23 Sep 2011

Video Klip Ajak Rakyat Mengundi Pun Salah? Apa Punya Bengong SKMM?

Pertubuhan Bersih 2.0 menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan siaran klip video Undilah, yang menggalakkan orang mengundi ketika pilihan raya, bercanggah dengan pendirian pembaharuan politik yang diwar-warkan oleh pentadbiran Najib.

Justeru kepimpinan Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membenarkan agar klip itu - satu bentuk pemakluman awam — terus disiarkan oleh stesen siaran tempatan kerana ia tidak membawa sebarang ancaman kepada negara.

“Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila ia dilihat sebagai satu ancaman. Jika ia dianggap sebagai sensitif, apakah bentuk demokrasi dan kebebasan politik yang perdana menteri sedang bercakap sekarang,” kata salah seorang anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, Subramaniam Pillay hari ini.

Kata beliau perkembangan terbaru yang diambil itu menunjukkan sikap “cakap tak serupa bikin.”

“Cakap satu buat lain,” kata beliau lagi.

Seorang lagi anggota jawatankuasa Berish 2.0, Maria Chin Abdullah juga melahirkan pandangan yang sama.

“Apa salahnya meminta orang ramai mengundi? Malah kempen 1 Malaysia juga meminta orang mengundi,” kata beliau lagi.

Subramaniam menambah, tindakan mengharamkan klip video itu satu langkah yang amat merisaukan kerana ia dihasilkan dengan tidak memihak mana-mana ideologi politik.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah ciptaan komposer Pete Teo.

Ia dilancarkan sempena sambutan Hari Malaysia minggu lalu.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. -TMI

Nurul Izzah: SKMM perlekeh rakyat

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menempelak tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengeluarkan arahan pemberhentian penayangan video hebahan khidmat awam “Undilah” yang diterbitkan oleh Pete Teo untuk badan NGO Undi Malaysia.

Beliau menyifatkan tindakan SKMM itu sebagai merendah kemampuan dan memperlekeh kebijaksanaan berfikir rakyat Malaysia.

“Di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal “demokrasi terbaik” di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya,” kata Nurul dalam kenyataan medianya hari ini.

Dalam mempertahankan hebahan video ini, Nurul berkata: “Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong.”

Video ‘Undilah’ oleh NGO bernama Undi Malaysia boleh dimuat turun dari YouTube sepanjang empat minit 38 saat itu dilancarkan ketika majlis makan amal NGO tersebut pada 16 September lalu, bersempena Hari Malaysia.

Arahan SKMM dipercayai dikeluarkan kerana Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberi pengakuan apabila berkata:

“Malaysia negara yang cukup indah tapi ada masalah. Tak perlulah saya sebutkan kerana saya pasti kita semua tahu apa masalah- masalah ini.”

Selain pemimpin veteran Umno tersebut, ramai pemimpin Pakatan Rakyat seperti Nurul Izzah, Tony Pua, Nik Nazmi Nik Ahmad turut muncul bersama pemimpin Barisan Nasional seperti Timbalan Menteri Luar Negeri A Kohilan Pillay dan Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong.

Nurul dalam kritikannya dipercayai merujuk kepada Menteri Penerangan Kebudayaan dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim kerana SKMM merupakan agensi di bawah pengawasan kementerian tersebut.

“Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanah air,” kata Nurul. -FMT







2 ulasan:

zairil berkata...

Dah tengok...video kempen mengundi yang TERBAIK yang pernah dihasilkan. Sangat kontemporari dan innovatif.

Pemilihan Ku Li sangat tepat. First time nampak the lighter side of Ku Li.

Sememangnya menggambarkan UNDI untuk semua. Tapi musykil sikit...Jason baling pi Bangla ker?

Apa-apa Pun TAHNIAH kepada Pembikin!

Titi berkata...

Antara sebab diharamkan:
1) ada unsur BERSIH sebab nama2 jalan yang ditunjukkan ialah jalan2 yang terlibat dalam himpunan BERSIH
2) lirik yang lebih kena kat batang hidung BN sendiri
3) Khalid Samad nyanyi sebelah perempuan pakai baju takda lengan - ini bukan imej PAS yang mahu ditonjolkan oleh BN
4) menggambarkan golongan artis ada kesedaran, sedangkan selama ini mereka digambarkan sebagai penyokong totok BN
5) maskot ntah apa2 duduk depan poster 1Malaysia Najib, ini satu penghinaan