1 Nov 2011

Majlis Fatwa Kebangsaan Digesa Halang Program Seksualiti Merdeka

Majlis Fatwa Kebangsaan digesa supaya mengeluarkan fatwa bagi melarang penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang bertujuan bagi mempromosikan kesamarataan antara jantina dan hubungan sejenis.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertindak serta merta bagi menangani aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia.

"Program sebegini begitu asing dengan budaya timur dan negara kita sendiri. Bagi saya sendiri...semua agama, semua tamadun, semua etika tidak bersetuju dalam hal hubungan sejenis," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Program Seksualiti Merdeka 2011 yang dijadual diadakan di The Annexe Gallery bermula 9 hingga 13 November ini dijangka dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) , Datuk S. Ambiga.

Melalui program tahunan berkenaan, gerakan tersebut mengadakan beberapa aktiviti bagi menarik sokongan masyarakat serta menguar-uarkan kewujudan mereka dalam komuniti.

Dalam pada itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS akan membincangkan secara serius mengenai perkara tersebut yang jelas bertentangan dengan akidah umat Islam.

"PAS akan membincangkan tentang perkara ini dalam mesyuarat tertinggi parti dalam masa terdekat. Kita akan keluarkan pendirian rasmi selepas itu," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mengkritik sekeras-keras penganjuran program ini yang jelas menyalahgunakan nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Katanya lagi, jika program sebegini dibenarkan berlangsung di negara ini, ia dibimbangi akan menyebabkan keadaan kucar-kacir apabila banyak kelompok lain yang mahukan perkara serupa diadakan.

“Ini baru satu, jika ada lagi orang lain yang minta perkara pelik-pelik contohnya mahu kahwin dengan kura-kura atau lembu bagaimana? ini hak mereka, jadi di mana perkara ini harus berhenti.

“Mana-mana negara walaupun menggunakan nama hak asasi, ia tidak boleh terbuka terus. Negara kita ini berasaskan Islam dan kita ada undang-undang. Agama kita melarang malah mana-mana agama pun melarang hubungan sejenis, saya berpegang kepada itu,” katanya. -mstar

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa kerajaan umno berdiam saja dlm hal ni..bukankah kuasa di tangan mereka?

Tanpa Nama berkata...

Majlis Fatwa? Tak pernah dengar pun ujudnya Majlis Fatwa.Apa fungsinya Majlis Fatwa ni? Menggubah lagu "Fatwa Pujangga" ke?

Tanpa Nama berkata...

Saya tunggu apakah reaksi Hassan Ali.
Akhir-akhir ini beliau cuba mempromosikan diri sebagai watak utama dalam membela kesucian Islam.

Bagaimana dengan isu ini.Kalbunya tidak tersentuhkah?.Atau Hassan Ali hanya memilih akan isu-isu terpilih demi kepentingan peribadi.

Ayuh Hassan Ali,kami mencabar kewibawaan mu !