17 Okt 2011

WASPADA: Lelaki Maut Akibat Renjatan Eletrik Pemanas Air Mandi

Kuching: Rasa pelik bunyi air pancutan dalam bilik mandi selama beberapa jam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan alat pemanas untuk mandi, awal pagi semalam. Gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang juga seorang juruteknik, Mohd Nesruddin Saji, 48, ditemui mati dalam bilik air rumahnya di Taman Seri Cahaya, Jalan Batu Kawa, di sini dengan sebahagian muka dan badannya melecur.

Mayatnya ditemui anak saudaranya yang curiga apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci selain televisyen masih terbuka sebelum membuat pemeriksaan.

Menurut anak saudaranya, Stephen Ng Wee Chung, 18, dia terkejut ketika menemui bapa saudaranya itu sudah tidak lagi bernyawa dengan tangan kiri menggenggam pemegang pemanas air manakala bahagian kiri muka serta dada kehitaman seperti kesan terbakar.

“Ketika kejadian, bapa saudara saya seorang diri di rumah kerana ibu saudara pulang ke kampung di Serian. Rumah saya terletak berhampiran dan menjadi kebiasaan bagi saya dan ahli keluarga lain untuk menjenguknya setiap hari,” katanya.

Katanya, sebelum itu, adik lelakinya, Wee Kim, 16, ada ke rumah itu kira-kira jam 11 malam namun tidak mengesyaki apa-apa mencurigakan kerana memikirkan bapa saudaranya itu sedang mandi.

“Apabila adik saya ke rumah itu, dia mendapati televisyen masih terbuka dan terdengar bunyi air dari dalam bilik air. Adik ketika itu menyangka bapa saudara saya itu sedang mandi sebelum terus pulang semula ke rumah kami,” katanya.

Katanya, dia kemudian kembali beberapa jam kemudian untuk memeriksa keadaan namun berasa tidak sedap hati apabila tidak ternampak kelibat bapa saudaranya itu selain mendapati pintu rumahnya tidak dikunci.

“Saya berasa pelik kerana mendapati bapa saudaranya masih mandi dan memanggilnya beberapa kali namun tiada jawapan sebelum menolak pintu bilik air,” katanya.

Stephen berkata, dia percaya bapa saudaranya meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika mandi kerana dia turut merasainya ketika cuba mengalihkan pemegang pemanas air itu dari tangan bapa saudaranya itu.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terpaksa memotong wayar elektrik pemanas air berkenaan sebelum membawa mayat mangsa keluar dari bilik air.

Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalankan bedah siasat. -hm

Ulasan GB

Kejadian ini kerap berlaku.

Sentiasa berwaspada dan selanggara alat pemanas mandi untuk pastikan tiada masalah terutama "pendawaian"nya jangan ada yang rosak. Kedua, elakkan memegang gagang pemandi sewaktu mandi dan sebaik-baiknya ia diletakkan di penyangkutnya di dinding.

Dan jangan biarkan anak kecil anda mandi atau bermain dengan alat pemanas air tanpa pengawasan.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Nasihat kepada pengguna Pemanas Electric.

1. Pilih pemanas electrik yang menggunakan hose, ganggang pemancur air dan semua bahagian yang anda boleh pegang diperbuat dari bahan yang tidak boleh mengalirkan electrik (Plastik, Rubber dan sebagainya adalah disyorkan).
2. Semasa pendawaian di buat, pastikan pemanas electric anda dibumikan DAN BERFUNGSI >SANGAT PENTING!!!<
3.Pastikan pendawaian dibuat dengan betul. Sila rujuk kepada buku "Cara-Cara Pengunaan dan Pemasangan" yang disertakan semasa pembelian. Jika anda dapati pendawaian tidak sempurna atau anda tidak pasti, sila hubungi pusat servis pemanas yang anda beli untuk pengesahan. Jangan sekadar bayar duit pemasangan semata-mata.

Untuk pengetahuan rakan2 semua, kes-kes sebegini telah banyak berlaku dan ianya dapat dielakkan jika perkara2 yg saya sebutkan diatas dititikberatkan.insyaallah!

-jurutera pemanas electric-