1 Okt 2011

PAS Tak Akan Paksa Bukan Muslim Terima Undang-undang Islam - Hadi

Kepala Batas, 1 Okt — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan memaksa orang bukan Islam agar menerima undang-undang jenayah syariah Islam seperti mana parti itu tidak memaksa mereka menerima ajaran Islam.

Presiden PAS berkata undang-undang Islam terutamanya hudud telah dimomokkan Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno untuk memberikan gambaran negatif tentang hukum itu.

“Hukum jenayah Islam dimomokkan BN yang diketuai Umno melalui media, walaupun manusia sekarang menghadapi masalah sosial yang tenat dan sebagainya, soal jenayah sepatutnya perlu kembali kepada ajaran Allah.

“Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan memperbodohkan orang Islam,” katanya ketika beucap merasmikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium di sini.

Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Rabu lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Menurut Hadi (gambar), undang-undang jenayah syariah mementingkan keadilan dan setiap keputusan yang dibuat perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

“Undang-undang Allah adalah untuk mendidik, untuk menjatuhkan hukuman tidak mudah kerana ada syarat, mesti melalui proses kehakiman, saksi dan hakim yang membicarakan kes jenayah bukan cari jalan untuk jatuhkan hukuman tapi cari jalan untuk bebaskan orang yang dituduh, itu falsafah Islam. “Dalam hal ini, PAS tidak memaksa bukan Islam menerima undang-undang Islam seperti mana kita tidak memaksa mereka menerima Islam,” katanya. -TMI

Tiada ulasan: