24 Dis 2011

Gadis Dihanyut Tsunami Pulang 7 Tahun Kemudian

Acheh: Tujuh tahun selepas dihanyutkan ke laut dan disangka sudah mati, seorang mangsa tsunami Aceh yang berusia 15 tahun muncul di kampung halamannya dan disatukan semula dengan ibu bapanya.

Gadis bernama Wati itu dilaporkan disentap daripada genggaman ibunya ketika tsunami sehari selepas sambutan Krismas pada 2004 dan dikhuatiri lemas. Namun kelmarin rakan kepada datuk gadis itu, Ibrahim, menemuinya duduk bersendirian di sebuah kedai kopi dan membawanya pulang ke rumahnya di bandar Meulaboh.

Apabila ditanya, Wati berkata dia datang dengan menaiki bas dari Banda Aceh dan cuba mencari jalan pulang ke rumah tetapi tidak tahu caranya, menurut laporan portal berita The Telegraph semalam.

Gadis itu berkata, dia tidak dapat mengingati nama saudara maranya kecuali Ibrahim, membuatkan datuknya itu terfikir yang Wati mungkin cucunya yang sudah lama hilang.

Dia segera menghubungi ibu bapa gadis itu, Yusniar dan Yusuf, yang mengesahkan bahawa Wati adalah anak perempuan mereka berdasarkan tahi lalat dan parut kecil pada sikunya, menurut laporan itu.

Apa yang berlaku kepada Wati dalam tempoh tujuh tahun itu tidak jelas.

Kira-kira 168,000 orang terkorban dalam bencana itu di Indonesia manakala angka korban di seluruh dunia ialah 230,000 orang. - BERNAMA

Temu ibu lepas 7 tahun terpisah


Gambar: YUSNIAR memerhatikan Wati yang sedang tidur selepas menemuinya semula, semalam.

BANDA ACEH (Indonesia): Seorang remaja perempuan yang dihanyutkan tsunami Lautan Hindi tujuh tahun lalu, semalam berkata, dia menangis selepas mendapati ibu bapanya yang sudah putus harapan untuk menemuinya masih hidup lagi.

Wati, 15, yang muncul di sebuah kafe di Meulaboh, bandar di wilayah Aceh, awal minggu ini berkata, tidak lama selepas ombak tsunami melanda, dia ditemui dan diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita yang memaksanya mengemis di jalanan, kadangkala hingga jam 1 pagi.

Apabila dia berhenti mendapatkan wang, Wati dihalau keluar oleh wanita itu. Dia kemudian memutuskan untuk mencari keluarganya, tetapi hanya mempunyai sedikit maklumat untuk dijadikan panduan, hanya nama datuknya, Ibrahim.


Seseorang di kafe itu membantu Wati mencari lelaki yang bernama Ibrahim tetapi lelaki yang ditemui itu tidak pasti adakah Wati benar-benar cucunya dan segera memaklumkan ibu bapa remaja itu.

“Apabila saya melihat ibu, saya tahu itu adalah ibu saya. Saya hanya merasakannya,” kata Wati yang diberikan nama itu oleh wanita yang menemuinya. Nama sebenarnya adalah Meri Yuranda.

Kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 dan membunuh 230,000 orang di beberapa negara. Aceh paling teruk kerana ia terletak berhampiran pusat gempa berukuran 9.1 magnitud hingga mengakibatkan ombak besar setinggi 10 meter. Dengan puluhan ribu mayat yang tidak ditemui di wilayah itu, kebanyakan penduduk masih berharap dapat berjumpa dengan orang tersayang dengan meletakkan risalah atau iklan di akhbar.

Bagaimanapun, pertemuan semula amat jarang terjadi dan jika berlaku pun jarang dapat disahkan.

Ibu Wati, Yusniar binti Ibrahim Nur, 35, berkata, dia tidak memerlukan ujian DNA bagi membuktikan remaja itu adalah anaknya.

“Dia mempunyai wajah bapanya,” katanya sambil menambah dia sudah tidak percaya akan menemui semula anak perempuannya.

“Kemudian saya nampak parut di mata dan tahi lalat di pinggangnya yang membuatkan saya bertambah yakin,” katanya. Wati dan bapanya mempunyai kisah berbeza mengenai apa yang berlaku pada hari kejadian tsunami melanda. - AP


2 ulasan:

Yong berkata...

Kuasa Allah. Yong teringin jumpa budak ni.

Tanpa Nama berkata...

Syabas Yong. Apa lagi . Pi le Acheh. Bukan jauh pun. Tambang Air Asia pun tak mahal. Nanti Yong boleh citerkan pengalaman Yong pada kami semua.