5 Jan 2012

Kini Sudah Ada Pengakuan: "FRU diarah 'tembak' walau nampak hospital"

Seorang ketua operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkata, beliau telah diarahkan untuk menembak meriam air ke arah peserta perhimpunan BERSIH 2.0 walau mengetahui bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan hospital.

Saksi berkenaan, ASP Ahmad Halimi Hamidi berkata beliau terlebih dahulu telah melihat bahawa kawasan itu merupakan kawasan Hospital Tung Shin dan telah memberitahu perkara itu kepada pegawai medannya, seorang yang dikenali sebagai ASP Karthik.

"Saya nampak jelas ada hospital sebab saya berada di atas kenderaan," katanya lagi katanya ketika ditanya hari ini dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tindakan pasukan tersebut.

Beliau yang berada di atas satu kenderaan FRU yang mengetuai operasi tersebut pada ketika itu berkata, pegawai yang dikenali sebagai Karthik itu tetap mengarahkan supaya tembakan meriam air dilepaskan.

"Saya kemudiannya arah meriam air tembak ke arah peserta," katanya lagi yang menambah kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai selepas tembakan air tersebut dilepaskan.

Ditanya lanjut sama ada FRU akan menembak peserta perhimpunan di dalam hospital, Ahmad Halimi sekadar berkata, setiap unit polis itu mempunyai prosedur standard masing-masing, termasuklah unit meriam air.

Ditanya lanjut, beliau tidak mengetahui siapakah anggota yang bertanggungjawab menembak gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan BERSIH yang berlindung di kawasan hospital itu.

Tambahnya, beliau tidak mengenali anggota berkenaan dan beliau hanya ditugaskan untuk mengetuai pasukan daripada unit berbeza tersebut hari tersebut.

Jelasnya, kesemua unit yang bertugas pada hari berkenaan, termasuk Unit Tindakan Ringan dan Pasukan Gerak Am dilengkapi peralatan gas pemedih mata.

Tambahnya, beliau tidak dapat memastikan sekiranya kanister gas yang digunakan oleh anggota unit berkenaan memasuki kawasan hospital.

"Sebab (peserta perhimpunan) boleh ambil dan baling (kanister yang ditembak) ke dalam hospital,"

Beliau juga tidak melihat tindakan anggota berkenaan ketika tembakan itu dilepaskan, katanya lagi ketika ditanya oleh anggota panel inkuiri.

Siasatan ke atas saksi berkenaan hari ini adalah untuk menyiasat dakwaan bahawa polis telah menembak gas pemedih mata dan juga meriam air ke arah peserta yang berlindung di hospital berkenaan.

Inkuiri hari ini dijalankan di hadapan anggota panel Suhakam -- Suhakam, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, Detta Samen dan Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid. -malaysiakini



Ulasan GB

Apa yang GB katakan dahulu adalah BENAR, bahawa polis telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar mengenai insiden Hospital Tung Shin.

Dahulu, begini kenyataan polis:

Pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh menafikan dakwaan bahawa polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam perkarangan Hospital Tung Sin di sepanjang Jalan Pudu.

Beliau juga mempertahankan tindakan pegawainya dalam menggunakan "kekerasan yang munasabah" untuk menyuraikan penunjuk perasaan, sambil berkata orang ramai melakukan memprovokasi terhadap polis.

"... Tidak ada gas pemedih mata yang dilemparkan. Saya nampak semuanya, saya ada di sana," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Kuala Lumpur.


Sekarang sudah ada pengakuan seperti dilaporkan di atas:

...pegawai yang dikenali sebagai Karthik itu tetap mengarahkan supaya tembakan meriam air dilepaskan.

"Saya kemudiannya arah meriam air tembak ke arah peserta," katanya lagi yang menambah kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai selepas tembakan air tersebut dilepaskan.


Jadi di dalam banyak keadaan seperti isu BERSIH, isu NFC dan terbaru isu UPSI, kenyataan-kenyataan polis boleh menyebabkan rakyat mencurigai kenyataan-kenyataan itu. Polis tidak boleh menyalahkan rakyat, tidak boleh menyalahkan blogger, tidak boleh menuduh ia sebagai FITNAH, kerana akhirnya hukum kebenaran mendedahkan bahawa apa yang dinyatakan oleh rakyat akhirnya itu adalah BENAR.

Kita meminta agar polis bersikap rasional dan profesional selepas ini. Bersikap tidak berpihak, tidak bias dan tidak cepat menafikan perbuatan salahlaku para anggotanya agar integriti dan kredibiliti polis terus terpelihara. Dan rakyat akan lebih menghormati institusi polis jika polis bertindak adil, rasional dan professional. Jika tidak, tanggung sendiri jika kredibiliti dan integritimu hancur.

Laporan Dahulu
klik untuk baca




4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sekarang kita nak tunggu Najib ngaku ke tidak,terlibat dlm pembunuhan Altantuya..Polis Perak ngaku ke tidak berkasar dgn Mahasiswa di depan UPSI..hehe

Tanpa Nama berkata...

dulu kata tidak sekarang kata ya...apa ke jadahnya ni.Agensi ini boleh percaya ke?..cakap berbelit macam ular sawa.
Janganlah nak jadikan orang lembu. cukup kalian saja jadi lembu umno.

Tanpa Nama berkata...

cakap berbelit lidah biawak

Tanpa Nama berkata...

Allah yang berkuasa membalik-balikkan hati manusia.Lama-kelamaan kebenaran akan terserlah jua.Yang batil tetap akan hancur.Ini janji Allah.Peringatan buat pencacai-pencacai upahan UMNO.