9 Sep 2011

Isu Mat Indera: Mentaliti Ghani Othman Dan UMNO Masih Terjajah

Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor?

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah.

Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya.

(Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula)

Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero?

“Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?” soal beliau lagi.

Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh “menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.”

Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

“Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

"Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening,” bidas beliau.

Berbangga dengan penjajah

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan.

Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris.

“(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah,” bidas beliau.

Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan.

Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.

“Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan,” selar beliau lagi.

Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian.

Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.

“Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah,” kata beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah.

“Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim,” terang beliau.

Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka.

“Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa,” terang beliau. -HD

MB Johor contoh terbaik talibarut British?

Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).


Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;

Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah..-edyesdotcom


Ulasan GB

Sebelum ini GB telah ulas isu ini. Petikan:

Jika hujjah Mohd Sabu lemah kerana bersandarkan kepada buku yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor sendiri, Yayasan Warisan Johor (YWJ), maka sewajarnya buku itu diharamkan atau dibakar saja.

Ini kerana penerbitan buku tesebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan sebelum ianya diterbitkan sepastinyalah ia telah disemak dan diedit berali-kali untuk menentukan kesahihannya kerana ia akan menetapkan kredibiliti penerbitnya sendiri.

Mengapa kini baru dipersoalkan isi kandungannya dan merendah-rendahkan penulis rencana itu?
.

Dan di dalam satu ulasan yang lain pula GB menyatakan:

MB Johor, Abdul Ghani Othman di dalam usaha untuk menyelamatkan diri kerana telah memberikan Kata Pengantar di dalam buku “Pengukir Nama Johor” yang menyenaraikan nama Mat Indera sebagai salah seorang tokoh yang telah menjadi pengukuir nama Johor, sejak beberapa hari lepas tiba-tiba memutarkan lidahnya menuduh Mat Indera bukan pejuang merdeka, tapi pengganas. Tetapi tanpa disedari beliau turut mengakui beberapa nama dari kalangan berhaluan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan:

Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan. -TMI



3 ulasan:

Abbs© berkata...

demi kelangsungan hidup kaum bangsawan umno apco beb..
ini realitinya..
sejarah kita telah di ubah mengikut acuan anjing anjing penjajah..
kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

menjadi teradisi bagi umno setiap kenyataan dari pehak pas mereka terbalikan walau perkara itu terang dan mempunyai bukti sehingga melibatkan akidah pun mereka boleh pusingkan cuntohnya; hukum hudud yg mempunyai nas qatie dalam kes liwat melibatkan DSAI ramai para penyokong umno didapati saolah2 mempermainkan hukum yg diturunkan oleh ALLAH swt inilah sifat munafik umno sebenarnya.

Tanpa Nama berkata...

Hari ini di Batu Pahat dibuat sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri...diresmikan olih MB Ghani...disambut dengan hujan lebat...apakah tandanya tu..!!!Mat Indra..engkau memang pahlawan melayu islam terbilang....Allahuakbar..!!