2 Nov 2011

Terengganu Dilanda Ribut, Ombak Besar

Kuala Terengganu: Permulaan musim tengkujuh dan jangkaan banjir besar di Pantai Timur semakin terasa dengan hujan berterusan dan ribut menyebabkan pokok tumbang, manakala ombak besar menghakis pantai hingga merobohkan jalan dan wakaf, termasuk di Tok Jembal di sini.

Gambar: MOHD Syafiq (kanan) dan Alias terkejut melihat wakaf terbalik dipukul ombak dan beberapa pokok rhu tumbang akibat ombak besar tengah malam semalam di pantai peranginan Tok Jembal, Gong Badak, Terengganu.

Ombak besar di pantai Tok Jembal kelmarin menyebabkan satu daripada wakaf di pantai peranginan itu runtuh dihakis ombak, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kemungkinan kerosakan lebih besar.

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Syafiq Mohd Khairuddin, 20, berkata sehari sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan berkunjung ke pantai yang terletak berhampiran institusi pengajian itu untuk berehat sambil mengulang kaji pelajaran.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati wakaf itu sudah tumbang menyembah bumi dihakis ombak, petang kelmarin.

Pelajar Jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi berkata, hakisan itu begitu cepat kerana sebelum ini jarak pantai dengan wakaf sejauh kira-kira 20 meter.

“Keadaan amat menakutkan dan kami bimbang kemudahan di pantai ini lenyap ditelan ombak sekiranya tiada tindakan menghalang ombak daripada terus menghakis kawasan itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, tiga kereta dan sebuah motosikal remuk apabila pokok mangga dipercayai berusia lebih 30 tahun tumbang menghempap kenderaan itu serta tiang elektrik di Jalan Tok Lam, semalam.

Saksi, Ahmad Idhan Muda, 35, berkata pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman kuat di depan kedai membabitkan kemalangan, apabila meluru keluar terperanjat melihat kenderaan terbabit dihempap pokok.

Katanya, ketika kejadian pada jam kira-kira 2.30 petang itu, dia dan rakan sekerja berada dalam premis dikejutkan bunyi kuat sehingga bekalan elektrik bangunan itu terputus.

“Syukurlah tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika pokok itu tumbang tiada penumpang dalam kenderaan,” katanya, semalam.

Pemilik kereta Proton Saga, Rohayu Awang, 30, berkata dia meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bagi menghantar bapanya yang mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran tempat kejadian pada jam 2.10 petang.

“Saya sedih tapi bersyukur ketika kejadian anak-anak tiada dalam kereta, jika tidak saya tak tahu apa akan terjadi,” katanya. -BH

3 kenderaan dihempap pokok, tiang elektrik

KUALA TERENGGANU: “Saya tergamam melihat pokok mangga dan tiang elektrik tiba-tiba tumbang sebelum menghempap kereta saya dan dua kenderaan lain serta sebuah motosikal,” kata Rohayu Awang, 30, pemilik Proton Saga yang rosak teruk dalam kejadian pokok tumbang di sini, semalam.

Kejadian mengejut pada jam 3.25 petang itu turut memusnahkan tiga kenderaan lain iaitu Naza Citra dan van Nissan Vanette serta sebuah motosikal Yamaha SS100 yang diletak di tepi Jalan Tok Lam di sini, apabila dihempap sebatang pokok dan tiang elektrik di kawasan berkenaan.

Rohayu berkata, kereta itu milik bapanya yang baru dibeli awal Februari lalu dan ketika kejadian dia ke klinik berhampiran untuk menjemput bapanya yang menjalani rawatan kencing manis kira-kira jam 2.10 petang.

“Nasib baik kejadian berlaku sebelum saya sempat masuk semula ke kereta,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang, Marang.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca baik dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Rozairi Abdul Rahman yang dihubungi semalam, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan menasihatkan orang ramai tidak meletakkan kenderaan mereka berhampiran pokok bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tok jembal tu projek besarkan lapangan terbang banyak duit dah terbang kat situ maksiat pun boleh tahan jadi sendiri fikir fikirlah

Tanpa Nama berkata...

Ombak besar akan akan lebih meriahlah Moonsun Cup.