26 Ogo 2011

WASPADA : Kiub Ais Punca Keracunan, Pelajar Maut Selepas Buka Puasa

Laporan awal mendapati kiub ais merupakan punca keracunan makanan yang menyebabkan seorang pelajar berusia 11 tahun meninggal dunia selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Klang awal bulan ini.

Ujian ke atas sampel sisa muntah dan najis untuk mengenal pasti punca keracunan makanan yang menyebabkan pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang meninggal dunia dan lapan ahli keluarganya yang lain mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Berdasarkan laporan awal, kiub ais merupakan punca keracunan makanan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik Bernama Online.

“Kita masih menjalani siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca dan sumber sebenar yang menyebabkan mangsa dan ahli keluarga lain mengalami keracunan makanan,” katanya kepada pemberita di Hospital Putrajaya di sini.

Pada 9 Ogos, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati juadah berbuka puasa manakala ahli keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.

Semua mereka didapati makan juadah otak-otak dan air batu campur dibeli daripada bazar Ramadan sama.

Liow menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom keracunan makanan.

“Jangan tangguh untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami keracunan makanan. Kita mempunyai pakar dan kalau mendapatkan rawatan awal, kita boleh selamatkan,” katanya.

2 ulasan:

cloch berkata...

aku pernah tengok mamak jual cendol/abc.. dia simpan ais dalam kotak yang sama dengan sayur rojak dia.. dah la tak basuh

Awanama berkata...

Saya rasa perkara ini ada kebenarannya dan kiub ais sekarang memang tidak baik untuk kesihatan, mungkin ada campuran bahan kimis tertentu yang dilarang...bila saya minum air + ais walaupun sedikit pasti pening kepala dan selsema.