jan 2012

[Video] Ribut Melanda KL & Ipoh

Flat retak tak selamat

KUALA LUMPUR: Seramai 1,500 penduduk terdiri daripada 300 keluarga yang tinggal di blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Kampung Pasir, Pantai Dalam, di sini, dinasihatkan berpindah selepas flat berkenaan dilanda ribut petang, semalam.

Gambar: RUNTUH...bumbung yang runtuh menghempap motosikal di PPR Seri Cempaka, Kampung Pasir, semalam.

Semua keluarga terbabit berlindung sementara di surau dan dewan berhampiran flat berkenaan apabila pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati selain bumbung rosak, terdapat keretakan teruk di dua unit kediaman di tingkat 14 bangunan berkenaan akibat ribut kuat dalam kejadian jam 6.20 petang itu.

Difahamkan, akibat kejadian berkenaan 10 kereta dan lebih 20 motosikal rosak selepas dihempap zink yang diterbangkan angin.

Penghuni blok berkenaan, Halijah Othman, 49, berkata, dia dan beberapa pelanggan di kedainya di hadapan flat berkenaan berlindung di bawah meja selepas angin kuat tiba-tiba menghala ke arah mereka.

“Ketika itu, saya hanya ingat mati kerana angin terlalu kuat,” katanya yang berniaga di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, walaupun kawasan berkenaan pernah dilanda ribut, kejadian kali ini lebih teruk.

Mohd Izwan Abdul Rahman, 24, pula berkata, rumahnya di tingkat 10 bergegar akibat ribut berkenaan.

“Malah, saya juga melihat angin kuat itu membawa bumbung bangunan ini lalu menghempap kereta Isuzu Trooper saya.

“Saya hanya mampu melihat kerana semuanya berlaku terlalu pantas,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati 12 bumbung di tingkat 17 bangunan berkenaan diterbangkan angin.

“Kami akan membersihkan semua zink dan kayu yang rosak di tingkat 17 bagi memastikan keselamatan penduduk. Jika berlaku ribut lagi, ia akan jatuh dan berkemungkinan terkena penghuni,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 7.05 malam dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

“Seramai 24 anggota melakukan operasi pembersihan dengan bantuan tiga jentera,” katanya memberitahu tiada kemalangan jiwa dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Apartmen Teratak Muhibah 1, Taman Desa di Jalan Klang Lama, di sini, turut dipukul ribut dan mengakibatkan kerosakan bumbung namun tiada kecederaan dilaporkan. -HM

Ribut Di Chemor: 18 Rumah Rosak Teruk

IPOH: Sebanyak 18 rumah rosak teruk manakala empat lagi serta sebuah sekolah agama rakyat (SAR) hampir ranap dihempap pokok besar apabila ribut melanda Kampung Ulu Chemor dekat sini hampir dua jam, malam Isnin.

Bumbung sebahagian besar rumah terbabit rosak ekoran angin kencang sehingga diterbangkan dalam kejadian ribut yang bermula pukul 7 malam hingga 9 malam.

Seorang murid SAR al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd Zamri, 12, pula cedera di muka akibat terkena batu yang melayang ketika melarikan diri dalam keadaan hujan lebat selepas bumbung sekolahnya diterbangkan angin.

"Kami berehat dalam bangunan sekolah, tiba-tiba semua bumbung bangunan tercabut dan diterbangkan angin, kami lari lintang-pukang menyelamatkan diri pada itu, dan saya merasakan ada sesuatu terkena muka saya," katanya yang hanya merawat lukanya dengan minyak gamat.

Tidak lama selepas itu, sebatang pokok besar pula tumbang dan menimpa sekolah berkenaan serta empat rumah lain yang berhampiran.

Seorang penduduk, Mohd Nozaini Razali, 58, yang tinggal di kampung itu hampir 40 tahun, menyifatkan kejadian sedemikian pertama kali berlaku.

"Sebelum ini, kampung ini memang selalu dilanda angin kencang dan banjir kilat, tetapi ribut seperti ini belum pernah berlaku. Apabila hujan lebat kira-kira pukul 7 malam kami rasa biasa saja, sehinggalah bila merasakan angin bertambah kencang serta mendengar bunyi dentuman pokok tumbang," katanya.

Mohd Nozaini berkata mereka yang terbabit tidak tidur sepanjang malam kerana membersihkan rumah yang dipenuhi sampah serta air hujan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Datuk Rusnah Kassim berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kira-kira RM50,000 bagi memperbaiki rumah yang rosak dalam kejadian tersebut.

"Sebahagian daripada kos itu, iaitu kira-kira RM30,000 akan dibantu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menerusi dana bantuan bencana alam yang diperuntukkan oleh pejabat berkenaan," katanya sambil menambah pihknya meminta bantuan Jabatan Pertahanan Awam Perak untuk menebang pokok tua yang berisiko menghempap kediaman apabila berlaku ribut.

Beliau berkata pihaknya juga berusaha mencari tempat sesuai untuk dijadikan penempatan sementara keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. - BERNAMA





4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam

Orang Sarawak kata "hari buak" kerana kempen ni " Kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’"

(maaf tak pandai saya nak translate "buak" ni)

Amuraria berkata...

PERINGATAN UNTUK KITA ! JANGAN BERSUBAHAT DENGAN PARTI ARUS JAHILIAH SEKUTU APCO YANG AKAN MENGHANCURKAN KITA DAN NEGARA ! BILA PARA PENYAMUN,PEROMPAK ,PEROGOL DAN PENYELEWENG DIANGKAT MEMIMPIN NEGARA BERSEDIALAH MENERIMA HUKUMAN ALLAH SWT !

Tanpa Nama berkata...

Agaknya ini amaran sebelum pengundi Lembah Pantai mengundi UMNO/APCO.

abu berkata...

muhasabah diri......cari apa kesilapan diri kita