15 Jul 2011

BERS✔H 2.0: Buat Aduan Segera Terhadap Keganasan Polis

Pemuda PAS lancar Aduan Keganasan Polis 9/7

Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) telah melancarkan Aduan Keganasan Polis 9/7.

Pengarah Juham Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, usaha ini adalah susulan daripada aduan rasmi Juham kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kelmarin.

“Juham telah menyenaraikan tindakan-tindakan ganas pihak polis yang menumbuk, menendang, memijak, menembak gas pemedih mata secara dekat dan membuta-tuli.

“Ini termasuk aduan mengenai segala bentuk kekerasan yang sangat tidak munasabah serta tidak berperikemanusiaan terhadap peserta himpunan Bersih 2.0 yang hadir secara aman dan tidak bersenjata pada hari Sabtu, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Himpunan Bersih berlangsung pada 9 Julai di ibu kota Kuala Lumpur di mana lebih 50,000 pendemonstrasi cuba berarak ke Stadium Merdeka.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun mengharamkan Bersih sebelum himpunan itu dan mengarahkan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.

Polis menerusi Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghalang perarakan oleh peserta himpunan dengan memancut air asid biru dan menembak gas pemedih mata. Lebih 1,600 peserta Bersih ditahan.

Ekoran itu, Juham mahu mendapatkan kerjasama daripada anggota masyarakat untuk mengumpulkan maklumat berkenaan pencabulan hak asasi oleh pihak polis.
Aduan, bukti bergambar, rakaman video, laporan perubatan dan sebagainya boleh disalurkan melalui talian Hotline 016-3126463, 016- 3126473 dan 014-6451753.

Juham juga boleh dihubungi menerusi emel juhampusat@gmail.com dan laman peminat di laman web sosial Facebook ‘Jabatan Undang -undang dan Hak Asasi Manusia’.

“Rakyat harus diberi kesedaran tentang hak mereka di sisi undang-undang dan pihak berkuasa pula tidak boleh sewenang-wenang membelasah rakyat yang hanya melaksanakan hak mereka yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad. -FMT


Pemuda PAS seru mangsa, saksi adu keganasan polis

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru semua mangsa dan saksi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dalam satu kenyataan hari ini ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata dewan itu menyokong penuh keputusan Suhakam mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pendirian yang dikeluarkan oleh pihak Suhakam dalam menentang keganasan yang dilakukan ke atas sebilangan rakyat Malaysia.

"Dewan Pemuda PAS juga meminta untuk sekalian mangsa dan saksi keganasan polis pada 9 Julai baru-baru ini untuk kita tampil bersama memberikan keterangan kepada pihak Suhakam," katanya.

Ianya juga selaras dengan seruan pesuruhjaya Mohd Sha’ani Abdullah yang mahu semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham).

Mohd Sha’ani sebelum ini juga mendakwa penangkapan yang dilakukan ke atas peserta himpunan aman dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) adalah satu bentuk pencabulan.

Beliau juga dilapor berkata, tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan Bersih 2.0 juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Rakyat perlu bersuara apabila berlaku pencabulan ke atas hak asasi mereka. Keganasan dan ketidak adilan yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa perlu dibongkarkan supaya masyarakat lain dapat melihat realiti demokrasi yang ada di dalam negara kita," kata Nasrudin. -HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ALLAHUM MA IN NA NAJ ALU KA FI NUHU RI A'DA INA. WA NA UZUBI KA MIN SYURU RIHIM.....