26 Jan 2012

Chua Soi Lek Dibidas Cuba Takutkan Cina

Cuba takutkan Cina: DHPP bidas Soi Lek

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ternyata tidak berasas dan menyimpang jauh dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, terutama membabitkan kaum Cina di negara ini.

Sebaliknya, sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) ternyata semakin merosot berbanding sokongan yang diberikan oleh mereka terhadap Pakatan Rakyat yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Vincent Lee (gambar di atas) menegaskan, bagi PAS sendiri lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP, sokongan kaum Cina terhadap PAS ternyata semakin kuat.

Menurutnya, perkembangan tersebut berlaku ekoran orang-orang Cina di negara ini ternyata semakin faham dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam yang pasti akan memberikan keadilan kepada semua penduduk di negara ini dan ketelusan.

Katanya, dalam masa yang sama, sokongan orang-orang Cina terhadap DAP turut meningkat, sejajar dengan perjuangan parti itu yang juga untuk keadilan dan ketelusan bersama-sama dengan PAS.

"PAS adalah satu-satunya parti di negara ini yang berlandaskan agama iaitu Islam, manakala pada asasnya pula setiap agama memperjuangkan keadilan dan ketelusan.

"Itulah yang menyebabkan orang-orang Cina turut menyokong PAS, lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP yang menjadi jambatan antara PAS dan orang bukan Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Chua Soi Lek ketika membangkitkan isu mengenai undang-undang Islam di negara ini mengatakan bahawa masyarakat Cina kini mula kembali ke pangkuan BN kerana mereka sedar sokongan mereka kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.

“PAS yang akan menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yang akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya seperti yang dilaporkan media semalam.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli sambil menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Vincent, bagi orang-orang Cina di Malaysia sekarang, mereka tidak lagi boleh dipengaruhi dengan kenyataan yang bukan-bukan dari Umno BN yang memburuk-burukkan PAS kerana perjuangan PAS sudah difahami oleh mereka.

"Begitu juga jika mereka menggunakan isu hukum hudud. Ini sudah tidak memberikan sebarang kesan buruk bagi sokongan orang-orang Cina terhadap PAS kerana semua itu sudah difahami dengan jelas oleh orang-orang Cina setelah mereka memahami perjuangan PAS.

"Malah jika isu hukum hudud ditimbulkan, masyarakat Cina pasti akan tahu dengan sendirinya bahawa pilihanraya sudah semakin dekat kerana isu mengenai hukum hudud akan ditimbulkan oleh Umno BN setiap kali menjelang pilihanraya.

"Dengan itu, orang-orang Cina dengan sendirinya akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya dengan memberikan sokongan kepada PAS," jelasnya.

Begitu juga jika ditimbulkan isu kononnya DAP perkudakan PAS, tambahnya, juga tidak akan berhasil kerana orang-orang Cina sendiri tahu realiti sebenarnya dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, setelah gagal mempengaruhi orang-orang Cina dengan isu-isu seperti itu, kini Soi Lek pula membangkitkan perkara itu untuk menghalang sokongan orang Cina terhadap DAP dan PAS, tetapi ia tetap juga tidak berhasil.

"Orang-orang Cina sendiri sudah tahu dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan BN yang tidak terdapat parti yang dominan. Sebaliknya dalam Pakatan Rakyat semua parti mempunyai peranan yang selari," tegasnya.

"Perkara itu tidak berlaku dalam BN kerana Umno yang menjadi parti dominan dalam BN. Jadi jika benar itulah yang menjadi puncanya, Soi Lek kenalah berikan alasannya, bukannya dengan hanya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kenyataan Soi Lek itu hanyalah kenyataan politik dan tidak tepat sama sekali," katanya.

Beliau juga menegaskan, kerjasama erat antara DAP dan PAS sememangnya sudah tidak boleh dinafikan oleh sebarang pihak, malah sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa atau mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13, DAP telah berjanji untuk terus memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dari PAS untuk menjadi Menteri Besar Perak. -HD

Sokongan Cina kepada DAP akan beri PAS kuasa, kata Soi Lek

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membangkitkan isu undang-undang Islam di Malaysia, mengatakan masyarakat Cina mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedar sokongan kepada “DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.”

“PAS menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yag akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

“Jika mereka berkuasa, PAS akan memerintah,” kata Presiden MCA kepada The Malaysian Insider dalam temubual ekslusif minggu lalu.

Dr Chua menegaskan ia adalah fakta dan menafikan ia hanya strategi untuk meraih semula sokongan komuniti Cina pada pilihan raya umum akan datang.

“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS, yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya.

Dr Chua mengingatkan PAS “hari kemenangan” akan berlalu dengan pantas dan mentertawakan sebarang kemungkinan PKR akan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli, menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti itu.

Bekas menteri kesihatan ini berkata PKR berkeyakinan dalam mengetuai barisan pembangkang ke Putrajaya namun ia telah menghadapi masalah dalaman iaitu “pembelot” dari pemimpin penting mereka.

“PKR mungkin satu-satunya parti di dunia yang begitu yakin dapat menawan Putrajaya, satu-satunya parti yang mendakwa akan menang tetapi mempunyai banyak masalah.

“Ia satu-satunya parti yang mempunyai paling ramai ahli meninggalkan parti, 50 pemimpin utama meninggalkan PKR termasuk 12 atau 13 wakil rakyat yang secara terbuka mengatakan mereka kecewa dengan PKR,” kata Dr Chua.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR paling ramai di Parlimen dengan 31 orang, berjaya menawan lima negeri dan memperoleh 83 kerusi Parlimen bersama Pakatan Rakyat.

Namun PKR berdepan dengan satu persatu “pembelot” dalam parti itu selepas pilihan raya umum 2008.

Kemudian PKR gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil sebelum enam ahli Parlimen mereka berindak keluar parti dan kini menyebabkan DAP mempunyai jumlah yang paling besar di Parlimen dengan 28 orang.

Untuk mengelakkan kejadian sama berulang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan meletakkan 40 peratus calon baru dengan membariskan profesional dan aktivis.
-TMI


1 ulasan:

Man Taji berkata...

Umno kata PAS kuda tunggangan DAP
MCA pulak kata DAP kuda tunggangan PAS

Aku kata pulak, UMNO & MCA dua2 sama saja......"OTAK PURNO"

ha..ha..ha..