13 Sep 2011

Kerana Ada Komunis Baik, Najib Kini Sedia Berbesan Dgn Anak Pemimpin Bekas Negara Komunis?

Fakta sejarah: PAS bidas ‘bomoh Umno’ kelirukan rakyat, ahli sendiri

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sambil membidas “bomoh Umno” nampaknya menentukan bahaya atau tidak seseorang, PAS berkata, rakyat dan ahli Umno sendiri bertambah keliru dengan percaturan politik pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

“Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini.

Kata beliau, apabila terbongkarnya fakta bahawa parti Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (PKM) dengan menandatangani perjanjian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

“Jika kita mengikut logik Perdana Menteri, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

“Sekiranya rakyat mengikut logik Perdana Menteri yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,”
kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga membidas kepimpinan Umno-BN dengan berkata, mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin (Parti Sosialis Malaysia) PSM dalam Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.

“Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?
” kata Tuan Ibrahim.

Justeru soal beliau, sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat?

“Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain asalkan bukan Umno, maka komunis itu komunis jahat.

“Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berhujah, “kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (MPN) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” tambah beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata bila mana MPN membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

“Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi – segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram,” kata beliau. -TMI

Najib: Jangan ada pihak yang cuba ubah sejarah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan agar mana-mana pihak tidak cuba mengubah sejarah dengan mengagung-agungkan mereka yang mengkhianati tanah air seperti komunis.

Beliau berkata komunis zaman dahulu sememangnya zalim dan mencengkam kehidupan rakyat kerana ideologi mereka tidak memihak kepada rakyat, anti agama dan zalim.

"Sebab itulah kita menentang komunis pada zaman itu kerana mereka bertindak kejam di bumi bertuah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di Permatang Pauh.

Perdana Menteri berkata komunis tidak memberi rakyat Malaysia demokrasi, sebaliknya kerajaan yang memerintah ketika ini menghormati proses demokrasi.

"Sebab itu adakala kita menang dan adakala kita kalah tetapi kita harap menang lebih banyak dari kalah," katanya.

Najib berkata komunis pada masa dahulu berbeza dengan komunis zaman sekarang kerana komunis zaman dahulu tidak memberi hak kekayaan peribadi kepada rakyat.

"Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat."


"Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sekarang menghormati suara rakyat, mengamalkan kesederhanaan dan tidak ekstrem.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu bersyukur kerana telah memilih pemimpin yang begitu kukuh dalam meletakkan dasar negara yang kena pada tempat dan masa.

Katanya dua faktor yang meletakkan kejayaan negara ialah pemimpin terdahulu meletakkan dasar yang berpandangan jauh dan mempunyai wawasan.

"Setiap era kita ada pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan," katanya.

Najib berkata sebagai contoh dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara, pemimpin dahulu memilih jalan rundingan kerana mereka mahu penjajah keluar daripada negara ini.

"Kita memilih jalan rundingan dan muafakat untuk memuafakat dan kita tunjukkan kepada British yang kita tidak rela dijajah," katanya. - Bernama


Baca Juga:

Anak Najib Bertunang Malam Tadi: Tiada Siapa Percaya Wisma Putra Lagi Selepas Ini!


3 ulasan:

loges berkata...

saya rasa sejak sekian lama, Tuan Ibrahim Tuan Man ialah Ketua Penerangan PAS yang terbaik jika dinilai daripada kenyataan-kenyataan akhbarnya. ada hikmahnya beliau kalah Timbalan Presiden.

Tanpa Nama berkata...

Najib berkata sebagai contoh dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara, pemimpin dahulu memilih jalan rundingan kerana mereka mahu penjajah keluar daripada negara ini.

"Kita memilih jalan rundingan dan muafakat untuk memuafakat dan kita tunjukkan kepada British yang kita tidak rela dijajah," katanya. - Bernama
Mana satu betul ni. kejap kata penjajah, lepas tu, kata tak rela dijajah, sebab tu agaknya bahasa melayu anak muda melayu sekarang layu dan tidak cemerlang sebab pemimpin2nya pun bangang tah faham maksud penjajah dan tak rela dijajah, ha...pening.., pening .

Tanpa Nama berkata...

Penjajah kata yang lawannya semua kominis tak macam UMNO kawan baik penjajah, tapi UMNO kata siapa yang lawannya nak kena ISA...