24 Dis 2011

Banyak Pihak Kecam LPF Tunduk Kepada Pengeluar Filem

PAS kesal dengan langkah LPF

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS amat kesal dengan langkah Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak penerbit dan pengarah sepenuhnya dalam urusan penapisan filem di negara ini.

Tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan sekadar memperlihatkan sikap lembaga itu yang ingin lari dari melaksanakan tugas pentingnya, tetapi diyakini akan mendatangkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, penapisan filem merupakan satu perkara amat penting yang sepatutnya mesti dilaksanakan oleh sebuah agensi kerajaan yang berwibawa.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dengan baik, tetapi langkah terbaru LPF untuk tidak lagi melakukan kerja-kerja itu mulai tahun depan jelas menunjukkan badan tersebut atau pihak kerajaan hanya memandang mudah perkara itu.

Katanya, langkah terbaru LPF itu pasti menimbulkan kehairanan kepada pelbagai pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan pihak kerajaan tidak peka dengan tanggungjawabnya sendiri.

"Dengan melepaskan tanggungjawab itu dibimbangi akan lebih memburukkan keadaan apabila filem-filem yang mengandungi adegan-adegan yang sepatutnya dipotong turut ditonton oleh orang ramai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Meletakkan tanggungjawab menapis hanya kepada pihak penerbit filem dan pengarah, menurutnya, pasti akan menimbulkan pelbagai risiko bagi perlaksanaan tanggungjawab moral kerana mereka mempunyai tanggapan tersendiri terhadap sesebuah filem yang dihasilkan oleh mereka.

Begitu juga dengan adegan-adegan yang terdapat di dalam filem yang mereka hasilkan itu kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri meskipun tidak disenangi pihak lain.

"Disebabkan perkara itu, dapatkah pihak penerbit dan pengarah itu sendiri yang diharapkan memainkan peranan itu dengan baik, apatah lagi jika mereka itu bukan beragama Islam?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Beliau yakin tindakan LPF itu bukan akan membantu mengatasi masalah gejala sosial di negara ini, malah akan mempertingkatkannya, ekoran filem-filem yang akan ditayangkan di negara ini nanti lebih banyak mempunyai adegan yang berunsur negatif.

"Ini tidak terkecuali sama ada filem-filem tempatan dan dari luar negara yang dibawa masuk ke negara ini kerana bagi filem-filem dari luar negara, tanggungjawab itu juga akan diserahkan kepada mereka yang membawa masuk filem-filem itu sendiri," ujarnya.

Jika sebelum ini di bawah tanggungjawab agensi itu sendiri pernah berlaku adegan-adegan yang sepatutnya dipotong tidak juga dipotong sehingga turut ditayangkan kepada umum, kejadian seperti itu diyakini lebih berleluasa setelah LPF mengambil langkah itu.

Pada hal di bawah tanggungjawab LPF, kejadian itu diyakini berlaku kerana masalah-masalah tertentu yang mungkin tidak disengajakan atau terlepas pandang.

"Dengan langkah baru LPF itu nanti, jika berlaku pasti bukan lagi masalah terlepas pandang, tetapi disengajakan oleh pihak penerbit dan pengarah ekoran perbezaan anutan agama, budaya dan tahap tanggungjawab moral di kalangan mereka," tambahnya.

Untuk mengimbangi langkah itu, pihak LPF digesa mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada pihak penerbit, pengarah dan mereka yang terbabit dalam urusan membawa masuk filem-filem dari luar negara ke negara ini.

Katanya, menerusi garis panduan itu, pihak LPF mestilah menyatakan dengan jelas tentang filem-filem dan adegan-adegan yang tidak boleh ditayangkan di negara ini agar masing-masing dapat mengelakkan dari memasukkan unsur-unsur negatif ke dalam filem masing-masing.

Beliau turut menyarankan LPF agar menguatkuasakan undang-undang berhubung perkara itu untuk dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhinya agar mereka tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab moral.

"Hanya dengan itu yang dapat diharapkan agar filem-filem yang dihasilkan dan ditayangkan di negara ini bebas dari unsur-unsur negatif termasuk unsur lucah, mempersendakan Islam, jenayah dan sebagainya," ujar beliau. -HD

MBM khuatir LPF dihapuskan


KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melahirkan kekhuatiran terhadap langkah kerajaan membenarkan penggiat filem menapis sendiri filem mereka dan bukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) mulai tahun depan akan membawa mudarat kepada golongan belia.

Presiden MBM, cberkata, ini kerana penggiat filem dilihat cenderung menggunakan elemen tarikan negatif bagi melariskan filem mereka dan penapisan oleh penggiat filem juga dikhuatiri tidak mempunyai keberkesanan yang tinggi bagi memastikan elemen itu tidak mempengaruhi belia di negara ini.

"Belia sekarang sudah dilimpahi elemen negatif daripada media baru di internet yang sukar kita selesaikan, sekarang kita hendak tambah elemen negative daripada filem.

"Tindakan ini (penapisan oleh penggiat filem) mengancam kita daripada segala segi. Kita perlukan badan yang 'credible' seperti LPF untuk pastikan filem disiarkan sesuai untuk kita," katanya.

Rabu lepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam mengumumkan berkuatkuasa tahun depan semua penggiat filem di negara ini dibenar melakukan pengawal seliaan dan penapisan sendiri terhadap filem atau drama dihasilkan.

Semalam Setiausaha Agung Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim berkata PFM mampu menjadi badan yang menentukan rating kesesuaian tontonan sesebuah filem berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki persatuan itu.

Mohamed Maliki berkata selain bebas elemen negatif, filem yang disiarkan juga perlu sesuai dengan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi memupuk semangat 1Malaysia di kalangan belia.

"Proses penyesuaian perlu dilakukan kepada sesebuah filem bagi memastikan filem itu sesuai untuk memajukan minda belia kita dan supaya filem itu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.

Ditanya adakah penapisan oleh penggiat filem itu dapat memberi kebebasan kepada pengembangan pemikiran masyarakat terutamanya golongan belia, beliau berkata pendapat itu merupakan pendapat dangkal sesetengah pihak.

"Elemen negatif tidak mungkin dapat mengembangkan pemikiran belia, kita harap pihak yang berkaitan jangan lepaskan tanggungjawab mereka. Lakukan yang terbaik demi generasi akan datang," katanya. -bernama



Tiada penapisan filem oleh LPF bermula 2012


SHAH ALAM - Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam (gambar) berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.

Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

“Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil iktibar dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan untuk memasukkan adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala masalah yang timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka sendiri perlu menilai cita rasa penonton di negara ini,” katanya.

Menurut Mahmood, kementerian juga akan memainkan peranan untuk memberikan penerangan kepada penonton terhadap sesebuah filem mengikut genre masing-masing.

“Antara langkah yang akan diambil kementerian ialah meletakkan keterangan mengenai sesebuah filem di skrin pawagam sebelum ia ditayangkan.

“Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat jangan lupa jika ada filem barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan akidah atau agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau tidak,” katanya.

Sementara itu katanya, mana-mana filem yang telah menjalani proses penapisan LPF sebelum ini boleh memohon semula untuk mendapatkan kelulusan bagi ditayangkan tanpa sebarang tapisan.

“Ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit filem terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat sebelum ia dibenarkan untuk tayangan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, kementerian akan memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk filem terbabit untuk mendapat penjelasan. -SH

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lembaga Penapis Filem menjadi kambing hitam..
xde gunanya ada akta penapis filem pasnie..
hanya jadi syarat dan hiasan je...

Tanpa Nama berkata...

nak tutup lpf?

Tanpa Nama berkata...

Bagus Dr Mariah. Saya sokong sangat2

Tanpa Nama berkata...

Buat apa bayar gaji buta kpd pegawai/kakitangan LPF kalau tak buat kerja. Lebih baik tutup saja LPF.