12 Okt 2011

Khalwat - Jenayah Syariah Paling Popular Di Terengganu

Dungun - Kes tangkapan khalwat antara kesalahan jenayah syariah paling popular menghadapi pendakwaan di mahkamah yang secara tidak langsung menggambarkan keruntuhan moral sedang melanda masyarakat kita.

Pendakwa syarie, Azmi Tengah berkata, ketika bertugas sebagai pendakwa raya mahkamah, kes tangkapan khalwat paling banyak dikendalikannya berbanding lebih 30 kesalahan lain yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Menurutnya, pengalaman mengendalikan kes terbabit mendapati, masalah kurang didikan agama dan pengaruh gejala sosial serta fikiran dikuasai nafsu didapati menjadi penyebab pasangan bukan muhrim sanggup melakukan perbuatan itu, biarpun ada yang tahu bahawa ia merupakan kesalahan serius dari segi agama dan undang-undang.

“Kebanyakan kes melibatkan tangkapan khalwat di hotel atau rumah, dengan remaja lebih banyak mendominasi kes selain wanita berstatus janda serta mereka yang telah berkeluarga. Walaupun banyak enakmen dalam undang-undang syariah, namun kesalahan ini adalah yang paling popular.

“Peningkatan dalam kes jenayah syariah begini menggambarkan status akhlak masyarakat kita kini membimbangkan. Jadi usaha pencegahan harus dipertingkatkan selain penguatkuasaan undang-undang untuk mendidik masyarakat kesan melakukan kesalahan ini,” katanya.

Azmi (gambar) yang juga Pegawai Agama Daerah Besut berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja di Pejabat Agama Daerah Dungun, pagi semalam.

Lebih 150 remaja berusia antara 18 hingga 25 tahun terdiri daripada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, hadir sebagai pendedahan awal kepada kumpulan sasaran berhubung isu kesalahan moral, anjuran Unit Dakwah dan Penguat Kuasa Syarie di sini, pagi semalam.

Menyentuh persoalan berkaitan tangkapan khalwat ke atas penuntut institut pengajian tinggi awam di sini pula, Azmi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan, malah akan mengambil tindakan sama mengikut peruntukan undang-undang ada tanpa mengira individu berkenaan berstatus pelajar atau tidak.

“Semasa menjadi penuntut IPTA, jagalah tingkah laku, nama baik institusi dan jangan hampakan harapan ibu bapa yang banyak berkorban wang ringgit untuk menghantar kita agar menjadi orang berguna.

“Jika anda terlibat dengan perkara sebegini, masa depan akan musnah selain ibu bapa juga akan turut menanggung malu atas kesalahan yang kita lakukan,” katanya. -SH

Ulasan GB

Ada pihak yang kurang senang apabila GB mendedahkan kes khalwat, rogol, zina dan sebagainya di blog ini terutama kejadian-kejadian yang banyak berlaku dewasa ini di Dungun dan di negeri Terengganu.

Akhirnya kebenaran terserlah. Berita di atas membuktikan pendedahan GB bukan sengaja untuk publisiti. Tetapi ia masalah jenayah syariah yang tegar yang perlu dibasmi.

Jika tidak maka hukuman Allah pun berjalanlah...... apabila maksiat bermaharaja-lela, tunggu saja balaNya...

p/s Banyak keruntuhan berlaku di Terengganu. Baru-baru ini negeri Terengganu dilanda ribut pula. Tak bacakah ayat-ayat manzurah itu?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ambo setuju benarlah,sebab kata warden dipenjara perempuan(pengkalan Chepa)banyak pesalah di sini kerana kes khalwat dan berasal dari terengganu...

Tanpa Nama berkata...

apakah itu juga petunjuk aura Hadi dan juga PAS Terengganu sudah menjadi semakin lemah?