4 Nov 2011

[Kantoi] Lelaki Temui Bayi Dikatakan Adalah Bapa Bayi Itu Sendiri

Hidung dedah rahsia

SEGAMAT: Pada 26 Ogos lalu, seorang lelaki mendakwa menemui seorang bayi ditinggalkan di depan sebuah pasar raya di bandar ini dan Selasa lalu, dia ditahan selepas siasatan polis mendapati suspek adalah bapa bayi malang itu.

Tindakan bijak pegawai penyiasat kes yang meminta lelaki berusia 21 tahun itu untuk menyerahkan sampel asid deoxyribonucleic (DNA) selepas mendapati hidung bayi serta lelaki terbabit serupa akhirnya berjaya membongkar penipuan berkenaan.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, hasil ujian DNA dilakukan Jabatan Kimia diperoleh pihaknya Selasa lalu, suspek terus ditahan di kediamannya di Felda Selancar untuk membantu siasatan.

“Kami menahan suspek yang bekerja sendiri pada jam 10 pagi, dia tidak mengakui melakukan kegiatan terkutuk itu, tetapi keputusan DNA membuktikan sebaliknya.

“Kami berhempas pulas menyelesaikan kes ini kerana tidak puas hati dengan sikap mereka yang membuang bayi, syukur kerana tindakan bijak pegawai penyiasat dibantu dengan pegawai juga anggota lain berjaya membongkar penipuan itu,” katanya, semalam.

Pada masa sama, menurut Majid, pihaknya turut menahan teman wanita suspek yang berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Genuang, kerana disyaki melahirkan bayi perempuan berkenaan.

Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengaku melahirkan serta membuang bayi itu di depan pasar raya berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 kerana membuang bayi, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, pada tarikh berkenaan, seorang lelaki mendakwa menemui bayi di dalam kotak diletakkan di depan pasar raya berkenaan pada jam 5 pagi ketika mahu bersahur.

Lelaki berkenaan kemudiannya mendakwa membawa pulang bayi itu ke kediamannya untuk dibersihkan dan diberikan pakaian baru sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Bayi itu kini ditempatkan di pusat jagaan Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang untuk tempoh dua tahun sementara menunggu tindakan susulan. -hm


LAPORAN SEBELUM INI

Tangisan bayi dalam kotak

SEGAMAT: Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersahur terkejut apabila terdengar tangisan sebelum menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam kotak di depan sebuah pasar raya di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohammad Taufik Kamaruddin, 21, dari Felda Selancar sedang memandu kereta apabila terdengar suara tangisan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata cuaca dingin menyebabkan Taufik menurunkan tingkap di sebelah pemandu dan tidak memasang pendingin udara kereta itu.

“Setibanya di lokasi kejadian, Taufik yang memandu perlahan terdengar tangisan bayi lalu memberhentikan keretanya.

“Dia terlihat sebuah kotak di depan pasar raya berkenaan sebelum mendapati ada bayi perempuan di dalamnya yang masih bertali pusat selain tidak berpakaian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Menurut Anuar, Taufik membawa bayi berkenaan pulang ke kediamannya untuk dibersihkan dan dipakaikan baju.

Anuar berkata, Taufik tidak menghantar terus bayi ke hospital atau membuat laporan polis kerana bimbang dituduh membuang bayi berkenaan sebaliknya dia pergi ke IPD Segamat bersama bayi berkenaan untuk membuat laporan polis pada jam 7 pagi.

“Siasatan awal mendapati bayi berkulit sawo matang itu dipercayai Melayu dan seberat 2.7 kilogram,” katanya.

Bayi itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Segamat untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. -HM 26/08/2011


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hehehe joker of the year..

ni mesti dilema antara berani, takut dan kesian :)

Tanpa Nama berkata...

ok la tu, dia tak campak bayi tu kat semak atau longkang dah kira baik. kalau tak satu lagi nyawa tak berdosa melayang.

dia kena tahan sebab menipu je..

AzMiR

Unknown berkata...

Alamak!!! Hidung same daa..kantoi tokkkk..wkwkwk..