16 Jul 2011

BERS✔H 2.0: Menteri KDN Perlu Dedahkan Berapa Kos Operasi Halang Himpunan [updated]

Khalid Samad gesa Hisham dedah kos operasi himpunan 9 Julai

PAS Selangor mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan perbelanjaan yang ditanggung kementerian itu dalam operasi membanteras perhimpunan yang diadakan pada 9 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya Khalid Samad berkata, beliau mendapat maklumat perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit.

“Hishammuddin perlu dedahkan berapa perbelanjaan yang digunakan Kementerian Dalam Negeri sepanjang operasi itu berjalan. Kita nak tahu sejak dari mula operasi sampai habis.

“Sebab kalau kita lihat berapa banyak anggota keselamatan digunakan sepanjang operasi itu termasuk pada 9 Julai, ia juga termasuk perbelanjaan makan dan minum kerana saya difahamkan perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit,” katanya pada sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli parti Islam itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Sebelum perhimpunan 9 Julai berlangsung - yang melibatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pemuda Umno, polis telah mengerahkan anggotanya untuk mengambil tindakan dan menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri menarik balik semua pengisytiharan pengharam terhadap Bersih 2.0 termasuk kemeja-T.

Semalam Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk merampas barangan dan menangkap individu yang menjual barangan yang mempunyai logo perhimpunan haram pada Sabtu lalu kerana ia menyalahi undang-undang.

Beliau berkata sebarang penjualan barangan termasuk pakaian seperti kemeja-T atau tali leher yang mempunyai logo penganjur perhimpunan haram itu adalah tidak dibenarkan sama sekali. -TMI



Tiada ulasan: