11 Dis 2011

Lagi Banyak Wang Diberi Kepada SPRM, Lagi Banyak Rasuah Dirasakan Berlaku…

Kuala Lumpur – Apabila lebih besar peruntukan dan lebih ramai kakitangan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, nampaknya negara menjadi lebih korup.

Di mana perginya peruntukan berbilion ringgit yang diberikan oleh kerajaan, hasil kutipan wang cukai rakyat dan hasil sumber negara, kepada SPRM, dan sebelum itu Badan Pencegah Rasuah, sejak 1994?

Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sempena Hari Anti-Rasuah Antarbangsa pada hari ini.

Peruntukan kewangan tahunan untuk BPR/SPRM (RM)












































































TahunPeruntukan
199428.6 juta
199529.9 juta
199629.5 juta
199732.4 juta
199832.2 juta
199928.2 juta
200041.8 juta
200263.8 juta
200367.7 juta
200470.4 juta
200576.4 juta
200699.1 juta
2007148.1 juta
2008146.7 juta
2009162.1 juta
2010156.8 juta
2011211.2 juta


Menurut Kit Siang, apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada April 2009, beliau mengumumkan Pelan Transformasi 1Malaysia, termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu memberi keutamaan kepada usaha membasmi rasuah sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau menjelaskan bahawa ‘kejayaan besar’ pentadbiran Najib amat mengecewakan rakyat kerana:

Menduduki tangga paling buruk dalam sejarah kedudukan Indeks Persepsi Korupsi (CPI) yang dianjurkan oleh Transparency International (TI) dalam tempoh 17 tahun, iaitu di tangga ke-60 daripada 183 negara dengan markah 4.3 daripada 10 mata penuh;

Kegagalan teruk SPRM, yang menggantikan BPA pada 2009, dalam usaha membasmi rasuah walau pun telah diberi peruntukan tahunan yang besar;

Terhakisnya imej wibawa SPRM dengan dua kematian misteri di premis SPRM – Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan Ahmad Sarbaini Mohamed pada April 2011;

Hanya empat ahli politik ditahan atas tuduhan rasuah pada 2010 berbanding 23 orang pada 2009.

“Apa yang telah terjadi kepada Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan pada 2004 yang bermatlamat mahu meletakkan Malaysia menduduki sekurang-kurangnya di tangga ke-30 dalam CPI T dengan markah 6.5 menjelang 2008?

“Parlimen telah meluluskan peruntukan RM202.2 juta kepada SPRM pada 2011 dan apa yang mampu ditunjukkannya? Kedudukan negara paling teruk dalam CPI TI,” kata Kit Siang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu Najib menjelaskan kepada rakyat tentang fenomena ganjil ini yang menyebabkan kerajaan beliau dilihat sebagai yang paling korup dalam sejarah Malaysia berbanding zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Najib masih berdiam diri dengan pendedahan CPI TI itu kerana sudah diketahui umum jika kedudukan Malaysia lebih baik, tentu Perdana Menteri akan berkokok berderai-derai melalui media massa yang dikuasai kerajaan Barisan Nasional.

Katanya Najib dan kabinetnya serta SPRM perlu menjelaskan kepada rakyat, mengapa selepas mendapat peruntukan yang begitu besar termasuk untuk tahun 2021 dengan RM211.2 juta, tidak ada hasil yang boleh dibanggakan sama sekali.

Malah, menurutnya, kedudukan Malaysia dalam menangani rasuah kini sedang disaingi oleh negara-negara yang sebelum ini turut bermasalah dalam korupsi seperti negara-negara Asia yang lain, negara-negara Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) dan negara-negara benua Afrika.

Semua ini menunjukkan usaha membanteras rasuah melalui NKRA Najib sejak 32 bulan lalu telah gagal dan rakyat perlu membuat perubahan untuk mengatasi masalah itu, tambahnya. – Roketkini

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selagi jerung dan buaya tidak dihadapkan ke mahkamah, selagi itu rasuah tidak dapat dibanteras. Wang dan masa SPRM terbuang begitu sahaja,

Tanpa Nama berkata...

Pejabat sprm kota bharu besar tapi takdak taring. Patut pejabat tu jadi pejabat datuk tuan guru mb.

Tanpa Nama berkata...

nak hapus rasuah kena hapuskan pemerintahan UMNO ganti dengan pemerintah yang benar-benar beriman

Tanpa Nama berkata...

Ingat pepatah Cina "Ikan mula busuk dari kepalanya".Selagi dilaksanakan sistem "pendawaan berpilih" oleh Gani Patail,selagi itulah korupsi akan terus bermaharajalela dinegara ini.