6 Nov 2011

Harga Barang Basah Naik Mendadak Ekoran Banjir Di Thailand

Alor Setar - Harga barang keperluan harian, terutamanya barang basah, di negeri ini seperti ikan dan sayuran naik mendadak didakwa berpunca daripada banjir besar yang melanda Thailand sejak Oktober lalu.

Kebanyakan peniaga memberi alasan pemborong terpaksa menaikkan harga kerana Thailand merupakan pengeksport utama barangan berkenaan ke negara ini.

Seorang peniaga, Mohd. Zakuan Nasir, 25, berkata, dia terpaksa menaikkan harga barangan walaupun menerima rungutan daripada pembeli.

"Kerana banjir di Thailand, harga cili merah naik mendadak. Kalau dulu sekilogram cili merah kami jual antara RM8 hingga RM10 tapi bila berlaku banjir, harga itu meningkat kepada RM15 sekilogram," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.

Harga sayur sawi di pasar berkenaan bagi setiap sekilogram adalah RM3.50 berbanding sebelum ini RM2.50, tomato RM5 (RM4), limau nipis RM5 (RM3), kacang bendi RM3 (RM1.50) dan timun RM3.50 (RM2).

Seorang lagi peniaga, Abdul Salim Sheikh Mohamand, 52, pula berkata, peniaga juga terpaksa menaikkan harga ikan kerana bekalan ikan semakin berkurangan disebabkan ketiadaan bekalan ikan dari Thailand.

"Keadaan sekarang ini sedikit gawat kerana bekalan ikan kurang, sebab itu harga naik. Kalau ikan banyak, harga akan murah," kata Abdul Salim.

Bagi harga ikan pula, bawal dijual RM6 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini, bawal hitam RM25 (RM22), jenahak RM30 (RM25), siakap RM25 (RM22) dan selayang RM8 (RM6).

Sementara itu, di Kuala Terengganu, bekalan minyak sawit di daerah ini didapati berkurangan sejak beberapa hari lalu apabila rak-rak minyak masak di beberapa buah pasar raya didapati kosong atau kalau ada pun jumlahnya terhad.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati orang ramai merungut kerana mereka terpaksa pergi ke beberapa buah kedai sebelum dapat membeli minyak masak kerana bekalannya dikatakan berkurangan sejak seminggu lalu.

Seorang kakitangan kerajaan, Fauzi Muhammad, 26, memberitahu, sejak beberapa hari lalu minyak masak di kedai runcit di kampungnya telah kehabisan menyebabkan dia terpaksa mencari bekalan itu di pasar raya.

"Tetapi saya agak hampa apabila kebanyakan pasar raya juga kehabisan stok dan beberapa buah lagi pasar raya didapati bekalannya pula terhad," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang pekerja sebuah pasar raya yang hanya dikenali sebagai Ain memberitahu, bekalan minyak peket satu kilogram sudah terputus bekalan sejak lebih seminggu lalu.

"Minyak botol lima kilogram pula sudah kehabisan semalam (kelmarin) tetapi pada hari ini (semalam) stok baharu sampai tetapi hanya sedikit," katanya. -kosmo

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebab-sebab dan petanda-petanda supaya orang menukar UMNO/BN dengan Pakatan Rakyat. Sebab dalaman dan sebab luaran. Saling berkaitan dan mengimpak satu sama lain. PRU-13 jangan salah tindak.

1 Malaysia berkata...

Tak pernah pun AKU dengar kita import sayur dari Thailand? AKU berdoa agar banjir datang ke Malaysia supaya peniaga ni sedar akan kezaliman depa tu. Ambil kesempatan yang tiada tanda permulaaannya. Mana pergi puak berkuasa? Tunggu apa lagi. Tamatkan lesen depa tu kerana memeras dan menzalimi rakyat jelata. Jangan bagi alasan yang otak kerbau pun tak boleh terima.

Tanpa Nama berkata...

Bkn musim banjir pun brg selalu naik, pengguna selalu kena kesan, mkn daun kayu nmpak gayanya.