14 Ogo 2011

Mahfuz Sanggah Kenyataan Rais Yatim Yang Anggap Semua Orang Sama Macam UMNO

Kenyataan dangkal Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berhubung upah RM50 kepada peserta himpunan Bersih 2.0 diselar ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Sambil menyifatkan Rais sudah kehabisan modal dalam menyatakan pendiriannya, Mahfuz turut memberi amaran kepada Rais agar tidak menyamakan peserta himpunan Bersih 2.0 dengan mereka-mereka yang perlu disogok untuk melakukan sesuatu.

"Dia (Rais) anggap semua orang sama macam dalam Umno, nak buat sesuatu itu mesti dengan bayaran, nak pergi mana pun dengan bayaran. Jadi inilah budaya dalam Umno selama ini bahawa majlis keraian, menyambut pimpinan mereka boleh ramai kerana diberikan duit, diangkut dengan bas.

"Rais tak boleh berfikir luar daripada kotak pemikiran Umno. Kalau Umno berjaya menghimpunkan orang dengan duit, jadi orang lain pun hanya akan buat dengan duit
,kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Rais semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu diupah RM50 setiap seorang untuk memakai baju kuning, malah mendakwa mereka juga diberi makanan untuk berbuat demikian.

Rais juga membuat kesimpulannya sendiri dengan menyatakan bahawa sebilangan rakyat yang menyertai himpunan itu bukan bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bermatlamat politik.

Malah beliau turut mengaitkan himpunan aman di negara ini dengan rusuhan di London.

"Adakah mereka (Umno) nak katakan bahawa kalau (rakyat) Malaysia yang keluar Bersih itu dibayar dengan duit, (jadi) adakah mereka nak katakan mereka yang keluar buat rusuhan (London) dibayar dengan duit?

"Hampir 100,000 orang yang hadir di Kuala Lumpur tapi tidak ada rusuhan, sebaliknya yang merusuh adalah pihak polis. Pihak keselamatan yang merusuh peserta perhimpunan, yang datang dengan penuh kesopanan," sanggah Mahfuz terhadap pendirian Rais.

Tambah Mahfuz, Rais dan parti pemerintah hakikatnya harus akur bahawa punca kebangkitan rakyat adalah rentetan pelbagai masalah yang dihadapi mereka termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak setara dengan gaji mereka.

"Apapun dia (Rais) mengatakan punca demonstrasi tu menunjukkan bahawa dia perlu mengakui bahawa rakyat negara kita ini berhadapan dengan masalah yang besar. Kalau dia kata tekanan hidup, bermakna rakyat tertekan dengan kos hidup kerana ketidakadilan dalam pelaksanaan pemerintah negara kita ini,"katanya.

Pada 9 Julai lalu ribuan rakyat Malaysia menongkah ledakan gas pemedih mata dan pancutan air kimia demi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk kepimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Ia nyata sekali berbeza dengan apa yang berlaku di London pada 4 Ogos lalu apabila ribuan rakyatnya memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.



2 ulasan:

kayu_cemeti berkata...

Inilah standard umno apa pun bila ada program melibatkan rakyat pasti ada kaitan dengan imbuhan duit poket t shirt dan sebagainya sebab itulah sebenarnya budaya yang ada dalam umno jika tanpa ini semua pasti program mereka melibatkan rakyat pasti tiada sambutan yang anihnya ia cuba hendak menyamakan rakyat yang inginkan perubahan mereka sanggup dari jauh tanpa dibayar sesen pun seperti saya untuk berhimpun beramai2 malangnya perhimpunan yang harmoni dan aman dicemari olih polis atas arahan pastinya umno yang amat keterlaluan dan ganas ala gangster yang digaji olih rakyat sebab itu tiada lain pilihan melainkan rakyat kena ubah kerajaan yang ada ini dengan kerajaan dari rakyat kepada rakyat ayuh jika SPR tetap jadi kuda tunggangan umno kita akan berhimpun lagi dibersih 3.0 nanti

Tanpa Nama berkata...

Tak payah nak komenlah kenyataan menteri yang dah bakar jembatan ni.Dia ingat semua peserta demo aman seperti peserta UMNO.Munkin mata dia sudah buta,tak tengok ratusan ribu yang menyertai Bersih,takkan boleh bayar RM50 sekepala.Yang dipimpin Ketua Pemuda tu,munkin sebab termasuk Mat Bangra dan jumlah pun tak sampai 200.Nak kumpulkan puluhan ribu UMNO tak mampu sebab tak cukup duit.