10 Dis 2011

Lagi Kes Gadis Hamil Tipu Ibubapanya Kata Dirinya Diculik

Remaja hamil rancang culik

SHAH ALAM – Perbuatan seorang remaja yang tergamak mempermainkan perasaan ibu bapanya dengan mendakwa diculik terbongkar selepas dia ditahan bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Taman Danau Kota, baru-baru ini. Gambar fail.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ibu kepada remaja berusia 19 tahun itu membuat laporan polis selepas mendengar jeritan kecemasan anaknya di dalam telefon.

Bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal, remaja itu disyaki merancang penculikan sendiri dan dia sebenarnya melarikan diri bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya, berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoren.

Mohd Adnan berkata, berdasarkan susuk tubuh, gadis itu dipercayai hamil bagaimanapun polis masih menunggu laporan perubatan terhadapnya.

Dalam pada itu Mohd Adnan berkata, masalah keluarga dipercayai punca remaja tersebut merancang penculikan sendiri itu. -SH

Jangan Buat Laporan Palsu Selesai Masalah Peribadi:Polis

SHAH ALAM: Polis memberi amaran supaya orang ramai tidak membuat laporan dan mereka-reka cerita apabila berdepan dengan masalah peribadi kerana ia hanya mengganggu tugas pihak berkuasa menangani kes-kes jenayah lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata apabila menerima laporan umpamanya mengenai culik, polis perlu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha memastikan mangsa dapat diselamatkan.

"Namun jika laporan itu hanya laporan palsu dan direka-reka, ia mengganggu tugas harian polis," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat ketika mengulas kejadian seorang gadis pelajar sebuah kolej swasta mendakwa diculik padahal dia tinggal bersembunyi bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Danau Kota di Kuala Lumpur.

Mohd Adnan berkata dalam kes berkenaan gadis berusia 19 tahun itu ditemui bersama teman lelakinya berusia 23 tahun yang ditahan pada Selasa lepas bagi membantu siasatan.

"Polis menerima laporan daripada ibu gadis itu pada 14 November lepas yang mendakwa anaknya diculik di mana beberapa barangan peribadi termasuk dompet dan telefon bimbit mangsa ditemui di tepi jalan. Namun, siasatan mendapati mangsa bukan diculik tetapi mengada-adakan cerita seolah-olah dia diculik.

"Berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai hamil namun kita masih menunggu laporan perubatan," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan: